Lapor polis jika lihat lebih 20 individu berkumpul sambut Aidilfitri
Bernama
Mei 18, 2020 17:43 MYT
Mei 18, 2020 17:43 MYT
Polis Labuan meminta penduduk membuat laporan di balai polis berhampiran jika melihat lebih 20 individu berkumpul di sesebuah rumah pada hari pertama Aidilfitri.
Ketua Polis Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata walaupun tiada sekatan jalan raya semasa perayaan itu, pemantauan ketat akan dilakukan untuk memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengekang penularan COVID-19.
"Kami mengingatkan mereka yang menyambut hari raya agar tidak melanggar SOP pada hari pertama Aidilfitri. Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar had 20 pengunjung untuk satu rumah," katanya pada Isnin.
Farid juga mengingatkan mereka yang ingin menunaikan solat Jumaat, solat sunat tarawih dan Aidilfitri untuk mematuhi sepenuhnya SOP penjarakan sosial.
"Sejak 4 Mei, kami mempunyai 16 pasukan peronda untuk memantau pergerakan orang ramai dalam mematuhi penjarakan sosial di premis perniagaan atau tempat ibadah, lebih-lebih lagi setelah solat Jumaat dan tarawih dibenarkan di zon hijau COVID-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan," katanya.
Sekurang-kurangnya 12 masjid dan lapan surau di Labuan dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat berjemaah tidak kurang daripada tiga orang dan tidak lebih daripada 30 orang, yang terdiri daripada pegawai dan petugas masjid, serta jemaah lain yang ditentukan oleh pentadbiran masjid.
Masjid Sultan Muhammad V Labuan telah memutuskan hanya anggota jawatankuasa, pegawai dan petugas masjid serta pihak media yang tidak melebihi 30 orang, dibenarkan untuk menunaikan solat berjemaah di masjid pada satu-satu masa.
- BERNAMA