UTAMAMALAYSIADUNIAPOLITIKVIDEOHIBURANSUKANGAYA HIDUPBISNESENGLISHPODCASTFOTORANCANGANTEKNOLOGI

[LAPOR LANGSUNG] DIARI LOCKDOWN: Kisah peniaga nasi berlauk RM1.50 sebungkus tidak berakhir di sini

Siti Suhada Salleh membuka mata ramai orang apabila niatnya untuk berniaga bukan semata-mata mengejar untung.

Astro Awani
Sempena entri yang terakhir ini, Suhada ingin berterima kasih kepada adiknya, Siti Salma yang turut membanting tulang dalam menjayakan perniagaan mereka dua beradik.  - Sumber foto Siti Suhada Salleh

Lockdown #Day55: Kisah peniaga nasi berlauk RM1.50 sebungkus tidak berakhir di sini

Sun Jul 25 2021

Bagi anda yang mengikuti rapat perkembangan Diari Lockdown, pastinya anda akan merindui kisah Siti Suhada yang cekal membesarkan dua orang anak di samping meneruskan kehidupan dengan meniaga nasi berlauk RM1.50 sebungkus.

Bertemakan ‘Ibu Oh Ibu’, kisahnya bukan sahaja memberi inspirasi kepada ibu-ibu yang lain, malah membawa cerminan realiti seorang insan yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencari sesuap nasi ketika tempoh yang sukar ini.

Meskipun terpaksa berehat seketika dengan perniagaan laksa yang dijalankan sebelum ini, dia tidak menyangka aturan Allah S.W.T itu merupakan rezeki yang terbaik.

Hanya meniaga nasi berlauk dengan untung yang tidak seberapa, dia banyak belajar erti kehidupan dengan berpeluang untuk bantu insan-insan yang juga terhimpit kerana pandemik COVID-19.

Kini, dia telah membuktikan bahawa apa-apa jenis perniagaan sekali pun yang digerakkan, tiada apa yang lebih baik berbanding berkongsi rezeki dengan orang yang memerlukan.

Impian Suhada, 34 tahun adalah untuk melebarkan empayar nasi berlauk itu sehingga ke serata negara dengan mempunyai ejen atau stokis sendiri.

Selain itu, dia juga bercita-cita untuk membuka sebuah kafe di Kuala Lumpur dan berkongsikan rezeki kepada lebih ramai yang memerlukan.

Sempena entri yang terakhir ini, Suhada ingin berterima kasih kepada adiknya, Siti Salma yang turut membanting tulang dalam menjayakan perniagaan mereka dua beradik.

Tidak dilupakan juga kepada pelanggan-pelanggan dan orang kampungnya yang telah berkongsikan perniagaannya sehingga boleh tular seperti sekarang.

Malah, tidak terbalas jasa juga kepada mereka yang sering bersedekah dengan membeli nasi berlauknya untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan.

Pesan Suhada kepada semua, jangan kedekut untuk berkongsi rezeki dan terus bersabar dengan segala ujian yang dihadapi, ‘kita pasti menang’ katanya.







------------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown. Ini entri terakhir Siti Suhada, dua anak dan keluarganya, terima kasih kerana sudi berkongsi kisah dengan Astro AWANI. 

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Lockdown #Day54: Nasi berlauk RM1.50 kini 'jelajah' ke Kota Bharu

Sat Jul 24 2021

Dari Kampung Alor Tal, Tumpat kini nasi berlauk RM1.50 sebungkus hasil niaga Siti Suhada sudah berkembang ke Kota Bharu. 

Semuanya bermula apabila ada seorang pelanggan Suhada yang cuba menghubunginya untuk mendapatkan kerja sebagai runner.

“Katanya, dia terjejas kerana gajinya dipotong dan hanya tinggal tidak seberapa sahaja gaji bersih dia untuk bulan ini.

“Dia kata sudi untuk menjadi ‘runner’ kerana dia sudah tidak tahu cara  menjana pendapatan.

“Ditambah pula dengan bebanan komitmen dan sebagainya, lalu saya pun beri cadangan untuk dia mengambil pesanan sehingga ke Kota Bharu dan seluruh Tumpat,” kata Suhada.

Dengan sambutan yang cukup menggalakkan, Suhada terpaksa mengehadkan pesanan ke ibu negeri Kelantan itu kerana tidak cukup bungkusan untuk dijual di hadapan rumahnya.

Sehingga ke hari ini, pesanan pun boleh tahan banyak dan memang ternyata itu semua rezeki pelanggan (runner) saya itu, tambah Suhada lagi.




---------------------------


Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Sat Jul 24 2021

Lockdown #Day53: Kes meningkat, Suhada risau keluar rumah walaupun suasana sunyi

Fri Jul 23 2021

Melihat kepada peningkatan kes COVID-19 pada hari ini yang menjadi rekod harian tertinggi, Siti Suhada berasa cukup risau.

Dia yang ada kalanya tidak beberapa sihat, demam dan sebagainya akui takut untuk keluar rumah dan hanya keluar jika terdapat keperluan mendesak.

Ketika ini, dia masih lagi menunggu giliran untuk divaksin, meskipun sudah mendaftar sejak beberapa bulan lalu, namun dia hanya terus bersabar.

Kerisauan itu masih jelas dirasai meskipun Tumpat dilihat agak sunyi, meskipun perayaan Aidiladha berlangung pada minggu ini.

Suhada turut berkongsikan gambar suasana di Pantai Ndo yang pada ketika ini masih lagi sunyi, tidak seperti sebelum kewujudan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, Polis Kelantan mengesahkan tidak berlaku peningkatan masuk kenderaan ke negeri ini sepanjang tempoh tiga hari bermula 15 Julai hingga Sabtu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat mengesahkan kes harian dalam tempoh 24 jam lalu adalah sebanyak 15,573 kes dan Kelantan merekodkan 372 kes daripada keseluruhan kes.



-------------------------------



Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Fri Jul 23 2021

Lockdown #Day52: Pengalaman arwah bapa pernah muflis jadi pengajaran paling berharga

Thu Jul 22 2021

Perasaan minat untuk berniaga sebenarnya telah wujud dalam diri Siti Suhada sejak dahulu lagi.

Sebelum ini, arwah bapanya pernah berniaga, akibat perniagaannya merudum  keluarganya terpaksa menjual aset-aset yang dimiliki.

“Arwah abah saya berniaga juga sebelum ini, tetapi muflis selepas ditipu dan terpaksa menjual semua aset seperti kereta, kedai dan rumah.

“Saya lihat keperitan arwah abah saya masa itu, sampai beras pun tidak boleh untuk dibeli ketika itu, tidak sangka kehidupan kami sewaktu itu tersungkur sekelip mata.

“Arwah abah kembali bangkit selepas cuba untuk meniaga itik dan pada ketika itu, Alhamdulillah rezeki itu mencukupi untuk menampung kehidupan kami seharian,” luah Suhada.

Banyak liku-liku kehidupan yang dilalui oleh Siti Suhada ketika itu, memandangkan dia sahaja yang sering berdampingan dengan arwah bapanya.

Bagi Suhada, kejatuhan yang dirasai arwah bapanya itulah yang menjadi pengajaran buatnya dalam menguruskan perniagaan.

Ini antara pengajaran yang dapat Suhada pelajari daripada situasi arwah bapanya dalam dunia perniagaan.

“Jangan mencuri dalam perniagaan, contohnya jika ingin sedekah, kita kenalah ganti semula duit itu menggunakan duit kita sendiri walaupun itu memang perniagaan kita.

“Jangan jual benda yang sudah rosak dan jangan berhutang,” pesan Suhada.





--------------



Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Thu Jul 22 2021

Lockdown #Day51: Suhada tidak akan naik harga, walau harga mentah meningkat

Wed Jul 21 2021

Konsep nasi berlauk sememangnya menjadi hidangan sarapan pilihan bagi penduduk di Kelantan, kerana ramai penggemarnya.

Bagi Siti Suhada, ramai yang mendorongnya untuk meniaga nasi berlauk dengan harga RM1.50 sebungkus itu sehingga ke tahap yang mana dia perlu menyediakan penghantaran sehingga ke negeri Selangor dan Kuala Lumpur.

Namun, dia mendedahkan bahawa masih jauh perjalanan untuk dia ke tahap itu, namun ia adalah tidak mustahil.


“Setiap hari, pastinya pelanggan yang membeli dengan saya akan mengusik saya, kononnya hidangan saya ini setanding dengan perniagaan Nasi Air Dingin.

“Padahal jauh lagi untuk saya sampai kepada tahap itu, kerana mereka ada ejen mereka sendiri yang meniaga di sekitar Lembah Klang,” kata Suhada.

Hari ini Suhada tidak meniaga, kerana dikatakan ayam mentah dilihat naik harga pada ketika ini, mungkin disebabkan musim perayaan.

“Untuk hari ini dan esok, saya tidak berniaga, rehat dulu rasanya kerana harga ayam betul-betul naik, kalau saya naikkan harga nasi berlauk saya nanti tak pasal viral pula..” jelas Suhada.

Dia bagaimanapun berpendirian bahawa tidak akan menaikkan harga nasi berlauknya itu walau apa jua cara sekalipun, kerana dia ingin mengekalkan ‘trademark’ yang menjual nasi dengan harga murah.




----------------



Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Wed Jul 21 2021

Lockdown #Day50: Rindu abang yang satu-satunya wali dalam keluarga saya

Tue Jul 20 2021

Saban hari berlalu, masih tiada lagi tanda-tanda bahawa kita semua dapat kembali dalam keadaan biasa tanpa apa-apa sekatan.

Bagi Siti Suhada, biar jauh di mata namun dekat di hati.

“Saya ada lima orang adik beradik, seorang abang saya tu berada di luar negara, sudah hampir tiga tahun tak balik sini.

“Adik-beradik perempuan saya semuanya ada di Kelantan, kakak sulung dan kakak nombor dua saya ada di Pasir Mas.

“Cuma saya dan adik saya yang bongsu inilah yang berada di Tumpat, kami tinggal sekali dengan ibu saya di sini,” katanya.

Merindui abangnya yang berada di perantauan dan menjadi adik yang paling rapat dengan abangnya itu, Suhada titipkan sedikit luahan buat abangnya untuk entri kali ini.

“Abang adalah insan yang mempunyai banyak kenangan bersama terutamanya ketika zaman kanak-kanak. Abang juga yang sentiasa menyokong, sentiasa melindungi Adda (Suhada), dia umpama superhero saya.

“Untuk abang yang berada di perantauan,

Biar renggang di fana dunia,
Biar hina di mata manusia,
Biar semangat semakin tua,
Biar harta semakin tiada,
Biar akal semakin berusia,
Biar jauh kedudukan kita,
Biar jurang pangkat kita,
Jangan tergadai silaturahim antara kita ...





------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Tue Jul 20 2021

Lockdown #Day49: Aidiladha tak semeriah selalu, bilalah nak habis COVID-19 ini?

Mon Jul 19 2021

Esok hari raya Aidiladha, kebiasaannya Siti Suhada dan keluarganya akan mengambil bahagian dalam ibadah korban untuk tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19.

Namun, tahun ini nampaknya suasana masih lagi sama seperti tahun lalu, beraya dalam keadaan norma baharu dan tidak lengkap sekeluarga.

“Bilalah ya nak habis COVID-19 ini, abang saya duduk di luar negara sudah dua tahun tak balik kampung kerana sekatan perjalanan.

“Biasanya pada setiap tahun saya akan ambil korban satu bahagian, tetapi tahun ini saya tidak sertailah ibadah korban tu.

“Kerana tahun ini sama tidak semeriah macam tahun lalu, biasanya saya setiap tahun akan buat makan-makan di rumah saya, berkumpul dengan jiran-jiran dan saudara-mara.

“Saya selalu akan masak daging korban itu dengan buat mee celup, jiran-jiran semua mesti datang singgah makan,” ujar Suhada.

Namun, bagi tahun selepas wujudnya pandemik ini, bahagian daging korban semua hanya atas pemberian orang lain sahaja.

“Biasanya saya sekeluarga untuk ibadah korban itu akan ada tiga bahagian, satu untuk saya, adik saya dan juga ibu saya,” katanya.

Apa yang diharapkan oleh Suhada, tahun ini akan menjadi tahun terakhir untuk kita semua meraikan perayaan dengan berjauhan bersama yang tersayang.

Mendengar perkembangan berita mengenai kemasukan kenderaan di negeri Kelantan menjelang Aidiladha sebelum ini, Suhada hanya mampu berharap mereka yang degil itu supaya sedarlah bahawa nyawa itu bukan perkara yang boleh dibuat main.

Dia berharap berita mengenai kemasukan kereta di Pantai Timur itu tidaklah seperti yang ditularkan dalam media sosial sebelum ini, kerana dia tahu rakyat Malaysia sudah semakin patuh terhadap SOP.

----------------------------------------

Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Mon Jul 19 2021

Lockdown #Day48: Ayam di pasar habis terjual, kehangatan Aidiladha mula terasa

Sun Jul 18 2021

Hari ini Ahad, lockdown masuk hari ke-48. 

Siti Suhada sibuk mencari ayam untuk jualan nasi berlauk pada Isnin, kerana stok ayam mentah habis licin di kebanyakan kedai.

“Mujurlah, tempat saya biasa beli ayam itu, tauke dia baharu hantar stok ayam baru pada sebelah petang selepas waktu Asar.

“Biasanya, pukul 2 petang saya sudah boleh rehat selepas selesai uruskan pembelian ayam dan ikan, tetapi hari ini payah sedikit,” kata Suhada yang memahami situasi menjelang AidilAdha.

Kata Suhada, ramai penduduk setempat menyerbu ke pasar untuk membuat persiapan.

Perniagaan tetap berjalan seperti biasa bagi Suhada, untuk menu Hari Raya Aidiladha, dia sediakan laksa istimewa untuk pelanggannya.

“Sekarang tempahan untuk hari raya dah masuk, saya buka menu laksa lemak Kelantan dan asam laksa dengan harga sekilo RM15.

“Setakat ini sudah ada tempahan 30 kilogram, tapi ini pun rasa macam nak tutup tempahan, sebab kalau tidak nanti jadi macam tahun lepas pula, kalut betul.

“Pukul 5 pagi saya dah keluar sebelum ini untuk cash-on-delivery (COD) di rumah pelanggan, mana tidaknya semuanya nak makan untuk hari raya kan?" tambah Suhada yang dilihat tidak putus asa mencari rezeki meskipun perlu memainkan peranan sebagai ibu tunggal.

Luah Suhada lagi, dia ada kalanya merasakan penat dan lesu selepas terpaksa mengerah tenaga hampir setiap hari demi mencari sesuap nasi.

“Saya ini dah rasa keletihan, sebabkan cuaca pun asyik hujan, kejap hujan, kejap panas.

“Otak saya ini pun dah stres sangat dah, tadi pun sewaktu nak beli ayam sampaikan terlanggar kereta orang depan,” katanya.

Namun, mujurlah tiada apa-apa yang berlaku teruk berlaku pada Suhada, dan dia pun sudah setuju untuk menanggung kos kerosakan kereta depan yang hanya tercalar sedikit sahaja.




------------------------------


Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Sun Jul 18 2021

Lockdown #Day47: Pernah terima tempahan yang memesan tiba-tiba 'hilang'

Sat Jul 17 2021

Sebagai seorang peniaga, pastinya risiko untuk berdepan kerugian itu adalah perkara yang paling tidak diingini berlaku.

Hari ini, Siti Suhada mahu berkongsi kepahitan yang dirasai sewaktu mula menjadi peniaga nasi berlauk RM1.50 sebungkus.

Perkara ini terjadi sewaktu dia menjual laksa, sebaik sahaja hidangan laksanya sudah mula mendapat nama dalam kalangan orang kampung di Tumpat, Kelantan.

“Saya pernah menerima pelanggan yang membuat pesanan dalam kuantiti yang banyak, dan sewaktu saya ingin membuat penghantaran COD, pelanggan itu tidak menjawab panggilan saya.

“Ambil masa beberapa jam jugalah untuk menunggu pelanggan itu menjawab panggilan, tetapi nasib baik saya ada pelanggan lain yang ingin menerima pesanan.

“Sewaktu saya COD dengan pelanggan lain itu, ramailah di antara mereka yang bertanya jika ada lebihan atau tidak dan tahu-tahu semuanya habis licin.

“Kemudian, pada jam 7 malam baharu pelanggan yang tidak menjawab panggilan saya itu cuba menghubungi saya balik dan katanya dia tertidur," kata Siti Suhada.

Namun, apa yang dipelajari oleh Siti Suhada adalah untuk dia lebih berhati-hati apabila menerima pesanan dari mana-mana pelanggan yang ingin membuat pesanan dalam kuantiti banyak kerana risau ditipu dan mungkin mengakibatkan kerugian sahaja.




---------------

Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Sat Jul 17 2021

Lockdown #Day46: Pernah viral dengan juadah 'laksa hangit'

Fri Jul 16 2021

Sebelum nama Siti Suhada terkenal dengan sebagai peniaga nasi berlauk dengan hargam RM1.50 sebungkus, dia pernah menjadi popular sebagai peniaga laksa.

“Saya dulu pernah menjual laksa dan mi kari dan saya buat jualan saya pada awalnya menerusi Facebook dengan pesanan sehingga 150 bekas untuk hari pertama.

“Dengan harga RM7 sebungkus, tempahan saya semakin hari semakin meningkat. Waktu itu pula saya tiada pekerja lagi.

“Saya menguruskan perniagaan saya dengan adik saya sahaja dan jika nak cakap pasal keletihan, hanya saya sahajalah yang tahu pada waktu itu,” ujar Suhada.

Itu antara kesusahan yang dilalui oleh Suhada ketika dia mula menceburi bidang perniagaan, namun dia mendedahkan kesemua cabaran itulah yang membawa kepada kejayaan dalam perniagaan.

“Saya pernah menyediakan laksa untuk dijual tetapi semuanya hangit dan tidak boleh dijual langsung kerana saya terlupa untuk perlahankan api ketika memasak kuah laksa itu.

“Saya memang tidak menjual langsung juadah itu, saya cuma bertanyakan kepada jiran-jiran saya jika ada di antara mereka yang mahukan laksa itu secara percuma, kerana hangit.

“Saya juga ada kongsikan di kumpulan dalam Facebook di “Masak Apa Tak Jadi Harini Official” dan sejak daripada itu saya mula mendapat perhatian.

“Malah, senarai kawan saya di Facebook juga meningkat dan daripada situ jugalah kenalan saya di media sosial mula memberikan sokongan dan menaikkan lagi jualan perniagaan saya,” kongsi Suhada.




----------------------------



Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Fri Jul 16 2021

Lockdown #Day45: Berniaga atau tidak selepas COVID-19 reda, ibu tunggal pasrah ...

Thu Jul 15 2021

Sudah memasuki sebulan lebih sejak Siti Suhada memulakan perniagaannya dengan menjual nasi bungkus berlaukkan gulai ayam, gulai ikan dan ayam goreng serta nasi lemak.

Dengan harga RM1.50, sambutannya memang kita sendiri boleh jangkakan bahawa setiap hari mesti ramai yang beratur di hadapan rumahnya untuk membeli nasi berlauk itu.

Apa selepas ini?

Adakah Siti Suhada akan cuba menu lain pula selepas ini sebagai memperluaskan perniagaannya? 

Ini jawapannya: 

“Menu baharu saya rasa mungkin tidak sempat untuk dibuat, sebelum ini ada saya menjual nasi dagang, namun sekarang sudah tidak sempat.

“Ramai yang mencari nasi dagang kerana itu sememangnya hidangan popular bagi masyarakat di Kelantan.

“Hari-hari, pasti ada yang bertanyakan tentang nasi dagang, tapi tengoklah, nanti-nanti if saya sempat, Insya-Allah saya buat semula nasi dagang,” kata Suhada.

Malah katanya, akibat kesempitan masa juga dia terpaksa menolak tempahan khas daripada orang ramai kerana tidak mahu menjanjikan apa-apa.

“Ada yang hendak mengambil tempahan pada sebelah petang pun saya tolak, bukan tolak rezeki, tapi memang tidak sempat langsung, saya tidak mahu menabur janji dan tidak dapat ditepati,” ujar Suhada lagi.

Dalam pada itu, Suhada mendedahkan dia sendiri tidak boleh menjangkakan apa akan jadi pada perniagaannya selepas pandemik COVID-19 kembali reda.

“Saya tidak tahulah selepas ini boleh teruskan perniagaan lagi atau tidak perniagaan saya ini, sebab kalau sudah boleh rentas negeri, adik saya Siti Salma mungkin akan kena ikut suami dia di Selangor, sudah dua tahun mereka menjalankan hubungan jarak jauh,” katanya.





--------------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.




Thu Jul 15 2021

Lockdown #Day44: Ibu tunggal kongsi tip berniaga

Wed Jul 14 2021


Walaupun harga nasi (RM1.50 sebungkus) Siti Suhada dianggap rendah, dia beranggapan masih ada pelanggan yang tidak mahu berkunjung. 

Ini kerana katanya, masih ramai yang segan untuk datang ke gerainya kerana tidak mahu dilihat sebagai mengambil kesempatan.

“Ada yang keberatan pula untuk membeli di gerai saya kerana segan, saya sering juga memberi nasi secara percuma kepada mereka, biasalah ada dalam kalangan mereka itu sudah berumur. 

“Jadi, mereka sekarang ini mengelak untuk singgah di kedai saya kerana tidak mahu mengambil kesempatan atau mungkin mereka kesiankan pada saya kerana sering memberi nasi kepada mereka secara percuma,” kata Suhada.

Itu antara kerenah yang dilalui oleh Suhada ketika meniaga, tetapi tidak mengapa katanya, kerana dia menyedari bahawa dia sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan selagi termampu.

Pada hari ini, Suhada ingin berkongsikan tip bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan, malah ada juga yang cuba bertanyakan resepi lauk-pauk daripadanya.

“Ada yang dari Kuala Lumpur tanya saya di media sosial, minta pendapat untuk berniaga macam saya. Saya bagi sahaja tip memasak berserta resepi.

“Tip untuk orang yang baharu hendak berniaga zaman sekarang ini, perkara pertama cuba letak harga berpatutan tetapi berkualiti dan sedap.

“Kedua, ialah rajin untuk membuat promos Facebook, saya pun pada mulanya menjaja dengan meronda menaiki motosikal tetapi tidak sangka boleh sampai ke tahap ini.

“Yang penting jangan kedekut, cabaran awalnya itu memang tidak dapat dielakkan tetapi perlu bersabar.

“Bila orang dah kenal kita, mereka akan mencari Insya-Allah, masak pun jangan kedekut, jangan kedekut rempah atau ramuan.

“Pastikan juga rempah ratus semua mengikut sukatan yang betul, barulah lambat basi,” kongsi Suhada.

Bagi anda yang baru mengikuti entri Diari Lockdown ini, Siti Suhada, 34 tahun merupakan peniaga nasi berlauk dengan harga RM1.50 di Kampung Alor Tal, Tumpat.



---------------------------------



Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Wed Jul 14 2021

Lockdown #Day43: Nasi RM1.50 kini jadi trend di Kelantan

Tue Jul 13 2021

Untuk entri pada kali ini, Astro AWANI cuba menyelami sedikit pengalaman yang dihadapi sebagai seorang peniaga nasi berlauk dengan harga RM1.50 sebungkus.

Siti Suhada tidak menganggap persaingan dalam perniagaan itu sebagai perkara yang tidak sihat dalam lumrah perniagaan, kerana semua rezeki itu sudah ditentukan Allah S.W.T.

Namun, dia turut mengakui agak mencabar apabila ada yang mempertikaikan jualan makanan yang disediakannya itu kerana seolah-olah tidak masuk akal, harga murah sangat!

“Ada sahaja yang komen itu ini mengenai makanan saya, ada yang kata tidak padan dengan hargalah, ada yang kata nasi saya sedikitlah.

Alhamdulillah, pelanggan tetap saya memang sentiasa ada, malah tempahan untuk menyampaikan sedekah juga tidak putus-putus seperti awal-awal saya mula meniaga.

Kata Suhada, trend meniaga dengan harga yang sangat murah ini dilihat sebagai satu perkara biasa di sekitar Kota Bharu dan kawasan-kawasan lain di Kelantan.

“Sekarang ini, ramai sudah yang mula menjual murah juga macam saya, peniaga di Kota Bharu pun ramai sudah mula menurunkan harga.

“Nasi kerabu yang biasanya mereka jual dengan harga RM3 dan diturunkan kepada RM1.50 sama macam harga jualan saya, malah yang jual RM1 pun ada.

“Rezeki penduduk sekitarlah pada musim-musim macam ini, sebab ramai yang terjejas jadi pelanggan pun seronok hendak membeli dengan harga murah ni.

Melihat kepada situasi COVID-19 ketika ini, Siti Suhada memaklumkan situasi itu tidak menjejaskan pun dan semuanya Alhamdulillah semuanya berlangsung dengan baik-baik sahaja.

Esok, Siti Suhada mahu berkongsi tip untuk mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, ikuti perkembangan dia di Diari Lockdown ya!





----------------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.


Tue Jul 13 2021

Lockdown #Day42: Peranan Suhada pupuk minat membaca dalam diri anak-anak

Mon Jul 12 2021

Perniagaan nasi berlauk RM1.50 sebungkus Siti Suhada beroperasi seperti biasa hari ini.

Alhamdulillah katanya, ada banyak pesanan yang diamanahkan untuk disedekahkan kepada masyarakat sekeliling. 

Namun, hiruk-pikuk urusan berniaga hanya berlaku pada sebelah pagi dan selesai dalam jam 10 ke 11 pagi.

Sebelah petang pula, banyak masa terluang untuk Siti Suhada yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki ini, untuk membaca novel.

“Hari ini tiada apa-apa aktiviti, seharian duduk di rumah sahaja sibuk membaca novel.

Malah, Suhada berkata dia terpengaruh dengan satu tayangan slot megadrama yang disiarkan di Astro Ria, iaitu Love Elsa sampaikan membuat pesanan dalam  talian untuk membeli novel itu.

Jelas Suhada, memang menjadi satu kebiasaan untuknya membuat pesanan dalam talian bagi menambah koleksi novel di rumahnya.

Ditambah pula pada ketika ini cuaca hujan di kawasan Kampung Alor Tal, Tumpat kata Suhada, memang sesuailah menghabiskan masa di rumah dengan tabiat membaca. 

Anak-anak pun boleh ikut untuk memupuk minat membaca ini. 




--------------------------------



Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Mon Jul 12 2021

Lockdown #Day41: Rindu mahu bawa anak-anak bercuti

Sun Jul 11 2021

Ketika rakyat Malaysia masih lagi diarahkan untuk kekal berada di rumah sepanjang pelaksanaan ‘total lockdown’, ramai yang membuat langkah berjaga-jaga dalam menguruskan kewangan.

Ini termasuklah peniaga seperti Siti Suhada, yang melihat kepentingan untuk berbelanja secara cermat dan hanya mengutamakan keperluan sahaja.

“Kalau ikutkan keadaan sekarang memang sedih, saya perlu berjimat-cermat sebab tidak tahu di mana penghujung COVID-19 ini.

“Nak kata takut untuk berbelanja itu tidaklah sampai ke tahap itu, perbelanjaan hanyalah melibatkan barangan keperluan sahaja.

“Tetapi kalau hendak membeli barang-barang sekadar memuaskan kemahuan, memang saya tidak akan berbuat demikian," kata Suhada.

Adalah pentingnya untuk menjadi kreatif dengan memikirkan sesuatu yang boleh memberikan pendapatan tambahan atau side income ketika ini, tambah ibu tunggal ini.

“Kita boleh menjana pendapatan tambahan dengan menjadi dropship, membuat pelbagai jualan dalam talian, menjaja kuih-muih atau sediakan perkhidmatan penghantaran makanan.

“Trend sekarang ini orang lebih yakin menggunakan perkhidmatan penghantaran kerana ramai yang lebih memilih untuk menghantar ke rumah berbanding mereka sendiri yang keluar mencari barangan,” jelas Suhada.

Bagi Suhada, perkara pertama yang akan dikejarnya sebaik sahaja pandemik COVID-19 ini kembali reda ialah keinginannya untuk membawa anak-anak bercuti kerana mereka sekeluarga sudah rindu untuk makan-makan angin di seluruh negara.






-------------------------------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Sun Jul 11 2021

Lockdown #Day40: Anak, ibu jadi kekuatan Suhada sejak menjadi ibu tunggal

Sat Jul 10 2021

Sejak semalam, Siti Suhada tidak dapat membuka perniagaannya kerana sepupunya meninggal dunia.

Semoga arwah yang meninggal dunia pada usia 29 tahun itu, ditempatkan di kalangan yang beriman, insyaAllah.

Hari ini pula, anak bongsunya yang berusia lima tahun pula mengalami demam panas.

Kata Suhada, sejak suaminya meninggal dunia, sumber kekuatannya terletak pada ibunya dan dua orang anak lelakinya.

“Saya tinggal berdekatan dengan rumah ibu saya dan setiap hari saya akan ke sana untuk makan bersama-samanya.

“Saya juga sedang menyimpan sedikit wang untuk membina sebuah rumah baharu untuk ibu kerana rumah yang didiaminya sekarang merupakan rumah pusaka," katanya.

“Ibu banyak memberikan semangat kepada saya. Dia sering memberi nasihat agar sentiasa mempunyai sifat memaafkan individu lain.

“Ibu turut menasihati saya supaya selalu membantu orang yang dalam kesusahan, barulah kita akan dimurahkan rezeki,” kata Suhada.

Selain menghabiskan masa bersama ibu dan dua orang anaknya, rutin Suhada pada setiap Jumaat adalah menziarahi pusara arwah suami dan ayahnya.



--------------------------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Sat Jul 10 2021

Lockdown #Day39: 'Sebaknya ada individu tak dikenali mohon bantu beli susu anak'

Fri Jul 09 2021

Siapa yang pernah merasa susah, pasti tahu bagaimana peritnya untuk hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Hari ini, Siti Suhada berasa insaf dan sebak apabila ada beberapa individu yang menegurnya di ruangan mesej aplikasi Instagram untuk memohon bantuan.

Ia bermula apabila Suhada ada mengisi ruangan komen di sebuah entri di akaun Instagram Astro AWANI tentang ‘Tujuh beranak berhimpit tidur di dalam kereta’ yang dimuat naik pada Khamis.

“Siapa tahu nombor akaun abang ini atau nombor telefon, boleh hantar mesej kepada saya,” komen Suhada di dalam entri tersebut.

Ramai yang menyokong niat usaha Suhada itu, tidak terlepas juga orang yang mendoakan supaya perniagaan ibu tunggal itu agar terus kekal maju.

“Kesiannya Ya Allah, saya dan anak-anak kekadang itu makan sampai membazir, tetapi orang lain...” luah Suhada dengan penuh rasa sebak dan bersyukur.

Kebanyakan yang menegur Suhada itu mempunyai anak kecil dan memohon bantuan untuk membeli susu dan lampin pakai buang untuk anak-anak mereka.

Kata Suhada, dia tidak sampai hati melihat situasi sesetengah insan yang kurang bernasib baik sebegitu, dan kerana itu dia sanggup membantu setakat mana yang mampu.

“Saya bantu mereka ini setakat mana yang saya mampu, ada yang saya dah membuat pembelian susu untuk anak mereka secara dalam talian dan dihantar terus ke rumah mereka.

“Kasihan sangat pada mereka, saya ada anak, jadi saya faham situasi itu,” tambah Suhada lagi.

Niat murni ibu kepada dua orang anak lelaki ini jelas menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap keperitan yang dihadapi orang lain.



------------------------------------------


Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Fri Jul 09 2021

Lockdown #Day38: Suhada di persimpangan dilema, mahu terus berniaga atau ...

Thu Jul 08 2021

Sebelum tercetusnya idea untuk menjual nasi berlauk gulai ayam dan ikan tongkol dengan harga yang murah, Siti Suhada pernah menjadi ejen penjual mesin penapis air selain menjual laksa di sebuah kiosk di hadapan kedai makan.

Akibat daripada sekatan pergerakan penuh, banyak kekangan untuknya meneruskan tanggungjawab itu, sehubungan itu dia berhasrat untuk mula meniaga dengan adiknya Siti Salma.

Tetapi kini, sebaik Kelantan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), ada lah sedikit ruang untuk Suhada kembali meneruskan punca utama rezekinya itu.

Menurut Siti Suhada, ada juga terfikir di benak fikirannya untuk mula menjual mesin penapis air itu, tetapi keputusan itu mungkin agak berat untuk dibuat olehnya.

“Sekarang yang merisaukan saya adalah, apabila saya dipanggil untuk bekerja semula dalam masa terdekat, boleh ke adik saya dan pekerja uruskan perniagaan nasi berlauk itu?,” luahnya.

“Dia (Siti Salma) suruh saya meniaga, saya pula rasa sayang nak tinggalkan kerja sebagai penjual mesin penapis air itu.

“Saya ini ada banyak komitmen, gaji sebagai penjual mesin itu pun boleh tahan memadainya.

“Tetapi saya sudah beritahu pada adik, nanti saya dah mula bekerja semula, mungkin saya boleh tolong untuk memasak sahaja, dan dia sendirilah yang akan meniaga dan urus duit semua,” kata Suhada.

Sebelum ini, Suhada pernah juga meniaga dengan menjual aneka jenis laksa di kiosk dekat kedai makan kawasan rumahnya, tetapi dia sudah tarik diri kerana tidak larat untuk membayar kos sewa.

Perniagaan Siti Suhada dan adiknya Siti Salma ibarat pisang goreng panas, tidak kurang juga dengan orang yang membayar semua jualan nasi bungkusnya itu untuk diedarkan kepada golongan asnaf di sekitar tempat tinggalnya di Kampung Alor Tal, Tumpat




-----------------------------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.


Thu Jul 08 2021

Lockdown #Day37: Berniaga waktu pagi, petang dapat layan anak-anak

Wed Jul 07 2021

Semalam, Siti Suhada mengambil masa untuk beriadah selepas penat bangun pagi untuk berniaga dengan melayan hasil tanamannya hari ini lain pula aktivitinya.

Rutin peniaga nasi berlauk RM1.50 sebungkus ini sebaik sahaja jualannya habis licin dibeli oleh pelanggannya, dia akan menutup gerai dan terus beli barang-barang niaga.

“Selepas tutup gerai, saya akan keluar membeli barang-barang untuk berniaga esok. Kebiasaannya, saya akan membeli ikan dan ayam.

“Selepas itu, sampai rumah sahaja terus saya akan membersihkan ikan dan memotong ayam-ayam itu, kalau ikan itu saya akan rebus dahulu dengan asam garam dan gula.

“Kalau ayam itu pula, saya akan lumurkan dengan garam, kunyit untuk persediaan sebelum digoreng.

“Kalau untuk gulai pula memang kami akan simpan dalam ‘freezer’ atau peti sejuk beku dan tinggal untuk dipanaskan semula sebelum dijual,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata ini bagaimanapun tetap pandai membahagikan masa untuk meluangkan waktu lapangnya untuk beriadah dengan anak-anak.

“Sebelah pagi saya meniaga, tengah hari siapkan barang meniaga untuk esok dan selepas waktu Asar baru saya keluar beriadah dengan anak-anak.

“Rancangannya nak pergi berjoging, tetapi hujan pula, jadi kita layankan anak-anak petang ini dengan bawa mereka pergi ke kandang rusa untuk bagi makan pada rusa-rusa itu,” kata Suhada.

Itulah yang boleh digambarkan tentang bagaimana rutin seharian Siti Suhada yang meniaga nasi berlauk viral di Kampung Alor Tal, Tumpat.

Dia sentiasa bersyukur kerana perniagaannya hari ini juga berjalan lancar apabila 100 bungkus dibahagikan kepada penduduk secara percuma dan selebihnya dijual macam biasa.






--------------------------------



Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.


Wed Jul 07 2021

Lockdown #Day36: Perlu ada persaingan secara sihat

Tue Jul 06 2021

Dalam lumrah perniagaan, pasti ada pasang surutnya.

Bagi Siti Suhada, berniaga nasi berlauk dengan harga yang sangat murah adalah salah satu tarikan bagi penduduk di sekitar Tumpat, Kelantan.

Namun, dia juga maklum bahawa persaingan adalah lumrah dalam perniagaan.

“Hari ini, jualan saya agak perlahan sedikit berbanding hari-hari sebelum ini.

“Ada kedai lain yang berniaga (nasi berlauk) seperti saya dan perniagaanya mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat setempat. 

“Biasanya, pada jam 10 pagi saya boleh menghabiskan kesemua makanan jualan saya, tetapi hari saya habis berniaga kira-kira jam 11 pagi,” katanya.

Suhada melihat senario itu sebagai persaingan sihat. 

“Mungkin harga yang dijual oleh peniaga itu lebih murah, tidak mengapa, saya harus bersyukur kerana habis juga semuanya hasil jualan saya.

“Saya juga seronok tengok ramai sudah mula makanan dengan harga yang murah-murah seperti saya,” ujarnya lagi.

Suhada tidaklah mahu menyentuh sangat mengenai perkara itu dalam entri Diari Lockdown kali ini kerana dia seorang ibu tunggal yang sentiasa berpandangan positif dan melihat ke hadapan.

Dia berkata, hari ini dia kembali mengisi masa lapangnya dengan memberi perhatian terhadap tanaman pokoknya di laman rumah.

“Selepas selesai semua kerja, saya balik ke rumah saya sendiri kerana meniaga itu di rumah mak untuk membersihkan rumah.

“Pokok-pokok pun sudah 'merajuk' kerana tuannya tidak sempat untuk membelainya,” kata Suhada dalam nada berseloroh.



------------------------------------------------------


Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Tue Jul 06 2021

Lockdown #Day35: Sedih bila ada mengeluh nasi RM1.50 pun mahal

Mon Jul 05 2021

Nasi bungkus berlaukkan gulai ayam, gulai ikan dan hidangan nasi lemak yang dijual dengan harga RM1.50 oleh Siti Suhada sememangnya menjadi tumpuan orang ramai.

Ramai yang beranggapan harga yang dijual itu boleh memberi kelegaan kerana ia semestinya menijmatkan kos perbelanjaan seharian, terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Namun, masih ada lagi yang belum tentu mampu membeli nasi berlauk itu walaupun sudah dijual dengan harga yang cukup murah.

Kata Suhada, situasi itu dilihat olehnya apabila dia sendiri membuat tinjauan di kawasan kampungnya untuk mencari pelanggan.

“Ada satu ketika itu, adik saya pergi menjaja menaiki motosikal dan tidak lama selepas itu, adik saya pulang semula ke rumah dengan muka hampa.

“Ia kerana masih banyak lagi saki-baki nasi berlauk itu tidak terjual, lalu saya pun kata biar saya yang ikut dia meronda untuk menjaja.

“Sampai dekat satu rumah itu, saya pun memberi salam dan memberitahu pelanggan saya itu yang saya ada jual nasi dengan harga RM1.50.

“Tetapi jawabnya, suami dia tidak bekerja dan mereka pun makan dengan apa yang ada sahaja,” kata Suhada.

Menyedari bahawa masih ramai orang masih susah sehingga tidak dapat untuk mengisi perut yang sedang lapar, Suhada sendiri terdetik untuk membantu mereka yang benar-benar susah ini.

Malah, syukur sehingga ke hari ini, pasti ada sahaja nasi berlauk yang akan diagihkan kepada masyarakat di sekitar kawasan penempatannya. 



------------------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.


Mon Jul 05 2021

Lockdown #Day34: Bila ada yang perlu, saya pastikan bantuan menyusul

Sun Jul 04 2021

Sebaik sahaja mendengar mengenai kempen #BenderaPutih, tanda solidariti bagi membantu golongan yang memerlukan, Siti Suhada terus tidak boleh duduk diam dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Pada Sabtu, dia dimaklumkan oleh beberapa pekerjanya bahawa ada beberapa jiran di kawasan tempat tinggalnya memasang bendera putih.

“Pekerja yang bekerja di gerai saya ada nampak orang pasang bendera putih, lalu saya terus suruh mereka bungkus nasi berlauk saya ini dan hantar kepada mereka.

“Ada jugalah dalam dua tiga orang dan pekerja saya sendirilah yang pergi hantarkan kepada mereka,” kata Suhada.

Setakat ini, Suhada yang juga berniaga nasi berlauk dengan harga RM1.50 sebungkus masih belum melihat mana-mana rumah yang digantungkan bendera putih.

Dia sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang perlu.

“Saya belum nampak lagi bendera putih tu, tapi kalau ada orang bagitahu rumah sekian-sekian ada pasang bendera putih, saya akan cuba bantu.

“Biasanya ada jiran saya yang kadang-kadang malu untuk datang ambil nasi berlauk saya secara percuma.

“Jadi, saya akan suruh pekerja saya sendiri yang pesan pada mereka supaya datang sahaja ke gerai saya dan ambil nasi itu sendiri secara percuma.

“Selepas itu barulah mereka ini datang, malah saudara-mara saya pun, kalau saya pesan suruh datang ambil nasi percuma, mereka ini tidak datang, kerana malu katanya,” kata Suhada lagi.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 menerusi Pakej PEMULIH kepada semua Ahli Parlimen untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan.

Jelas PM Muhyiddin, ia bagi memberi lebih banyak bantuan dihulurkan kepada golongan terjejas menerusi wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Menurut Suhada, mungkin ada yang tidak memilih untuk memasang bendera putih sebagai tanda perlukan bantuan, tetapi dengan menegurnya di media sosial untuk meminta bantuan.

“Ada yang menghantar mesej pada saya di Facebook, nak pinjam duit untuk beli susu anak.

“Dia kata nak pinjam RM50, jadi saya kirimkan wang kepadanya tanpa perlu membayar balik, saya anggap sedekah untuk anak-anaknya sahaja,” kata Suhada yang juga seorang ibu tunggal.






------------------------------------------





Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Sun Jul 04 2021

Lockdown #Day33: Nasi bungkus RM1.50 umpama 'talian hayat' buat penduduk Pasir Pekan, Tumpat

Sat Jul 03 2021

Sebelum Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown dilaksana, Siti Suhada Salleh bekerja sebagai ejen penjual mesin penapis air.

Pada masa sama, dia turut mengusahakan sebuah kiosk laksa di sebuah kopitiam di Pasir Pekan, Tumpat.

Antaranya, asam laksa, laksa lemak Kelantan, laksam, kari laksa dan laksa Johor. Biasanya, Suhada akan mula berniaga dari jam 5 petang hingga 11 malam.

Tidak lama kemudian, kiosk itu terpaksa gulung tikar.

Kini, rezeki Suhada disalurkan kepadanya dengan jualan nasi lauk berharga RM1.50. 

“Ada untung tapi tak banyak la, selepas tolak modal dan bayar gaji pekerja adalah sedikit.

“Saya jarang untuk mengambil bahagian keuntungan kerana biasanya saya serahkan kepada ibu dan adik saya," kata Suhada kepada Astro AWANI.

“Jika ambil pun wang keuntungan, saya akan menggunakannya untuk kos mengisi minyak kereta sahaja” katanya.

Suhada yang berusia 34 tahun merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki ini akui memang terkesan akibat total lockdown, tetapi tidaklah seteruk mana kerana dia bersyukur masih ada wang simpanan yang diusahakan selama ini.

Dia lebih seronok berniaga dari rumah kerana dia dapat membantu pekerjanya untuk mencari rezeki dan berbakti kepada masyarakat setempat dengan menjual nasi dengan harga yang rendah.

Menurutnya, dia lebih senang hati apabila mengetahui bahawa dia dapat memberi makanan kepada orang susah yang benar-benar memerlukan.






------------------------------------------





Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Sat Jul 03 2021

Lockdown #Day32: 'Syukur hampir setiap hari ada yang menyumbang, malah dari Singapura pun ada'

Fri Jul 02 2021

Hampir setiap hari, ada individu yang ingin membuat sumbangan dengan membeli nasi bungkus berlauk Suhada dan adiknya Salma untuk didermakan kepada orang susah.

Hari ini sahaja, Suhada selesai membuat pengagihan nasi bungkus percuma kepada 620 individu.

Sumbangan itu bukan sahaja datang dari pembaca Astro AWANI yang mengikuti perkembangan Diari Lockdown, malah ada juga yang menyumbang dari luar negara.

“Hari ini, saya selesai buat pembahagian 620 bungkus nasi percuma.

“250 daripadanya adalah hasil sumbangan stesen radio tempatan, malah ada juga individu yang datang dari Singapura yang menyuarakan minat untuk membuat sumbangan.

“Juga ada yang dari Shah Alam, dari Terengganu dan mereka ini semuanya saya tidak kenal.

“Mereka dapat menghubungi saya pun dari Facebook dan ada juga dari pengikut 'Diari Lockdown' di Astro AWANI dan juga kenalan lama saya,” katanya.

Niat asalnya adalah untuk berniaga, namun siapa sangka kini Suhada terdorong untuk mengerahkan tenaga dengan membuat kerja-kerja amal.

Ini kerana, ada juga beberapa individu yang berhubung dengannya untuk mendapatkan bantuan.

“Sekarang ini pun ramai yang menegur saya di media sosial dan ada yang minta bantuan beras.

“Saya akan cuba usahakan, walau pun tidak banyak, tetapi sedikit pun jadilah. Saya anggap amalan saya ini sebagai zakat” ujar Suhada.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat terjejas akibat COVID-19.

Pada 1 Julai, peruntukan tersebut mula disalurkan dan ia sebagai memastikan pelaksanaan yang lebih terangkum dan efektif kepada beberapa kumpulan sasar di seluruh negara.




-------------------------------------------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.

Fri Jul 02 2021

Lockdown #Day31: Mula berniaga ayam seekor, kini 15-20 ekor sehari

Thu Jul 01 2021

Seperti manusia lain juga, Siti Suhada Salleh perlu ada satu hari khas untuk berehat.

Pada setiap Khamis, gerainya yang menyediakan nasi lauk gulai ayam dan ikan ditutup dan untuk hari itu jugalah dia akan menambah stok-stok barang basah dan sebagainya.

Untuk hari-hari biasa, rutin dia dan adiknya Siti Salma Salleh pastinya agak sibuk di sebelah waktu pagi dan mungkin tidak mempunyai waktu tidur yang cukup pada waktu malam.

“Biasanya, kami mula membungkus makanan untuk dijual seawal jam 5 pagi dan buka gerai sejam selepas itu dalam pukul 6 pagi.

“Dalam pukul 9.30 pagi hingga 10 pagi macam itu sudah habis terjual hidangan kami itu” katanya.

Apabila ditanya, bagaimana persediaan untuk menjadi seorang peniaga yang menjual makanan untuk sarapan pagi?

Kataya, barang-barang mentah seperti ayam, ikan akan sampai dalam pukul 2 pagi dan dari situ bermulalah proses memasak dan sebagainya.

“Hari-hari, kami akan masak 20 ekor ikan tongkol dan 15 ekor ayam, dan biasanya 30 kilo beras habis dipakai dalam masa sehari.

“Pada awalnya, kami hanya memasak seekor ayam seekor dan seekor ikan tongkol,” kata Suhada.

Semua itu berubah sekelip mata apabila hari pertama dia berniaga dengan harga yang agak luar biasa, permintaan terus menjadi tinggi.

Tidak lama selepas itu, perniagaan Suhada diuar-uarkan di Facebook penduduk setempat dan dari situlah, perjalanannya bermula.

Sejak daripada itu, katanya lagi, hampir setiap hari pasti ada sahaja hamba Allah yang ingin menyumbangkan nasi berlauk yang dijualnya itu kepada mana-mana pelanggan yang datang ke gerainya.






---------------------------------------



Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.



Thu Jul 01 2021

Lockdown #Day30: 'Ada anak-anak yatim buat-buat lalu depan rumah, saya tahu mereka lapar'

Wed Jun 30 2021

Dengan harga yang begitu rendah, pastinya kita sendiri boleh menjangkakan bahawa perniagaan Nasi Berlauk oleh dua beradik Siti Suhada Salleh dan adiknya Siti Salma Salleh akan menjadi laku keras.

Seawal jam 6 pagi, sebaik meja gerai dibuka dan makanan dihidangkan, pelanggan dari kawasan setempat mula menyerbu gerainya yang terletak di rumahnya sendiri di Kampung Alor Tar, Tumpat.

Kata Suhada, ramai di kalangan pelanggannya yang datang untuk membeli memang datang daripada golongan yang susah.

“Ada yang betul-betul hidupnya susah dan datang membeli dengan saya, ada seorang pelanggan itu, saya tahu dia tinggal di satu rumah ada empat orang.

“Tetapi yang peliknya, dia datang hanya untuk membeli sebanyak tiga bungkus sahaja, jadi saya pun hairan.

“Saya pun bertanya mengapa beli tiga bungkus sahaja? Jawab dia, kerana tidak cukup duit.

“Jadi, saya pun berniat untuk sedekahkan sahaja satu lagi bungkus nasi berlauk untuk seorang lagi ahli keluarganya itu,” kata Suhada.

Malah, Suhada turut menceritakan ada kalanya terdapat anak-anak yatim atau orang-orang susah yang hanya melalui kawasan rumahnya, dia tahu bahawa mereka itu mungkin lapar atau perlukan bantuan.

“Kalau anak-anak yatim atau orang susah lalu depan rumah saya, walaupun mereka ini tidak mahu membeli, tetapi saya tetap panggil mereka.

“Saya akan bagi hidangan nasi bungkus saya itu secara percuma untuk mereka, kerana apabila saya tanya mereka sama ada sudah makan atau belum, jadi saya memang bagilah pada mereka,” kata Suhada lagi.

Ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki berusia tujuh dan lima tahun ini sejujurnya prihatin dengan keadaan orang sekeliling, dan dengan cara meniaga inilah dia bersedekah.

Dalam erti kata lain, Suhada dan adiknya meniaga sambil beramal.




-------------------------------------------------




Ibu tunggal kepada dua orang anak ini akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini dalam edisi Diari Lockdown.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.




Wed Jun 30 2021

Lockdown #Day29: Ibu tunggal jual nasi berlauk RM1.50 sebungkus tampung dua anak

Tue Jun 29 2021

Rakyat Malaysia pasti pernah mendengar kisah inspirasi seorang peniaga yang sebelum ini menjadi perhatian ramai apabila dia menjual nasi berlauk dengan harga RM1.50 sebungkus.

Diari Lockdown kali ini membawakan kisah seorang ibu tunggal, Siti Suhada Salleh yang membuka mata ramai orang apabila niatnya untuk berniaga bukan semata-mata mengejar untung, tetapi hanya untuk meringankan beban penduduk setempat di Tumpat, Kelantan.

Idea ini tercetus apabila Suhada melihat bahawa sekatan pergerakan penuh mungkin akan berterusan, dan untuk itu adiknya Siti Salma Salleh telah memberi cadangan untuk menjaja di sekitar kampung.

“Saya menawarkan diri untuk menolong adik saya dengan memasak lauk gulai ikan dan gulai ayam, manakala untuk hidangan nasi lemak dan sambal pula, adik saya yang sediakan.

“Memandangkan dalam tempoh total lockdown ini ramai penduduk kampung yang berdepan dengan situasi pendapatan terjejas, kami bersepakat menjual nasi berlauk dengan harga tersebut.

“Maka bermulalah rutin kami pada malam itu (13 Jun), selepas waktu Isyak kami terus menyediakan bahan-bahan untuk memasak sehinggalah sampai jam 3 pagi,” kata Suhada.

Mungkin ramai yang tertanya, apa yang dijual dengan harga RM1.50 itu?

Suhada dan adiknya menjual hidangan nasi bungkus berlaukkan gulai ayam, gulai ikan dan ayam goreng serta nasi lemak dan ia sememangnya hidangan popular bagi masyarakat di Kelantan.

Biasanya, nasi berlauk di Kelantan yang sama seperti hidangan ditawarkan oleh Suhada dan Salma itu dijual dengan harga antara RM2.50 hingga RM6 (bergantung jenis lauk).






--------------------------------------------------


Ibu tunggal kepada dua orang anak ini, ikuti Diari Lockdown akan berkongsi entri harian mengenai perkembangan perniagaan, rutin harian, cabaran dan yang paling penting kisah inspirasinya ketika berdepan tempoh mencabar ini.

Kisah Suhada ini ialah kelolaan wartawan penyiaran dan pembaca berita Faris Danial Razi.










Tue Jun 29 2021
#Siti Suhada Salleh#nasi lemak RM1 50#ibu tunggal#Ibu oh Ibu#Tumpat#Diari Lockdown
Niaga AWANI

Niaga AWANI

Berita niaga dan ekonomi dalam dan luar negara serta analisis dan temubual bersama tokoh-tokoh perniagaan
AWANI Jr

AWANI Jr

AWANI Jr adalah satu platform yang kami sediakan untuk memberi ruang kepada pelajar-pelajar sekolah mengetengahkan hasil kreativiti untuk dikongsikan.
Komuniti AWANI

Komuniti AWANI

Ada pelbagai cerita kemanusiaan dalam setiap komuniti, dan impaknya adalah besar. Saksikan cerita komuniti yang dihantar oleh anda, disampaikan oleh artis kesayangan tanahair.
AWANI Sarawak

AWANI Sarawak

Laporan berita ringkas, padat komprehensif dari Negeri Bumi Kenyalang.
Awani 7.45

Awani 7.45

Jarum jam bergerak terlalu pantas. Kerana pembinaan semula negara sedang gigih digerakkan, buletin utama Astro AWANI kini bersiaran seawal 7.45 malam. Jangan lupa janji temu anda dengan kami di Saluran 501 Awani!
Agenda AWANI

Agenda AWANI

Isu utama harian dan mingguan dikupas dengan mendalam oleh ahli panel.
AWANI Pagi

AWANI Pagi

Kupasan lebih mendalam beberapa tajuk berita
Cerita Normal Baharu

Cerita Normal Baharu

Penularan COVID-19 memaksa semua pihak mengubah setiap aspek kehidupan dan operasi kepada normal baharu. Apa cabaran untuk setiap syarikat dan industri mengubah kebiasaan mereka secara drastik demi kelangsungan hidup?
Consider This

Consider This

There are multiple sides to the stories and issues of the day. Melisa and Sharaad speak to various experts and stakeholders to understand their perspectives – so you can consider all sides of the news.
Notepad with Ibrahim Sani

Notepad with Ibrahim Sani

Notepad examines what is hot in the world of business and technology. Ibrahim Sani attends global business and tech conferences like the CES, WWDC, WEF, and more, and reports directly from these locations to for you.
Let's Talk

Let's Talk

Sharaad Kuttan takes a deeper look at events packed in this half hour show for wider knowledge, greater understanding and better comprehension of the news that matter to you. He rocks!
The Future is Female

The Future is Female

Women with extraordinary stories share their experience with Melisa Idris, on The Future Is Female
AWANI Review

AWANI Review

Fronted by Cynthia Ng, AWANI Review is a series of in-depth conversations with industry captains and influential leaders shaping the future of business.
AWANI Byte

AWANI Byte

AWANI Byte merupakan laporan ringkas berkaitan isu-isu semasa yang sesuai ditonton di pelbagai platform. Laporan dalam tempoh 1 hingga 3 minit ini memaparkan perkembangan terkini dalam dan luar negara.
Undi Bootcamp

Undi Bootcamp

You're 18, you can vote: now what? Undi Bootcamp is a one-stop series for new voters (and those who just need a refresher). Join us as we find answers to real questions and put your favourite experts on the grill.
KiniTV

KiniTV

Laporan berita dalam dan luar negara berbahasa Inggeris terbitan KiniTV Sdn Bhd
Menang Saham

Menang Saham

Menang Saham Bersama DDNK berkongsi tips mudah untuk orang menyertai saham serta analisis terkini berkaitan pasaran saham Malaysia dan Dunia.
Kamek Anak Sarawak

Kamek Anak Sarawak

A series of exclusive interviews with the Sarawak State Government Senior Officials to feature the development and success stories of Sarawak State.
Lan Berdagang

Lan Berdagang

Sharing the success of SME-Small and Medium Entrepreneurs in Sarawak. Contents related to market form, career opportunities, assistance and support
Health Matters

Health Matters

Explore the wonderful world that is the human body. Dishen Kumar speaks to physicians, clinicians, researchers, patients and more, as we explore our pursuit to be healthy
Bual Bola

Bual Bola

Perbincangan bola sepak dari analisis perlawanan mingguan BPL hingga ke perkongsian liga fantasi pilihan anda.
Week Ahead

Week Ahead

Week Ahead brings you the latest of what’s coming so you can stay on top of things.
Fokus Minggu Depan

Fokus Minggu Depan

FokusMingguDepan - Melengkapi setiap sudut pemberitaan dengan liputan apa yang akan terjadi dalam dan luar negara.
Agenda AWANI Asia

Agenda AWANI Asia

Agenda AWANI Asia dengan kerjasama China Radio International membincangkan masa depan Asia serta impak terhadap perkembangan teknologi, ekonomi, pertanian, pendidikan dan pembangunan.
AWANI Global

AWANI Global

AWANI Global dihoskan oleh Rizal Zulkapli, meneroka isu-isu Antarabangsa dan kesannya kepada Malaysia Baharu.
AWANI Tonight

AWANI Tonight

AWANI Tonight is Astro AWANI’s signature English News programme featuring facts, insights, and bite-sized analyses behind major headlines of the day in 15 minutes.