Lockdown #Day14: Fazrul dan pekerja RCSA
Lockdown #Day14: 'Kedai cendol ini hidup atas semangat rakan baikku, Hafez'
Kedai Rojak & Cendol Shah Alam (RCSA) di Seksyen 24, Shah Alam ini sebenarnya diasaskan seorang kawan baik, Hafez namanya.
Namun, Hafez mengalami kemalangan motosikal empat tahun lepas. Dia mengalami pendarahan otak, koma dan sudah menjalani tiga pembedahan.
Bila sudah kembali sedar, Hafez perlu belajar segalanya semula, termasuk bergerak, bercakap, makan dan berjalan.
Sudah hampir empat tahun, keadaan Hafez tidak banyak berubah.
Namun, itu semua bukan penghalang untuk Fazrul meneruskan legasi cendol kawan baiknya, Hafez.
Walaupun gerainya hanya sederhana saiz di ruang medan selera ini, hidangan cendol menggunakan santan sawit dengan menawarkan 100 perisa termasuk cendol durian, yang menjadi signature product dalam kalangan penduduk sekitar Shah Alam.
Cendol di sini merupakan 100 peratus hasil produk tempatan.
Tanyalah sesiapa sahaja yang pernah ke sini, pasti mereka akan tertarik dan datang kembali kerana santan sawit yang digunakan berbeza rasa dengan santan kelapa.
Walaupun Hafez tidak sihat, ia bukan penghalang untuk Fazrul menguruskan perniagaan. Operasi tetap lancar, kebajikan pekerja tetap nombor satu.
"Kedai cendol ini hidup atas semangat Hafez. Aku tahu kesusahan yang ditempuh akibat PKP bukan penghalang untuk terus ke hadapan.
"Satu ketika beberapa cawangan dibuka di ibu kota dan Lembah Klang, juga tetap bertahan dan survive dengan semangat yang diturunkan Hafez semasa dia mengendalikan kedai cendol.
"Aku tahu, keikhlasan dalam perniagaan akan dibayar tuhan dengan caraNya yang tersendiri. Rezeki itu skopnya luas, maksudnya mendalam, kepuasannya juga berbeza," ujarnya.
Paling penting, tidak ponteng kerja, jaga kualiti produk dan servis kepada pelanggan.
Walau lelah kerana mendepani cabaran PKP, Fazrul meneruskan perniagaan dengan apa sahaja cara yang ada, guna khidmat penghantaran dan ubah sedikit strategi promosi.
Paling penting, semua hasil jualan direkodkan dan dilaporkan kepada keluarga Hafez.
Cendol ini nyawanya, kata Fazrul.
Alhamdulillah ... tidak pernah putus setiap bulan tetap ada rezeki untuk menampung kos Hafez meneruskan rawatan.
Inilah jasa yang hari ini terbalas kerana kelebihan Hafez yang berjaya menghasilkan peluang rezeki berterusan untuk pekerjanya dan pada masa sama dapat digunakan untuk keadaan dan kesihatannya.
Mungkin RCSA bukanlah satu syarikat gergasi, tetapi Hafez adalah antara CEO yang paling hebat. Dia masih perlu banyak masa untuk sembuh walaupun sebelum ni doktor pernah kata, Hafez tiada harapan lagi untuk terus hidup.
Semoga tuhan memanjangkan umur Hafiz dan memberkati perniagaan ini.
Perjalanan Fazrul juga masih jauh.
------------------------------------------
Terima kasih daun keladi dari sidang pengarang Astro AWANI diucapkan kepada Fazrul kerana sudi berkongsi pengalaman dan jerih-perih perjalanan sebagai mikro-SME ketika 'total lockdown' ini.
Doa sentiasa diucap agar pandemik terus pergi, PKP berakhir dan kedai cendol boleh mencari rezeki seperti sebelumnya ...Insya-Allah.
Ini entri terbaharu Fazrul dalam siri Diari Lockdown. Nantikan edisi terbaharu, kisah seorang lagi peniaga yang terpaksa berjuang dalam mendepani 'total lockdown' dalam ruangan ini.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day13: Order untuk hari ini
Lockdown #Day13: Penghargaan kedai cendol kepada petugas badan beruniform
Tiada siapa dapat menafikan jasa petugas barisan hadapan sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, ia termasuk pelbagai pihak serta badan beruniform yang siang malam bertugas demi memastikan keselamatan rakyat serta pematuhan kepada SOP.
Kita tahu kepenatan mereka, kita sedar kelesuan mereka yang tidak berhenti berbakti sehingga cuti dibekukan selain ramai lagi yang menanggung rindu akibat berbulan-bulan terpisah dengan keluarga.
"Kedai cendol tetap dibuka untuk delivery atau bawa pulang. Jangan lepaskan peluang untuk mengubat kerinduan menikmati cendol legend kami.
"Untuk menghargai jasa dan pengorbanan pasukan hadapan negara, warga beruniform yang datang untuk pembelian take away di kedai kami akan menerima satu cendol biasa dengan setiap pembelian dua bungkus cendol.
"Tidak kiralah abang tentera, polis, bomba, doktor, jururawat, RELA atau MBSA, asalkan mereka unit beruniform penjawat awam, layak untuk promosi ini," kata Fazrul.
Fazrul juga mengakui, perkongsian kisah hariannya memberi rezeki tambahan dengan peningkatan pesanan dalam talian selain beberapa sahabat lama turut menghubunginya untuk memberikan kata-kata semangat.
Mereka berdoa perniagaan cendol ini kekal bertahan, terus maju dan berjanji akan membuat kunjungan selepas kerajaan membenarkan dine-in atau rentas daerah kelak.
-----------------
Ini entri terbaharu Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day12: Berkongsi rezeki...
Lockdown #Day12: Semangkuk cendol tanda kasih buat anak yatim
Fazrul menyedari berdepan keperitan berniaga cendol semasa PKP, bukan alasan untuk tidak berkongsi rezeki lebih-lebih lagi dengan anak-anak yang kehilangan ibu bapa.
Namun, dia tetap bersyukur kerana rezekinya tetap berterusan walaupun perniagaan tidak serancak dahulu.
"Kita sentiasa dekat dengan masyarakat setempat, sebentar tadi kita bersama komuniti setempat menyumbang untuk meraikan anak-anak yatim di Pusat Rawatan Limpahan Kasih di Puchong.
"Dalam menghadapi cabaran PKP yang getir ini. Sumbangan ini dapat sedikit sebanyak menceriakan dan memberi semangat kepada anak-anak ini untuk mengharungi cabaran PKP.
"Program ini kami jalankan sekurang-kurangnya sebulan sekali. Selain cendol, beberapa peniaga lain di medan selera ini turut menyumbang hidangan masing-masing, ini cara kita berkongsi kasih sayang," ujar Fazrul.
Fazrul turut berharap pelanjutan PKP 3.0 selama dua minggu lagi dipandang positif semua pihak walaupun hakikatnya menambah cabaran kepada peniaga kecil sepertinya.
-----------------
Ini entri terbaharu Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day11: "Mengandung ini kalau mengidam lain macam" - pelanggan
Lockdown #Day11: Pelanggan mesej 3 pagi isteri mengidam cendol durian
Memenuhi segala kemahuan pelanggan adalah ramuan kejayaan dalam setiap perniagaan.
Slogan customer is king memang tepat walaupun kadang-kala terpaksa melayan pesanan WhatsApp isteri pelanggan yang mengidam cendol durian pada pukul 3 pagi.
Kata Fazrul, perkara itu bukan pertama kali malah pelbagai lagi yang melibatkan perniagaannya dan kadang kala dia tertawa sendiri apabila teringat kembali peristiwa berkenaan.
"Banyak ragam yang sudah jumpa semenjak berkecimpung dalam perniagaan ini ... ada yang cuba scam jadi food reviewer ada yang cakap durian tidak sedap tapi dah habis licin semangkuk, ada yang patah balik repeat order sbb tidak cukup dan macam-macam lagi.
"Tapi kalau untuk request mengidam ini kitorang amik serious skit. Yerlah, orang mengandung ini kalau mengidam lain macam.
"Ramai yang panik sebab isteri mengidam time off season etc. Setakat ini takde yang pelik-pelik lagi. Setakat tengah malam request tu biasa," kata Fazrul.
Fazrul tahu, maklum balas positif pelanggan akan diperolehi hanya dengan memenuhi setiap kehendak dan melayan ragam mereka. Lebih-lebih lagi semasa tempoh PKP.
Itu sahaja petua untuk memastikan ada jualan setiap hari sepanjang tempoh ini.
-----------------
Ini entri terbaharu Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day10: Ramadan yang penuh cabaran
Lockdown #Day10: 'Terkenang pengalaman buka gerai cendol di bazar Ramadan'
Hari akhir bulan Syawal, Fazrul terkenang pengalaman diberi peluang berniaga cendol di bazar Ramadan, baru-baru ini.
Masih teringat kegembiraan semasa dimaklumkan berjaya mendapat satu tapak berniaga, pada masa itu syukur kepada tuhan kerana merasakan dapat menampung pelbagai masalah kekurangan jualan cendol sejak sekian lama.
Namun, panas yang disangka sampai ke petang tidak kesampaian.
Bazar Ramadan diarah tutup kerana peningkatan kes COVID-19 selain jualan juga tidak berapa baik akibat cuaca hujan hampir setiap petang pada masa itu.
"Pada masa itu, berserah sahaja kepada apa yang hendak jadi, stok yang sudah dibeli juga nampaknya akan rosak.
"Pekerja selalu menutup gerai dalam keadaan basah kuyup. Hujan lebat hampir setiap petang, ada hari angin kencang hampir terbangkan gerai.
"Tak apalah, mungkin ada rezeki di masa lain, kena reda, semuanya ditentukan tuhan, kita usaha," jelasnya.
Hari ini, kedai cendolnya seperti biasa, tetapi Fazrul tertanya-tanya adakah lockdown ini akan berakhir minggu depan dan menanti detik bilakah pelanggannya dapat 'dine-in' seperti satu masa dahulu.
----------------
Ini entri terbaharu Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day9: Drive thru...senang je
Lockdown #Day9: 'Tak dapat dine-in, boleh drive-thru'
Memang semasa PKP tidak boleh dine-in, itu satu faktor mengurangkan kenikmatan suasana menikmati cendol di laman selera MBSA ini.
Namun khidmat cendol pandu lalu yang diperkenalkan mungkin membantu mengurangkan rungutan sesetengah pelanggan yang menunggu hidangan dihantar di hadapan rumah.
Ada juga yang mengeluh ais cendol sudah cair apabila pesanan diterima dalam masa kira-kira 30 minit penghantaran dilakukan.
"Jadi saya dapat idea untuk buat konsep drive-thru. Sama ada pelanggan WhatsApp dahulu atau parkir kereta di tepi medan selera sebelum pekerja menghantarkan cendol di kenderaaan mereka.
"Mula-mula ramai yang tidak tahu, tetapi lama-mana sudah jadi kebiasaan. Mereka juga tahu cara ini mudah kerana tidak perlu keluar kereta dan menunggu di hadapan kedai.
"Mujur juga kawasan parkir luas, jadi seandainya ada ramai pelanggan mereka tidak susah untuk mencari tempat parkir," ujar Fazrul.
Pada masa sama, Fazrul bersyukur dengan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) yang difahamkan akan mula diterima Khamis.
Ia pasti digunakan untuk membayar beberapa hutang pembekal, pekerja dan sewa premis.
----------
Ini entri terbaharu Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day8: Cendol durian satu!
Lockdown #Day8: 'Banyak cabaran saya sebelum kedai cendol dikenali ramai'
Semasa PKP ini, Fazrul sering terkenang saat-saat mula terjun ke perniagaan cendol selain berdoa berharap pandemik COVID-19 segera hilang dan strategi meningkatkan pelanggan semasa lockdown berjaya.
Katanya, idea memulakan kedai cendol sawit bermula daripada Pengasas RCSA sekali gus rakan kongsinya, Hafiz yang pandai memasak selain sudah mencuba pelbagai jenis perniagaan sebelum ini.
"Ingat lagi masa testing hendak pilih santan yang terbaik pun ambil masa sebulan lebih, sebab di pasaran sendiri sudah ada pelbagai produk santan. Itu pun end product kena bancuh lagi untuk dapatkan yang paling sedap lebih-lebih lagi bila dicampur dengan durian.
"First few months memang kami struggle. Mana ada orang makan cendol pakai santan sawit before this, semua santan kelapa. Kemudian timbul idea buat cendol durian.
"Orang yang datang kedai bagi beribu-ribu reaksi. Boleh makan ke? Sedap ke? Tetapi selepas dua tahun baru orang ramai boleh terima dan setahun selepas itu mula viral sebagai 1st cendol durian.
"Sambil-sambil itu buat penyelidikan dan pembangunan (RnD), maka dapatlah menu 100 jenis cendol sampai kedai ini pernah diiktiraf oleh sebuah rancangan makanan di televisyen sebagai cendol dan rojak paling popular di negara ini, syukur," katanya.
Bermula dengan lima jenis cendol saja disajikan ketika mula dibuka, permintaan luar biasa diterima bagi tahun pertama memaksa Fazrul menambah pelbagai aneka dan mencecah 100 jenis.
Antara cendol yang menjadi pilihan pengunjung seperti aneka cendol durian, cendol pulut, cendol mangga, cendol buah naga (dragon fruit), cendol koko crunch, cendol jelly gummy, cendol tapai pulut dan cendol Milo.
-----------
Ini entri kelapan Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day7: Cuti sehari ...
Lockdown #Day7: 'Tutup hari ini ... esok terpaksa kurangkan menu'
Hari ini kedai cendol cuti sehari sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mula-mula ingat hendak buka sahaja kedai tetapi selepas ingat balik sudah lama pekerja tidak mahu cuti dan menu perlu disusun serta dikurangkan, jadi tutup sehari keputusan terbaik.
Menu terpaksa dikurangkan sebab hendak jaga costing akibat pengunjung berkurangan.
"Sebelum PKP ada macam-macam menu seperti yong tau foo, sotong kangkung, tauhu bakar selain 100 jenis cendol.
"Dia jadi affect sales sebab kurang varieties, tetapi terpaksa tutup menu food sebab untuk perishable items, cost pula tinggi. Ada (stok) yang cancel order or tak jadi order," kata Fazrul.
Tempoh lockdown ada kira-kira tujuh hari lagi, semoga minggu akan datang ada perubahan, penambahan pelanggan dan rezeki lebih meneruskan kehidupan.
-----------------
Ini entri ketujuh Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day6: Semoga minggu akan datang ada perubahan...
Lockdown #Day6: Perniagaan cendol semakin 'tenat'
Tidak sampai hati untuk diluah tetapi perniagaan Fazrul sudah semakin 'sakit'.
Dia awal-awal lagi meminta maaf kepada pekerjanya yang terpaksa diberhentikan kerana kekangan kewangan.
"Mula-mula ada 14 pekerja, kini hanya tinggal empat orang, itupun gaji terpaksa dikurangkan. Sebelum ini, mereka dapat komisyen kerana jualan cendol melebihi sasaran, apabila musim durian pendapatan semakin bertambah.
"Sekarang jualan tidak sampai 50 peratus dari biasa, memang sekarang tidak untung tetapi tidak boleh tutup kedai. Tidak sampai hati apabila melihat pekerja yang tinggal tiada sumber pendapatan.
"Ada yang baharu melangsungkan perkahwinan, ada yang baru menimang cahaya mata, ada terpaksa menjaga ibu bapa yang sakit, jadi bila fikir balik, tidak sampai hati hendak tutup kedai," ujarnya.
Atas sebab itu Fazrul tetap meneruskan perniagaan kerana dia menyedari kesannya lebih besar jika menutup kedai cendol walaupun seketika, ia mungkin menerbitkan sangkaan buruk pelanggan setianya.
Mungkinkah pencuci mulut yang selama ini menjadi pilihan hanya tinggal kenangan yang tidak dapat dinikmati kembali?
---------
Ini entri keenam Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day5: Lori kuning ini dulu 'lincah' ke sana ke sini
Lockdown #Day5: 'Dulu, lori ini 'merantau' ke 3,4 lokasi seluruh Lembah Klang...'
Hari Sabtu dan Ahad dahulu, biasanya banyak tempahan katering cendol untuk majlis perkahwinan, hari jadi, doa selamat dan sebagainya.
Pada masa itu, lori cendol ini akan diparking di hadapan rumah pelanggan. Pekerja pula akan menyajikan semangkuk pencuci mulut sejuk dan manis selepas tetamu majlis menikmati hidangan utama di bawah khemah.
Lori cendol ini pernah satu ketika 'merantau' ke tiga atau empat seluruh Lembah Klang sehari untuk memenuhi permintaan majlis dan paling penting, hidangan licin apabila kenderaan pulang semula ke 'sarang'.
Namun kini, lori cendol terbiar sepi, tayarnya pun sudah kurang angin, mungkin pancit, lama terbiar tidak bergerak dan berdebu di parkir medan selera kerana tiada lagi tempahan katering.
Fazrul masih bertahan, ada terlintas untuk menjual sahaja kenderaan mencari rezeki itu, namun selepas berkira-kira, baik batalkan sahaja - baki tunggakan di bank akan lebih merugikan, pasti hangus semua bayaran bulanan termasuk wang pendahuluan, dia pasrah.
-------------
Ini entri kelima Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day4: Pengalaman PKP persiapkan diri bila semuanya normal kembali...
Lockdown #Day4: 'Pengalaman PKP persiap diri bila semuanya kembali pulih'
Setiap insan mengejar kelangsungan hidup, begitu juga dengan Fazrul semuanya demi memastikan kehidupan keluarga dapat diteruskan.
Alhamdulillah ...
Benar kata-kata yang selalu diungkap, rezeki tidak pernah salah alamat, Allah S.W.T sudah menentukan semuanya, paling penting kena usaha.
Selain itu, pengalaman PKP dijadikan persiapan diri bila pasaran kembali pulih nanti. Fazrul yakin model perniagaan yang dipraktikkannya akan mendorong kepada hasratnya untuk mempertingkatkan lagi operasinya.
Fazrul tahu, penggunaan pelbagai strategi, promosi serta pendekatan akan membuahkan hasil, setidaknya tahu sekuat mana cabaran yang ditempuh sekarang untuk pedoman di masa hadapan.
"Bila kita masih mampu bergerak sebagai satu pasukan, ia saling memberi dorongan untuk terus istiqamah dalam perjuangan mencari rezeki. Kita ambil maklum kesusahan yang dilalui segenap rakyat. Kita turut sama merasai peritnya, kita tidak pernah berhenti berusaha," ujarnya.
---------
Ini entri keempat Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day3: Hanya dalam kenangan...
Lockdown #Day3: Sabar menanti memori manis kedai cendol berulang
Sebut sahaja nama kedai cendol ini, rata-rata penduduk Shah Alam tahu lokasi ini menghidangkan kenikmatan air batu parut dicampur cendol, manisan serta tambahan buah-buahan atau agar-agar berperisa sebagai penyeri hidangan.
Ada pelanggan sanggup datang dari Negeri Sembilan, Melaka, Johor mahupun lebih jauh dari itu untuk merasai sendiri cendol tular yang tidak segan untuk diakui antara yang tersedap di Lembah Klang.
Pada masa itu, setiap pekerja tidak cukup tangan menyiapkan pesanan pelanggan selain Fazrul sudah berkira-kira untuk membuka cawangan lain di beberapa lokasi demi memudahkan pelanggan tetapnya yang menetap jauh dari Shah Alam untuk menikmati cendol.
Kemeriahan medan makan MBSA ini seolah pesta setiap petang dan karnival pada hujung minggu, ada juga 'reunion' serta perjumpaan yang dilakukan di sini seolah-olah cendol menyatukan mereka semua.
Hari ini ia menjadi kenangan, tersimpan rapi di ingatan, hanya boleh dilihat kembali di notifikasi media sosial, sekali sekala tersenyum sendiri melihat gambar kepadatan pelanggan yang menikmati cendol di galeri telefon bimbit.
Namun Fazrul menyedari, itu semua memori sebelum pandemik COVID-19 melanda, tiada kepastian ia akan berulang atau kekal suram begini sampai bila-bila.
-------
Ini entri ketiga Fazrul dalam siri Diari Lockdown.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 ini kelolaan wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day2: Lengang ...
Lockdown #Day2: 'Nak langsai hutang pengedar, saya perlu buka kedai'
Realitinya setiap hari sebelum memulakan perniagaan, niat Fazrul cukup utuh untuk melangsaikan hutang pengedar buah selain pekerjanya yang tertunggak sejak awal tahun.
Mujurlah mereka memahami dan tidak terlalu mendesak walaupun diakui tekanan keperluan kewangan untuk meneruskan kehidupan tetap menjadi keutamaan semua, lebih-lebih lagi semasa PKP 3.0 ini.
Fazrul menyedari, hidangan cendol buah-buahan termasuk durian masih mempunyai peminat tersendiri dan masih dipilih masyarakat setempat sebagai manisan penghilang dahaga di waktu tengah hari, namun sedar serta memahami, situasi kini membataskan semua orang untuk menikmatinya di kedai.
Doanya setiap kali usai solat, pandemik cepat berlalu dan meja-meja yang sudah lama kosong kembali dipenuhi pelanggan.
Pada waktu itu, dapatlah Fazrul melangsaikan terus semua hutang lama dan meneruskan perniagaan seperti sediakala seperti masa-masa dahulu.
Bolehlah pengedar buah menghantar semula bekalan dengan hati girang serta senyuman pekerja semasa menghidangkan cendol kembali terukir di wajah masing-masing.
Amin.
---------------------
Ini entri kedua Fazrul dalam siri Diari Lockdown oleh Astro AWANI.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 dijayakan oleh wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day1: Dulu lain, sekarang lain ...
Lockdown #Day 1: Ini kisah si peniaga cendol, Fazrul
Seperti sudah dijangka, hari pertama total 'lockdown' tetap suram seperti sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk pemilik restoran RCSA Cendol & Rojak, Shah Alam, Selangor ini.
Percaya dan yakin rezeki itu daripada Allah, Fazrul Nizam Osman tetap tabah membuka kedai cendolnya yang sudah diusahakan sejak 2014 demi menyara kehidupan di bandaraya besar.
Walaupun hakikatnya pelanggan semakin kurang, pesanan dalam talian juga semakin 'sepi' malah kebanyakan kedai bersebelahan menutup kedai masing-masing, Nizam perlu terus menanti rezeki sekurang-kurangnya lepas untuk membayar sewa premis sebanyak RM350 sebulan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Dia juga mengakui terpaksa memberhentikan beberapa orang kakitangan kerana tidak lagi mampu membayar gaji mereka.
Jauh di sudut hati, Nizam percaya, pandemik yang menutup rezeki ramai peniaga kecil sepertinya akan pergi dan pelanggan tetapnya akan kembali menikmati cendol di premisnya seperti hari-hari sebelum ini.
-------
Ini entri pertama Fazrul dalam siri Diari Lockdown oleh Astro AWANI.
Kompilasi harian sepanjang PKP 3.0 dijayakan oleh wartawan kanan, Wan Syamsul Amly.