Lockdown #Day55: Frontliners, harapan dan Caribou Cafe
Sememangnya benar pandemik COVID-19 yang Allah turunkan kepada kita tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji semua.
Menguji sejauh mana iman kita, sejauh mana keterbukaan hati dan setinggi mana kesabaran setiap insan.
Sebelum ini, kita banyak dilalaikan dengan masa, pembaziran tidak menentu, hiburan dan hubungan yang melebihi had.
Namun, sekarang ini semuanya disekat. Kita tidak boleh lagi ke sana, ke sini dan wang yang banyak tidaklah memberi apa-apa erti lagi.
Asmawi menganggap ini tidak lebih sebagai ujian yang Allah berikan supaya manusia dapat berfikir sejenak dan bermuhasabah serta seterusnya kembali kepada jalan yang direda oleh-Nya.
Untuk melaluinya dengan sabar dan tenang, tidaklah kita boleh menidakkan jasa yang telah diberi oleh semua petugas barisan hadapan.
Mereka telah bertungkus lumus mengendalikan setiap kes COVID-19 dengan baik dan berkesan.
Setiap penat lelah dan kudrat yang dicurahkan sangatlah bernilai serta tidak boleh dibandingkan dengan apa sekalipun.
Walaupun sehingga kini kes COVID-19 dilihat semakin meningkat setiap hari namun, mereka tetap bersedia memberikan yang terbaik kepada negara demi kesejahteraan sekali gus menamatkan pandemik ini.
Hari ini sahaja, kes positif COVID-19 sudah melebihi 17,000. Malaysia harus kuat menghadapi apa yang bakal mendatang. Kita kuat!
Dengan ini, Caribou Cafe mengambil pendekatan untuk bersama-sama membantu dengan usaha yang tidak seberapa dan berharap dapat memberikan sedikit sebanyak keceriaan juga meningkatkan motivasi petugas barisan hadapan.
Caribou Cafe juga merasai denyut nadi masyarakat setempat dan mengambil peluang untuk membantu mereka yang memerlukan.
Sumbangan yang diusahakan amatlah kecil jika hendak dibandingkan dengan pihak lain.
Dengan segala perancangan dan strategi perniagaan yang dilakukan, Asmawi pasti dan berharap dapat melaluinya dengan baik.
Walaupun tidak sehebat sebelum pandemik, namun Asmawi berasa bersyukur dan bertuah dapat bertahan sehingga hari ini.
Asmawi sentiasa ingin memberikan hanya yang terbaik kepada setiap pelanggan yang selalu menyokong Caribou Cafe selama ini.
Kepada rakan-rakannya yang selalu membantu dan memberi sumbangan, juga kepada pihak Pertubuhan Tulus Ehsan Perak yang sudi bekerjasama dalam menjayakan misi-misi bantuan.
Terakhir sekali kepada semua stafnya yang selama ini menjadi tulang belakang Caribou Cafe yang selalu ditegur dan tidak melatah bila dimarahi.
Selalu bersabar dengan kerja walaupun remeh. Tanpa mereka tiadalah Caribou Cafe dapat berdiri dengan jayanya. Terima kasih untuk segalanya. Teruskan bersama Caribou Cafe dan Insya-Allah kita akan lebih berjaya di suatu masa nanti.
Marilah bersama berdoa menadah tangan agar pandemik ini cepat-cepat berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini.
Ramai anak-anak di perantauan yang telah mula merindukan kampung halaman dan kedua orang tua serta sanak saudara di kampung.
Semoga Caribou Cafe dapat meluaskan perniagaannya dan dapat membantu dengan lebih banyak lagi.
----------------------------
Ini entri terakhir buat Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown. Terima kasih kerana menjayakan kompilasi harian ini bersama Astro AWANI.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day54: Rezeki dikongsi bersama
"Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Tidak akan jatuh miskin orang yang suka bersedekah. Hidup ini adalah untuk memberi dengan sebanyak-banyaknya."
Itu antara ungkapan yang sering bermain di benak hati sanubari Asmawi.
Rezeki yang diberi Allah S.W.T perlu dikongsi bersama dengan yang lain.
Lebih-lebih lagi sewaktu pandemik ini.
Ramai yang terkesan dan memerlukan bantuan sama ada berbentuk barangan keperluan dapur mahupun wang tunai untuk menjalani kehidupan seharian.
Rata-rata, masyarakat yang tinggal berhampiran Caribou Cafe mencari pendapatan sendiri dengan mengusahakan tanaman sayuran kampung dan ada juga yang menjadi nelayan sungai.
Malah, ada juga yang menjadi tukang rumah dan buruh binaan.
Pandemik yang berlaku mengehadkan kerja dan mereka sering tidak dapat melakukan kerja kerana patuh terhadap arahan pihak berkuasa.
Ini sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
Pada mulanya Caribou Cafe bergerak mengedarkan sumbangan di atas kapasiti mereka sendiri.
Namun setelah beberapa ketika, ada di antara rakan-rakan yang ingin turut sama menyumbang kepada yang memerlukan.
"Besar tapak tangan, nyiru kami tadahkan," ujar Asmawi.
Dia sangat berbesar hati dengan kemuliaan hati rakan-rakannya terutamanya di Facebook yang sentiasa ingin turut sama menyumbang kepada orang ramai.
Selain itu, Asmawi juga telah bekerjasama dengan Persatuan Tulus Ehsan Negeri Perak (Pertep) dan dilantik sebagai ahli jawatankuasa untuk daerah Hilir Perak.
Segala kerja-kerja bantuan disalurkan dari tabung Pertep untuk diserahkan kepada keluarga yang memerlukan.
Bagi Asmawi, penglibatan bersama Pertep adalah bagi membantu mana-mana keluarga khususnya di dalam daerah Hilir Perak mendapatkan bantuan.
"Walaupun Pertep bukanlah satu pertubuhan yang besar, namun kita telah mencuba sedaya upaya bersama-sama kesemua ahli untuk membantu menghulurkan kepada yang memerlukan," jelasnya.
Kebiasaannya, program untuk penyerahan sumbangan dilakukan dengan melibatkan staf Caribou sendiri.
Ini sengaja dilakukan Asmawi untuk memberi peluang kepada mereka melihat sendiri dan menghayati segala rezeki yang diberi Allah.
Asmawi ingin menerapkan rasa syukur ke sanubari semua pekerjanya. Dia berharap kakitangannya pula akan membuat perkara yang sama ketika mereka berjaya kelak.
--------------------------------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day53: #projek sandwic di Caribou Cafe
Bagi Asmawi, hidup di dunia adalah untuk memberi dengan sebanyak-banyaknya.
Petikan kata-kata itu diperoleh Asmawi ketika menonton sebuah filem Indonesia bertajuk Laskar Pelangi.
Penceritaan dan jalan cerita filem tersebut amat memberi kesan kepada dirinya.
Selepas kejayaan #projekdonut, Asmawi sekali lagi memulakan projek kedua iaitu #projeksandwich.
#projeksandwich bermula apabila tercetusnya idea untuk membantu Abang Rosli dan keluarga.
Abang Rosli merupakan seorang pekerja pembersihan sebuah sekolah berhampiran.
Dia diarahkan berehat daripada bekerja kerana majikannya tidak mampu untuk membayar gaji.
Oleh kerana itu, dia mengambil keputusan untuk membantu isterinya menjual sandwic.
Pada mulanya, Abang Rosli menghantar sandwic yang dibuat untuk diletakkan dan dijual di Caribou Cafe.
Setiap hari, sandwic Abang Rosli mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Sandwich yang dibuatnya bersama isteri amat sedap kerana menggunakan bahan-bahan yang segar setiap hari.
Sekali lagi Asmawi mengajak rakan-rakannya untuk membeli sandwich Abang Rosli dan dijadikan sumbangan kepada orang ramai terutama petugas-petugas di barisan hadapan.
"Alhamdulillah, sambutan yang baik daripada rakan-rakan membolehkan Abang Rosli mendapat pendapatan yang lebih.
"Sandwich Abang Rosli telah diagihkan kepada anggota-anggota polis yang bertugas sama ada di balai polis mahupun di setiap sekatan jalan raya.
"Pihak petugas di hospital juga termasuk petugas wad-wad pesakit telah mendapat manfaat dari projek ini. Klinik-klinik kesihatan sama ada di bandar mahupun di desa juga telah menerima sumbangan sandwic Abang Rosli," ujarnya.
Asmawi berharap, pemberian dari projek sandwic itu sedikit sebanyak dapat memberikan keceriaan kepada setiap petugas barisan hadapan dan boleh mengurangkan sedikit tekanan kerja yang dihadapi.
Asmawi sekali lagi berterima kasih dan amat bersyukur kerana dikelilingi rakan-rakan yang budiman.
Projek sandwic bukan sahaja berjaya memberi Abang Rosli pendapatan yang lebih malahan dapat memberikan keceriaan sekali gus menaikkan semangat kepada petugas barisan hadapan.
Asmawi berharap inisiatif itu dapat dijayakan lagi di masa-masa hadapan.
----------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day52: #projekdonut dan Caribou Cafe
Ketika negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19, ramai di antara rakyat yang terkesan.
Hidup mereka terhimpit dan pendapatan sama sekali akan terjejas.
Mereka yang paling terkesan adalah yang sebelum ini bekerja dengan menerima gaji harian.
Ahmad Sharizan atau dikenali di kampung dengan panggilan Zan merupakan seorang pembantu kedai makan.
Oleh kerana majikannya mengambil keputusan untuk tidak membuka perniagaan, maka Zan terputus pendapatan tetapnya yang selama ini menampung hidup mereka bertujuh sekeluarga.
Lima anak Zan yang masih di bawah tanggungannya dan dua di antaranya masih kecil.
Dia mengambil keputusan untuk membuka semula kedai menu sarapan pagi di hadapan rumah yang selama ini merupakan punca pendapatan sebelum ditawarkan bekerja di kedai makan.
Zan menjual nasi lemak bungkus dan beraneka kuih muih seperti donut, pau kaya, pau kacang, karipap dan kuih ketayap. Semua menu jualan disediakan sendiri oleh isterinya.
Pada perniagaan yang sekejap bermula dan sekejap tutup sebelum ini, Zan sedikit bergelut bagi mendapatkan jualan yang baik.
Asmawi cuba membantu Zan menambahkan hasil jualannya dengan menempah kuih terutamanya donut setiap hari dan menjualnya di Caribou Cafe.
Oleh kerana donut Zan sangat lembut dan sedap, jualan donut di Caribou Cafe sangat menggalakkan.
"Bagaimanakah caranya untuk aku membantu Zan dengan mendapat jualan yang lebih?" persoalan itu sentiasa bermain di fikiran Asmawi setiap hari.
Memandangkan donut Zan adalah antara donut terbaik yang pernah Asmawi nikmati, dia ingin berkongsi rasa yang sama dengan lebih ramai orang.
Di situlah bermula tercetusnya idea #projekdonut.
Asmawi telah mengajak rakan-rakannya terutama di Facebook untuk membeli donut Zan dan memberikan donut tersebut sebagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan.
Idea itu telah mendapat sambutan yang amat baik di kalangan rakan-rakannya.
Setiap hari, ada sahaja insan budiman yang membeli donut Zan untuk disumbangkan.
Petugas barisan hadapan seperti anggota polis, Rela, petugas kesihatan di hospital mahupun klinik-klinik kerajaan telah mendapat manfaat dari cetusan idea #projekdonut ini.
"Ramai yang amat terharu dan berasa gembira menerima sumbangan donut tersebut. Walaupun sekadar donut, namun amat bermakna bagi mereka yang menerima.
"Rata-rata mengatakan bahawa donut tersebut lembut dan amat sedap. #projekdonut ini telah membantu Zan memperoleh pendapatan harian bagi menampung perbelanjaannya seisi rumah.
"Zan juga berasa amat terharu dan sangat-sangat berterima kasih kepada semua yang menjayakan #projekdonut ini," ujarnya.
Bagi Asmawi tiada ucapan yang selayaknya untuk rakan-rakan beliau yang bersama menjayakan #projekdonut itu selain ucapan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat.
-------------------------------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day51: Menu Caribou Cafe penghubung kasih
Dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumum kerajaan, sekatan sempadan antara negeri telah dilakukan bagi mengelak wabak COVID-19 dari terus menular ke seluruh negara
Penutupan sempadan negeri ini tidak membolehkan sama sekali semua orang untuk merentas negeri pulang ke kampung halaman masing-masing tanpa ada sebab yang munasabah.
Ini menyebabkan anak-anak desa yang merantau di perantauan kerana mencari rezeki pastinya merindui kampung halaman serta sanak saudara yang telah lama tidak dikunjungi.
Ini sekali gus memberi cabaran kepada Asmawi untuk memikirkan bagaimana mahu membantu anak-anak di perantauan untuk mengirimkan ingatan dan rasa rindu mereka terhadap kampung khususnya kepada ibu-bapa, ahli keluarga mahupun sanak saudara mereka.
Caribou Cafe telah menawarkan menu-menu hebat dan terbaik bagi pelanggan yang mahu menggembirakan sanak saudara mereka di kampung.
Banyak permintaan yang telah diperoleh Caribou Cafe dan rata-rata datangnya daripada anak-anak yang tinggal di perantauan seperti di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang dan juga dari Terengganu.
Sesiapa sahaja yang menerimanya pasti akan berasa diri sangat istimewa dan sekali gus menceriakan suasana.
"Bak kata orang-orang tua, perut gembira hati pastinya ceria. Hantarkan kasih sayang dan rasa rindu anda melalui menu-menu yang ada di Caribou Cafe, pasti ia akan menggembirakan sesiapa sahaja dan memberikan memori manis kepada si penerima" ujar Asmawi.
Di samping itu juga, Asmawi turut membuat video istimewa lagu Selamat Hari Lahir dengan bermain gitar dan lagu yang dinyanyikan sendiri olehnya.
Video itu dibuat dan dihantar secara rahsia kepada si penerima. Kebanyakan penerima berasa amat terharu, terkejut dan istimewa dengan hantaran video yang dibuat. Semua menyatakan rasa bertuah dan dihargai dengan kejutan yang diberikan.
"Ini adalah salah satu cara bagi saya untuk menghargai dan memberikan hanya yang terbaik kepada pelanggan. Saya cuba untuk melakukan apa sahaja yang termampu dan terdaya selagi ia tidak melebihi batasan.
"Saya berharap cara ini dapat memberikan ketenangan dan menghilangkan rasa rindu anak perantauan terhadap kampung halaman.
"Kepada sesiapa yang ingin berbuat demikian, boleh berhubung terus dengan kami di talian 05-6213200 ataupun 019-6213200. Pasti anda tidak berasa kecewa," ujarnya.
Menu di Caribou Cafe bukan sahaja berbaloi dan sedap dinikmati malah menjadi penghubung kasih dan rindu antara sesama insan. Dengan berbuat demikian, ia pasti menjadi sesuatu yang lebih dari apa yang kita jangkakan.
----------------------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day50: Mari rasa sapuan bawang putih dan 'kerepek merepek'
Pandemik yang berlaku di seluruh negara telah mengakibatkan jualan di Caribou Cafe jatuh hampir 40 peratus.
Jika sebelum ini pelanggan datang bersama keluarga ataupun rakan-rakan dibenarkan untuk makan di kedai, namun sekarang tidak lagi.
Pihak kerajaan telah mengarahkan supaya pelanggan hanya boleh datang dan bungkus sahaja.
Piawaian operasi yang ditetapkan kerajaan itu membantutkan operasi dan sekali gus mengurangkan jualan.
Oleh yang demikian, Asmawi tidak mahu ia menjadi alasan dia tidak boleh menambah pendapatannya.
Penjualan roti bakar sapuan bawang putih dan sup cendawan yang mendapat sambutan hangat daripada para pelanggannya telah memberi idea kepada Asmawi untuk cuba menjual "sapuan bawang putih" yang diilhamkan sendiri olehnya dan isteri.
Pada awalnya, sapuan bawang putih ini dibeli daripada penjual lain.
Namun oleh kerana harganya yang agak tinggi menyebabkan Asmawi dan isteri telah mencuba untuk mencipta resepinya yang tersendiri.
Cubaan demi cubaan telah dilakukan dan akhirnya berjaya menemui resepi yang sesuai.
Setelah berpuas hati dan yakin akan resepinya itu, Asmawi telah melakukan carian di internet bagi mendapatkan jenis botol yang sesuai dan menempah label produknya mengikut kesesuaian bekas tersebut.
"Alhamdulillah produk "sapuan bawang putih" oleh Caribou Cafe telah mendapat permintaan yang amat menggalakkan. Saya bukan sahaja menjualnya di kedai tetapi telah mengiklankannya di media sosial," jelasnya.
Kini, Asmawi boleh berbangga kerana produk tersebut telah sampai ke Putrajaya, Kuala Lumpur dan juga sehingga ke Terengganu.
Produk sapuan bawang putih yang dihasilkan Caribou Cafe menjamin setiap keluarga dapat menyediakan sarapan dengan mudah, cepat dan sedap.
Tagline "potong, sapu dan bakar" memberi impak yang amat baik dalam menarik pelanggan untuk membeli.
Selain daripada itu, Asmawi juga telah menghasilkan produk yang diberi nama "Kerepek Merepek".
Produk itu diilhamkan setelah salah seorang dari stafnya telah datang membawa kerepek tersebut untuk dijamu kepada semua staf. Asmawi merasakan produk itu boleh terjual dan bermulalah inisiatif bagi membuat kerepek berkenaan.
Kerjasama itu telah menghasilkan produk Caribou Cafe yang dinamakan Kerepek Merepek.
"Kerepek ini sesuai menjadi kudapan oleh seisi keluarga walau di mana berada. Rasanya yang sedap dan kurang manis pasti memberikan pengalaman yang berbeza dalam setiap gigitan.
"Produk ini telah sedikit sebanyak membantu saya mendapat pendapatan sampingan dan sekali gus dapat menambah pendapatan staf," katanya.
Asmawi turut merancang untuk mengadakan promosi besar-besaran dan mencari agen di seluruh negara dan berharap kedua-dua produk yang dihasilkan Caribou Cafe itu mendapat permintaan yang tinggi.
----------------------------------------------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day49: GKP dan moratorium untuk Caribou Cafe
Dalam masa Asmawi merangka segala perancangan perniagaan untuk kedainya, dia berasa amat bersyukur dan terharu atas kesudian pihak kerajaan menyediakan geran berbentuk bantuan tunai kepada peniaga-peniaga kecil sepertinya.
Geran Khas Prihatin (GKP) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bantuan kewangan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan bagi membantu aliran tunai perniagaan di samping meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan.
Kesediaan kerajaan menyediakan GKP umpama talian hayat untuk PKS serta perusahaan mikro seperti Asmawi bagi meneruskan perniagaan mereka.
Mungkin nilainya tidak banyak tetapi ia cukup bermakna kerana sedikit sebanyak dapat membantu kelangsungan perniagaan.
Tanpa membuang masa, Asmawi membuat permohonan secara dalam talian dengan mengisi segala maklumat berkaitan perniagaannya.
Asmawi berasa amat bertuah kerana permohonannya diluluskan bagi penerimaan GKP 1.0, 2.0, 3.0 dan sekarang GKP 4.0 telah pun dibuka di bawah program PEMULIH.
Dengan bantuan tersebut, Asmawi telah menambah baik sistem POS di Caribou Cafe.
Jika sebelum ini, sistem pesanan adalah secara manual, kini Asmawi menggunakan peranti mudah alih dan perisian aplikasi yang dibelinya dari sebuah agen penjual perisian di Ipoh.
Penambahbaikan itu telah membantu kedainya menyediakan sesuatu pesanan dengan sangat mudah dan cepat.
Ini sekali gus dapat melancarkan operasi dan meningkatkan hasil jualan di samping memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggannya.
Di samping itu, kerajaan juga telah mengumumkan pelaksanaan moratorium terhadap pelanggan bank yang mempunyai pinjaman sama ada pinjaman kenderaan mahupun pinjaman pembiayaan membeli rumah.
Bagi yang terjejas, moratorium merupakan satu rahmat.
Asmawi mempunyai pinjaman pembiayaan kenderaan yang selama ini digunakan untuk manfaat operasi kedainya. Moratorium membolehkan Asmawi menangguhkan bayaran bulanan pinjaman beliau selama enam bulan dan pemberian kemudahan moratorium itu diberi secara automatik.
"Alhamdulillah terima kasih kerajaan dan juga pihak bank. InsyaAllah saya akan memanfaatkan kemudahan ini dengan baik." ujarnya.
Kedua-dua kemudahan itu telah membantu Asmawi dalam memastikan aliran tunai perniagaannya berada dalam keadaan baik dan positif sekali gus membolehkan Caribou Cafe berada kekal di dalam pasaran.
--------------------------------------------------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day48: Stay @home: Memperkasa perkhidmatan penghantaran dan pesanan
Untuk mengekang pandemik COVID-19 ini dari terus menular, kerajaan telah menyarankan orang ramai supaya duduk sahaja di rumah sekiranya tiada perkara penting yang hendak dilakukan di luar.
Di dalam satu perutusan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyatakan, tidak perlu 'ke sana ke sini ke sana ke sini ke sana ke sini' yang telah mendapat perhatian dan liputan amat luas daripada seluruh rakyat.
Ada juga yang merasa terhibur sehinggakan satu video parodi dibuat dan mendapat jumlah tontonan sangat tinggi.
Kempen 'stay at home' dilaungkan kerajaan itu telah turut sama dirasai Asmawi.
Asmawi berpendapat, kempen itu amat bagus dalam mengekang COVID-19 dari terus merebak kepada yang lain.
Asmawi juga sedar ddia perlu membuat sesuatu bagi membantu pihak kerajaan dalam merealisasikan kempen berkenaan.
Setelah mengatur dan menambah rakan perkhidmatan penghantaran termasuk menyediakan penghantaran sendiri oleh kedainya, dia giat menjalankan promosi dalam menggalakkan orang ramai untuk duduk di rumah dan memesan makanan secara dalam talian sahaja.
"Semua cabang media sosial digunakan seperti Facebook, Instagram dan aplikasi WhatsApp untuk mempromosi perkhidmatan penghantaran yang disediakan Caribou Cafe. Saya juga turut menyediakan minuman dan aiskrim percuma kepada pelanggan yang memesan makanan secara dalam talian.
"Saya turut menambah baik sistem pesanan dalam talian di kedai dengan menyediakan nombor telefon khas. Nombor ini dijaga oleh seorang staf khas demi memastikan segala pesanan dan pertanyaan dilayan.
"Saya turut memberi tunjuk ajar kepada staf ini bagaimana mahu memberikan hanya yang terbaik kepada pelanggan. Setiap pesanan yang diterima akan cuba disiapkan secepat mungkin supaya pelanggan tidak menunggu lama untuk pesanan mereka sampai," jelasnya.
Asmawi juga akan memastikan status pesanan pelanggannya sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa bermula waktu pesanan dibuat, semasa mahu memulakan perjalanan penghantaran sehinggalah ucapan 'selamat menjamu selera' apabila pesanan telah sampai kepada pelanggan.
Pada sebelah petang pula, Asmawi akan memilih secara rawak pelanggan yang membuat pesanan pada hari itu untuk mendapatkan maklum balas tentang pesanan yang telah diterima.
Ini bagi memastikan tiada pesanan yang tidak memenuhi harapan setiap pelanggannya.
"Alhamdulillah, kebanyakan maklum balas yang diterima mengatakan sangat berpuas hati dengan layanan yang diterima.
"Bagi saya, cara layanan diberikan ini amat penting tambahan pula di waktu pandemik sebegini.
"Dengan apa yang cuba dilakukan Caribou Cafe ini, saya amat berharap dapat memenuhi segala permintaan daripada pelanggan dan memastikan semua berpuas hati dengan perkhidmatan pesanan dalam talian yang disediakan," ujarnya.
------------------------------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day47: Tambah dan pelbagaikan menu Caribou Cafe
Di samping menyusun atur perkhidmatan penghantaran bagi kedai, Asmawi telah mengemaskini menu-menu yang terdapat di Caribou Cafe.
Asmawi terpaksa memilih menu yang mendapat sambutan sebelum ini seperti mee kari, mee rebus, bakso daging serta roti bakar garlic dan sup cendawan dikekalkan.
Ini bertujuan bagi menjamin kualiti makanan dan mengelakkan pembaziran daripada berlaku. Asmawi turut memvariasikan menu yang sedia ada.
Jika sebelum ini dia hanya menjual pek individu untuk nasi kerabu, kini Asmawi menukar kepada nasi kerabu yang dihidangkan di dalam talam.
Satu talam nasi kerabu yang dijual adalah untuk di makan untuk dua ke tiga orang.
Ini sebenarnya lebih menjimatkan para pelanggan kerana harga yang ditawarkan amat-amat berbaloi jika hendak dibandingkan dengan pek individu.
Talam yang disediakan adalah ‘stainless steel’ dan pelanggan sangat beruntung kerana boleh terus menggunakan talam tersebut untuk hidangan lain di rumah. Alhamdulillah set nasi kerabu talam ini mendapat sambutan yang sangat-sangat baik daripada pelanggan. Hidangan yang berbaloi dan boleh dimakan bersama seisi keluarga," katanya.
Bagi menampung dan mengekalkan staf sedia ada, Asmawi telah memanjangkan waktu operasi dan membahagikan tempoh bekerja kepada dua sesi iaitu pagi dan petang.
"Manakan tidak. Saya tidak tergamak untuk memberhentikan staf yang ada. Sudahlah negara dibadai pandemik, saya tidak sanggup membiarkan staf hilang sumber pendapatan.
"Untuk sesi petang, saya menawarkan menu-menu baru iaitu makanan barat yang tak pernah pun dirancang sebelum ini. Mujur ada isteri yang selalu menjadi tulang belakang saya selama ini," katanya.
Resipi makanan barat yang pernah dipelajari isterinya, Wansu semasa mengikuti kursus yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti Cawangan Changkat Lada sedikit sebanyak memberi keyakinan kepadanya untuk mencuba.
"Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan pula mahu mendapatkan sagunya. Jikalau kita tidak mahu mencuba, bagaimana kita hendak tahu akan hasilnya," ujarnya.
Menu seperti chicken chop, spaghetti carbonara, lamb chop dan Western mixed platter menjadi menu pilihan terbaharu di Caribou Cafe.
Bagi menggalakkan pelanggan mencuba, Asmawi menawarkan minuman percuma bagi setiap pembelian menu makanan barat.
"Alhamdulilah, ia sangat-sangat mendapat tempat di hati pelanggan. Setiap hari pesanan daripada pelanggan amat-amat menggalakkan," jelasnya.
----------------------------------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day46: Menukar strategi perniagaan semasa PKP
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Asmawi berasa sedikit lega dan bersyukur kerana kerajaan membenarkan operasi kepada kedai yang menyediakan makanan dan minuman dibuka dengan standard pengoperasian yang sangat ketat.
Operasi pula dihadkan hanya bermula dari 8 pagi dan perlu ditutup pada jam 8 malam selain operasi melibatkan bungkus dan perkhidmatan penghantaran sahaja yang dibenarkan.
Pelanggan pula tidak dibenarkan menikmati makanan di kedai.
Norma baharu.
Itu istilah yang sangat popular, rakyat perlu patuh dan ubah dengan tatacara norma hidup yang baru.
Bagi Asmawi, sesuatu perlu dirancang. Strategi perniagaan perlu dikaji semula bagi memastikan kedainya terus relevan dalam pasaran.
Mujur sebelum ini, pangkalan data para pelanggan telah disimpan dengan baik oleh Asmawi.
Dia menggunakan kelebihan itu untuk membuat promosi di dalam talian kepada pelanggan sedia ada di samping terus mencari pelanggan-pelanggan baru.
Pelbagai idea promosi dicetuskan seperti pemberian minuman, aiskrim serta caj penghantaran percuma bagi kawasan-kawasan tertentu.
Perkhidmatan penghantaran ke rumah dilihat strategi yang sangat penting di dalam keadaan ini.
Asmawi melihat situasi itu dan mengambil keputusan untuk melantik salah seorang kakitangannya menjalankan tugas penghantaran sepenuh masa.
Di samping itu, Asmawi juga menambah rakan perkhidmatan penghantaran iaitu Halo Delivery dan Jom Order di samping rakan perkhidmatan sedia ada iaitu FoodPanda dan GrabFood.
Kini, Asmawi mempunyai empat rakan perkhidmatan penghantaran dan satu perkhidmatan penghantarannya sendiri.
Selain dari menghubungi talian tetap di kedai, Asmawi juga menyediakan talian mudah alih untuk kedainya.
Ini sekali gus usaha menumpukan sepenuh perhatian kepada setiap keperluan pelanggan.
Jika sebelum ini dia menggunakan talian telefon peribadinya, sekarang seorang staf ditugaskan untuk menjaga talian mudah alih kedai bagi memastikan 100 peratus layanan yang baik kepada pelanggannya.
Dengan harapan tiada satu pun pelanggan yang terlepas pandang, Aplikasi whatsapp juga digunakan.
Kini pelanggan boleh memesan makanan melalui katalog pesanan Whatsapp yang sangat mudah dan berkesan.
Sekiranya semuanya berjalan lancar, Caribou Cafe berupaya melengkapkan setiap satu pesanan dalam masa hanya 20 minit termasuk penghantaran ke lokasi pelanggan.
Bagi Asmawi, ia sangat penting bagi menjaga hati pelanggan lebih lagi ketika musim pandemik COVID-19 ini.
"Saya berharap dengan apa yang dirancang ini lebih memudahkan para pelanggan untuk menikmati menu-menu makanan.
"Saya berusaha sedaya upaya untuk memudahkan pelanggan memesan makanan dengan hanya menggunakan hujung jari sahaja.
"Segala perancangan dibuat tidaklah keterlaluan dan hanya menggunakan sumber yang ada. Ini bagi menjamin kelangsungan operasi kedai terutama sekali di masa-masa mendatang," katanya.
------------------------------------------------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day45: Pandemik COVID-19 membadai negara
'Ku sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.'
Pandemik COVID-19 telah mula membadai negara ketika Asmawi baru sahaja pulang dari mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah tahun lepas.
Jumlah jangkitan dari sehari ke sehari meningkat dengan amat drastik. Ini menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengekang wabak itu dari terus menular ke seluruh negara. PKP itu tidak membolehkan Caribou Cafe beroperasi seperti biasa.
Pelanggan tidak dibenarkan untuk duduk menjamu selera di kedai. Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pelanggan datang, bungkus selain perkhidmatan penghantaran sahaja.
Memikirkan lokasi kedai yang agak jauh ke dalam dan agak susah untuk pelanggan datang semata-mata mahu membungkus makanan bakal membantutkan jualan di kedainya. Asmawi tersentak.
Selama ini, keseluruhan hasil jualan bergantung kepada pelanggan yang datang bertandang ke kedai.
Fikirannya mula bercelaru memikirkan keadaan yang bakal berlaku.
Tidak akan ada lagi pelanggan yang ramai.
Tiada lagi kesibukan seperti biasa di kedai.
Tidak akan ada lagi kedengaran lagu-lagu yang dipasang bagi menghiburkan pelanggannya di kedai.
Dia akui, bayaran ansuran kereta perlu dibayar setiap bulan. Makanan perlu juga untuk disediakan di atas meja di rumah. Bagaimana pula dengan para pekerja? Ditambah pula dengan caj tambahan yang agak tinggi dikenakan oleh rakan perkhidmatan penghantaran, Asmawi buntu.
"Masih adakah pelanggan yang mahu membeli nasi lemak? Adakah pelanggan yang sanggup untuk membayar dengan nilai agak tinggi untuk sebungkus nasi kerabu?" keluhnya.
Pandemik itu juga telah memberi impak yang tidak baik kepada sektor ekonomi di seluruh negara. Ia sekali gus menyaksikan penurunan kadar kuasa membeli rakyat.
"Rakyat tertekan dan risau. Rakyat akan mengambil pendekatan untuk lebih berjimat dan berhati-hati dalam berbelanja," ujar Asmawi.
Namun, demi mematuhi arahan kerajaan, Asmawi terpaksa akur demi keselamatan semua.
Sungguhpun begitu, sesuatu perlu dilakukan Asmawi demi meneruskan kelangsungan hidup, keluarga dan juga pekerjanya.
--------------------------
Ini entri terbaharu Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day44: Sambutan luar jangka di Caribou Cafe
"Ada orang hendak masuk ke kedai kamu jauh macam ini?"
"Untuk sampai ke kedai kamu pun sudah ada banyak kedai makan di kiri dan kanan jalan," itu antara luahan orang ramai yang mempersoalkan kewujudan kafe Asmawi pada mula-mula kewujudannya dahulu.
Masih dia ingat, tanggapan itulah yang sebenarnya memberikan kekuatan kepadanya untuk membawa Caribou 'terbang' dengan lebih tinggi.
Asmawi bersyukur, selepas setahun lebih dibuka, sambutan daripada para pelanggan sangat-sangatlah menggalakkan.
Testimoni-testimoni yang baik daripada pelanggan dikumpul dan dijadikan faktor kepada peningkatan jualan kedai.
Mana yang dikritik ditambah baik dan yang memuji cuba dikekalkan.
Menu-menu seperti nasi kerabu, nasi dagang, bakso, mi kari dan roti bakar istimewa Caribou telah mendapat tempat di hati pelanggan dekat mahupun yang jauh.
Penambahan meja dan kerusi serta perluasan kawasan tempat letak kereta dibuat selari penambahan pelanggan terutamanya pada setiap hujung minggu.
Bilangan pekerja juga ditambah bagi membantu melancarkan operasi kedai.
Bermula dahulu dengan hanya dua orang sahaja pembantu, kini Asmawi amat bersyukur bilangan pekerjanya mencapai sehingga 13 orang terutamanya ketika hujung minggu.
Melihatkan peningkatan permintaan yang amat baik, Asmawi mula melantik rakan perkhidmatan penghantaran makanan bagi memudahkan pelanggan mendapatkan pesanan makanan melalui dalam talian.
Sistem pengoperasian juga dipertingkatkan terutama 'POS Sistem' di mana dahulunya pekerja perlu mengambil pesanan dengan menggunakan kertas namun sekarang menggunakan peranti sahaja.
Pesanan boleh terus masuk ke setiap tempat persediaan makanan atau minuman.
"Ini membolehkan pelanggan menerima makanan yang dipesan dengan cepat tanpa perlu menunggu lama. Sistem ini amat membantu pengoperasian dan sekali gus dapat meningkatkan jualan.
"Saya juga amat bersyukur dengan segala apa yang dikecapi dan sangat-sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan melalui pembiayaan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dalam membantu memperolehi dana dan Institut Keusahawanan Negara dalam memberikan ilmu berkaitan perniagaan," jelasnya.
Bagi Asmawi, kejayaan itu juga adalah untuk semua pekerja-pekerjanya yang sentiasa memastikan pelanggan mendapat hanya yang terbaik.
Setiap tahun juga, pasti Asmawi akan membawa semua pekerjanya pergi bercuti dan kos penginapan serta perbelanjaan makan minum ditanggungnya sendiri.
-------------------------------
Ini entri pertama Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.
Lockdown #Day43: Caribou Cafe, pandemik dan PKP
Pemilik Caribou Cafe ini namanya Asmawi Abdullah dan merupakan pemegang ijazah sarjana muda Pengurusan Perakaunan dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.
Berpengalaman bekerja di pelbagai lapangan di Kuala Lumpur sebelum memulakan perniagaan sendiri dan membuka sebuah kedai makan, Caribou Cafe beralamat di Lorong Masjid 7 Kg Bahagia, Teluk Intan, Perak pada tahun 2017.
Nama yang agak unik itu dicetuskan sendiri oleh Asmawi sempena memperingati nama pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah mengorbankan abang sulung beliau pada tahun 1999.
Lokasi kedai yang agak terkedalam dan terpencil memaksa ramai yang bertanggapan negatif bahawa Caribou Cafe tidak boleh pergi jauh.
"Ada orang hendak masuk ke kedai kamu jauh macam ini?"
"Untuk sampai ke kedai kamu pun sudah ada banyak kedai makan di kiri dan kanan jalan," itu antara luahan orang ramai yang mempersoalkan kewujudan kafe Asmawi pada mula-mula kewujudannya dahulu.
Namun, dengan keazaman dan keyakinan serta kerja keras pemiliknya, Asmawi telah menepis sama sekali tanggapan tersebut.
"Saya sentiasa berpegang bahawa sekiranya kita mengerjakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, pasti Allah akan beri jalan. Semangat ingin berjaya yang diterapkan oleh arwah abang menjadi pegangan saya sehingga kini," ujarnya.
Setelah satu tahun lebih pembukaan, Caribou kelihatan telah berjaya 'terbang' lebih tinggi.
Dia berazam menjadikan Caribou sebagai 'hidden gems' bagi sebuah kedai makan memandangkan lokasinya yang agak jauh terpencil.
"Menjadikan Caribou sebagai 'destinasi mesti singgah' untuk mana-mana individu mahupun pelancong yang berkunjung ke Teluk Intan," katanya.
Nama Caribou Cafe diambil sempena mengenang tragedi yang berlaku pada Mei 1999.
Pada masa itu, lima anak kapal pesawat Caribou DHC-4A Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban selepas pesawat berkenaan terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Menurut saksi-saksi, satu letupan kedengaran ketika pesawat pengangkut buatan Kanada yang telah berusia tiga dekad itu jatuh kira-kira pukul 1.15 petang di kawasan berpaya di hujung landasan sebelah timur lapangan terbang berkenaan.
Pesawat berkenaan musnah terbakar dalam kejadian tersebut. Yang tinggal hanya sebahagian ekornya.
Pesawat dua enjin buatan syarikat DeHavilland dari Kanada itu merupakan pesawat tahan lasak yang berkhidmat dengan No.1 Skuadron TUDM yang berpangkalan di Kuching, Sarawak.
Mereka yang terkorban ialah kapten pesawat, Kapten Asri Abdullah, 27, dari Teluk Intan, Perak; pembantu juruterbang Kapten Salleh Abdul Malek, 37, dari Rembau, Negeri Sembilan; pembantu juruterbang kedua, Kapten Mohd. Johari Pomin, 34, dari Tanjung Karang, Selangor; Sarjan Udara Mili Mat, 35, dari Kuching, Sarawak dan Sarjan Udara Adnan Arifin, 31, dari Kota Bharu, Kelantan.
Kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.
--------------
Ini entri pertama Asmawi Abdullah dalam edisi Diari Lockdown.
Kompilasi harian ini dikelolakan wartawan kanan Wan Syamsul Amly.