Lapor kepada KPDNKK, KKM jika 8 jenama sardin tin ini masih terjual

Bernama
Julai 1, 2018 05:40 MYT
Baru-baru ini, KKM mengarahkan syarikat pengeluar bagi lapan jenama ikan sardin tin kerana produk tin itu mengandungi bendasing cacing.
Pengguna di Lahad Datu dinasihatkan melapor kepada pihak penguatkuasa jika terdapat lapan produk ikan sardin dalam tin yang diarah tarik balik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), masih dijual di pasaran.
Ketua Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Lahad Datu, Rino Hisham Abu Bakar berkata laporan boleh disalurkan kepada pihaknya atau KKM yang seterusnya membantu melindungi pengguna.
"Pengguna juga boleh memaklumkan terus atau menegur peniaga yang mungkin terlepas pandang mengenai arahan KKM itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Baru-baru ini, KKM mengarahkan syarikat pengeluar bagi lapan produk tin ikan sardin jenama Cinta, TL Tan Lung, TLC, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy ditarik daripada pasaran kerana produk tin itu mengandungi bendasing cacing Filum Nematoda daripada Genus Anisaki.
Sementara itu, katanya hasil pemeriksaan KPDNKK ke atas 37 premis perniagaan di sekitar bandar Lahad Datu mendapati terdapat premis yang masih menjual produk berkenaan.
Sehubungan itu, Rino berkata premis berkenaan diarah serta merta untuk mengeluarkan produk itu dari rak jualan dan mengembalikan semula kepada syarikat pembekal. -- Bernama
BACA: Enam lagi jenama sardin ditarik balik daripada pasaran
BACA: Ramai pengguna tidak tahu, kurang yakin berita cacing dalam tin sardin
BACA: Cacing dalam tin sardin: Tiada sesiapa jadi mangsa
BACA: Cacing sebabkan penyakit dijumpai dalam sampel tin sardin dari China
#bintang #cacing dalam sardin #cinta #hs brand #jenama sardin #king cup #sea fresh #tc boy #tl tan lung #tlc