Lapor jika ada pihak perguna nama PUNB - Mohd Ali Rustam

Bernama
Oktober 10, 2017 08:44 MYT
MOHD ALI: Kejadian seperti itu memberikan imej yang tidak baik kepada PUNB, malah lebih menyedihkan apabila ada yang hilang wang ringgit akibat menjadi mangsa kepada kegiatan tersebut. - Gambar fail
Orang ramai diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati mana-mana pihak atau individu mempergunakan nama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk kepentingan mereka sendiri.
Pengerusinya Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata sejak dua bulan lepas pihaknya telah membuat tiga laporan polis mengenai penyalahgunaan nama, logo dan akronim PUNB.
Pihaknya mengenal pasti tiga kes iaitu akaun Facebook bernama Pinjaman PUNB dan koperasi diberi nama KPUNB yang menawarkan pelbagai pinjaman, dengan yang terbaharu syarikat bernama Kongsi Makan Sdn Bhd menjalankan konsep pelaburan francais menggunakan nama PUNB.
"Saya kesal, dan menegaskan bahawa PUNB tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan ketiga-tiga entiti yang saya sebutkan tadi. PUNB juga tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil menjadi perantara untuk mendapatkan pinjaman," katanya ketika berucap merasmikan Pejabat PUNB Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Datuk Azhar Ahmad.
Pada sidang akhbarnya pula, Mohd Ali berkata kejadian seperti itu memberikan imej yang tidak baik kepada PUNB, malah lebih menyedihkan apabila ada yang hilang wang ringgit akibat menjadi mangsa kepada kegiatan tersebut.
Beliau berkata PUNB membuka pintu seluas-luasnya kepada orang ramai untuk memohon pinjaman perniagaan secara terus kepada perbadanan itu, dan orang ramai hanya perlu terus ke pejabat cawangan PUNB berhampiran untuk mengemukakan permohonan.
Sementara itu, beliau berkata PUNB dengan kerjasama Maybank Islamic telah membangunkan skim baharu, SME PUNB Property Financing-i, bagi membolehkan usahawan Bumiputera membeli dan memiliki hartanah seperti rumah kedai, lot kedai dan kedai pejabat.
Melalui skim itu, usahawan Bumiputera hanya perlu mengeluarkan lima peratus nilai belian hartanah antara RM500,000 dan RM2.5 juta, manakala tempoh pembiayaan sehingga 20 tahun dengan dua tahun tempoh bernafas. (tempoh tidak bayar ansuran bulanan)
"Skim ini terbuka kepada ushawan Bumiputera, dan PUNB menyediakan jaminan 25 peratus daripada jumlah pembiayaan hartanah atau maksimum RM250,000 kepada Maybank Islamic.
"Justeru untuk tujuan ini PUNB memperuntukkan RM15 juta dengan sasaran 60 unit hartanah tahun ini dan 14 permohonan sedang dalam proses oleh pihak Maybank," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ali berkata untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak RM9.4 juta pinjaman diluluskan kepada 26 syarikat di Melakai, dan menyasarkan meluluskan pinjaman berjumlah RM10.1 juta kepada 39 syarikat lagi di negeri ini tahun ini.
-- BERNAMA
#kepentingan sendiri #Mohd Ali Rustam #PDRM #polis #PUNB #salah guna #usahawan