Lapor jika ada kit ujian palsu, jangan terus percaya video di media sosial - KKM

Abd Razak Mohd Ali
Mac 6, 2022 21:11 MYT
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, mereka boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau pihak berkaitan agar siasatan dan tindakan dapat dilakukan dengan segera. - Gambar fail/BERNAMA
BAGAN SERAI: Orang ramai diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya benar terdapat kit ujian pantas (RTK) COVID-19 palsu.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, mereka boleh membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau pihak berkaitan agar siasatan dan tindakan dapat dilakukan dengan segera
Menurutnya, setiap RTK yang dikeluarkan perlu mendapatkan kelulusan dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan penjualan RTK tanpa kelulusan adalah satu kesalahan.
“Sama seperti penjualan sijil vaksinasi palsu dan tindakan berat boleh diambil kerana ianya menggugat kepercayaan dan kesihatan orang ramai,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-60 Pertubuhan Kebajikan Agama Islam dan Masyarakat Melayu Komuniti Bagan Serai di Surau Al-Asriah, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terus mempercayai pelbagai video di media sosial yang memaparkan keputusan RTK yang meragukan.
Dalam pada itu, Dr Noor Azmi menasihatkan penerima dua dos vaksin Sinovac agar mengunakan tempoh masa yang ada untuk mengambil dos penggalak sebelum akhir bulan ini.
"Saya menasihatkan rakyat agar mengunakan tempoh masa yang telah dilanjutkan ini bagi mengekalkan sijil lengkap vaksinasi digital di MySejahtera.
"Saya difahamkan, sekiranya penerima lengkap vaksin Sinovac tidak mengambil dos penggalak, maka sijil lengkap vaksinasi digital mereka yang sebelum ini lengkap vaksinasi, menjadi tidak lengkap,” ujarnya.
Lanjutan dari itu, katanya, akan menyebabkan pergerakan seharian mereka menjadi terbatas disebabkan status pada MySejahtera masing-masing.
Tambahnya, KKM boleh mengunakan Akta 342 untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang memasuki mana-mana premis tanpa sijil digital lengkap vaksinasi.
#kit ujian pantas #RTK #palsu #KKM #Dr Noor Azmi Ghazali #COVID-19
;