Lapor jika ada akaun media sosial salah guna nama Agong, Raja Permaisuri

Bernama
April 3, 2024 20:06 MYT
Penyamaran dan salah guna identiti merupakan kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan lunas yang ditetapkan. - Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Orang ramai digesa untuk melaporkan kepada mana-mana platform media sosial yang berkenaan, sebarang akaun yang menyalahgunakan nama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah atau Keluarga DiRaja Johor.
Menurut hantaran dikongsikan Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, penyamaran dan salah guna identiti merupakan kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan lunas yang ditetapkan.
Dalam hantaran itu, turut disertakan satu tangkap layar akaun Facebook atas nama 'Ibrahim Ibni Allmarhumm' yang disahkan sebagai akaun palsu dan menyamar menggunakan identiti Yang di-Pertuan Agong.
-- BERNAMA
#media sosial #salah guna nama #Agong #Raja Permaisuri #penyamaran
;