Lapangan Terbang Sibu kembali beroperasi
Astro Awani
April 10, 2017 11:05 MYT
April 10, 2017 11:05 MYT
Lapangan Terbang Sibu yang ditutup sejak Sabtu malam dibuka semula untuk semua penerbangan bermula jam 12 tengah malam tadi.
Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, pembukaan semula itu dibuat selepas semua operasi pengalihan pesawat dan pembaikan landasan selesai.
Sebelum ini, pihaknya menjangka lapangan terbang berkenaan boleh kembali beroperasi 12 tengah hari, hari ini, ekoran kerosakan pada landasan yang perlu dibaiki.
Namun, ia beroperasi 12 jam lebih awal daripada jangkaan.
Sabtu lalu, pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH2718 yang membawa 61 penumpang dan enam anak kapal dari kuala lumpur itu tergelincir ketika mendarat akibat hujan lebat.
Bagaimanapun, kesemua penumpang dan anak kapal dalam pesawat jenis Boeing 737-800 itu tidak mengalami sebarang kecederaan.