Lapangan terbang di Pulau Pinang dan Sabah turut alami gangguan IT
Bernama
Julai 19, 2024 23:30 MYT
Julai 19, 2024 23:30 MYT
KUALA LUMPUR: Lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang dan Sabah turut mengalami masalah jadual penerbangan hari ini, susulan gangguan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) global yang menjejaskan operasi lapangan terbang di seluruh dunia.
Keadaan itu juga mengakibatkan keadaan di kebanyakan kaunter pendaftaran masuk di lapangan terbang antarabangsa negeri berkenaan turut sesak dengan orang ramai yang beratur bagi urusan pendaftaran secara manual.
Di PULAU PINANG, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata setakat 5.30 petang, sekurang-kurangnya 11 penerbangan telah mengalami kelewatan untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
"Ia melibatkan penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuching, Sarawak; Langkawi, Kedah; Kuala Lumpur; Singapura dan Jakarta, Indonesia," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Negeri Zairil Khir Johari pula berkata walaupun berlaku sedikit kelewatan penerbangan melibatkan syarikat penerbangan antaranya AirAsia di LTAPP, namun keadaan adalah terkawal.
Di SABAH, tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Tawau mendapati kawasan daftar masuk pelepasan syarikat penerbangan AirAsia sesak dengan penumpang yang beratur untuk mendaftar secara manual.
Ketika ditemui, pembeli tiket bagi syarikat penerbangan itu, Adalia Amelia Rahmat, 26, berkata penerbangannya dari KKIA ke Kuala Lumpur sepatutnya dijadual berlepas pada 8.05 malam ini, namun ia ditunda disebabkan gangguan perkhidmatan IT global itu.
"Saya datang awal pukul 5 petang tadi kerana biasanya daftar masuk perlu awal tiga jam tetapi sampai sekarang belum dapat daftar. Apapun saya dan penumpang lain bersabar kerana ini masalah global," katanya.
Terdahulu, AirAsia memaklumkan penumpang penerbangan itu akan mengalami kelewatan daftar masuk dan barisan menunggu lebih panjang akibat situasi gangguan IT global terbabit, termasuk beberapa penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu antaranya ke ibu negara, Tawau dan Incheon, Korea Selatan.
Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pelancongan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata perkhidmatan penerbangan mahupun feri beroperasi seperti biasa, malah tiada sebarang aduan diterima setakat ini, namun keadaan akan terus dipantau oleh pihak berkaitan.
Di PERLIS, Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd Baharin Baharom berkata tiada sebarang gangguan pembelian tiket feri secara dalam talian melalui aplikasi "Cuti Cuti Langkawi" dari Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis, malah ia beroperasi seperti biasa mengikut jadual perjalanan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam negeri Izizam Ibrahim pula berkata pihaknya tidak menerima aduan mengenai Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di Padang Besar tergendala disebabkan masalah sistem siber akibat gangguan perkhidmatan IT global itu.
-- BERNAMA