Lapangan terbang a'bangsa di Kulim: Cadangan Kedah akan dikaji - Liow
Bernama
Jun 29, 2014 18:47 MYT
Jun 29, 2014 18:47 MYT
Kerajaan akan mengkaji cadangan negeri Kedah untuk membina lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya belum menerima kertas cadangan berhubung perkara itu.
"Saya belum ada laporan terperinci, saya kena tengok dulu semua butiran baru saya boleh membuat komen lanjut.
"Masih terlalu awal untuk saya komen pasal lapangan terbang dan pastinya mereka akan hantar kertas cadangan terperinci dan saya akan menelitinya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan MCA Bahagian Bukit Bendera di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang Datin Paduka Chew Mei Fun, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Liow berkata demikian ketika mengulas pengumuman Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir bahawa negeri itu bakal memiliki lapangan terbang antarabangsa baharu di tanah seluas 600 hektar yang akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di utara tanah air.
Kedah kini memiliki dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Liow turut mengulas permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahukan landasan kedua untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dengan berkata pihaknya akan meneliti perkara itu.
"Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebuah lapangan terbang yang besar, bukan lapangan terbang kecil, dan ia juga sebuah lapangan terbang yang dapat meningkatkan ekonomi di negeri ini," katanya.
Ketua Menteri Lim Guan Eng sebelum ini memaklumkan Pulau Pinang memerlukan landasan kedua memandangkan jumlah penumpang di lapangan terbang itu meningkat, selain peningkatan pengangkutan kargo udara berikutan pelaburan langsung asing.