Lapan warga Colombia diberkas, aktif kegiatan pecah rumah
Aizat Sharif
April 4, 2014 16:24 MYT
April 4, 2014 16:24 MYT
Dengan menggunakan modus operandi seperti mensasarkan perumahan mewah dan kondominium, berkereta sewa serta aktif hanya sekitar waktu senja hingga malam, lapan warga Colombia diberkas polis kerana terlibat dalam kegiatan pecah rumah sekitar Selangor.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar memberitahu warga Colombia dari dua kumpulan yang berbeza itu ditangkap dalam dua operasi polis pada 28 Mac dan 1 April yang lalu.
"Dalam tangkapan pertama sekitar jam 9 malam itu, polis yang sedang melakukan pemantauan dan rondaan di Persiaran Kerjaya, Seksyen U1, Glenmarie, Shah Alam telah terserempak dengan sebuah kereta Toyota Camry yang sedang berada dalam keadaan mencurigakan - menggunakan nombor pendaftaran berlainan di hadapan dan belakang," kata Abd Rahim dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor disini, tengah hari tadi.
Suspek yang berumur antara 25 hingga 33 tahun itu ternampak kelibat polis kemudiannya cuba melarikan diri namun berjaya diberkas tidak jauh dari kawasan tersebut.
"Dalam kes kedua pula pada Selasa lalu, polis yang melakukan intipan di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya menahan lima lelaki warga Colombia berumur 25 hingga 42 tahun,".
Serbuan dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pengadu pada 9 Februari lalu apabila rumahnya di Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam telah dipecah masuk dan mengakibatkan kehilangan barangan berharga seperti komputer riba, iPad dan sejumlah wang tunai.
Hasil daripada siasatan dan pemeriksaan pihak polis berjaya merampas sebuah kereta yang digunakan untuk tujuan kegiatan pecah rumah oleh suspek, beberapa keping nombor plat kereta serta pelbagai alatan pecah rumah seperti pemutar skru, playar, parang, gergaji, sarung tangan, lampu suluh, gunting, pisau, telefon bimbit, walkie-talkie dan bermacam-macam lagi.
"Selain itu juga, kita turut menjumpai semula beberapa barang yang telah dilarikan oleh suspek-suspek ini seperti telefon bimbit, jam tangan, komputer riba, televisyen dan pelbagai mata wang asing,".
Siasatan polis seterusnya mendapati suspek dalam tangkapan kedua ini telah terlibat dalam 11 kes pecah rumah sejak Februari lalu.
"Enam kes di Shah Alam, dua kes di Petaling Jaya, dua kes di Serdang dan satu kes di Subang Jaya manakala sebuah kumpulan lagi masih lagi disiasat penglibatan mereka di Selangor,".
Suspek ini disifatkan sangat agresif kerana bersenjatakan parang dan mensasarkan rumah-rumah mewah meskipun di kawasan tersebut terdapat pengawal keselamatan dan juga palang penghalang.
Kerugian dianggarkan mencecah hampir sejuta ringgit. Sementara itu, seramai 32 warga Amerika Latin telah diberkas polis kerana terlibat dalam kegiatan pecah rumah sekitar Selangor sepanjang tahun lalu berbanding 38 orang pada tahun 2012 dan 22 orang pada tahun 2011.
Sehingga awal April tahun ini pula, seramai lapan orang warga Amerika Latin telah diberkas termasuk tangkapan kes terbaru ini.