Lapan warga asing ditahan guna Mykad palsu hadiri temu duga kerja
Hilmi Malik
Jun 11, 2020 18:31 MYT
Jun 11, 2020 18:31 MYT
Cubaan lapan individu warga Indonesia menggunakan Mykad palsu untuk menghadiri temu duga kerja di sebuah kilang di Klang, membawa padah apabila ditahan polis pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisoner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, semua suspek termasuk ejen mereka kelihatan mencurigakan ketika pemeriksaan dilakukan pihak keselamatan kilang berkenaan.
“Polis bantuan di kilang itu mendapati Mykad mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita itu mencurigakan sebelum melaporkannya kepada pihak pengurusan.
"Berikutan itu, semua suspek serta ejen mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Meru untuk tindakan lanjut,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan mendapati semua suspek sudah berada di Malaysia hampir dua tahun dan memperoleh Mykad itu daripad individu berasingan dengan membayar RM200 hingga RM300 tahun lalu.
Katanya, semua mereka direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Seksyen 25(1)(E) Akta Pendaftaran Negara 1959.
#kad pengenalan
#Kad pengenalan palsu
#kerja
#Ketua Polis Daerah Klang Utara
#mykad
#palsu
#PDRM
#temu duga