Lapan wanita warga asing ditahan tawar khidmat seks

Bernama
Mei 25, 2014 14:28 MYT
OPS NODA: Lapan wanita warga asing ditahan tawar khidmat seks
Lapan wanita rakyat asing yang bekerja sebagai tukang urut ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat urut di Jalan Seri Aman, Sungai Bakap di sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata semua mereka berusia antara 20 dan 35 tahun itu ditahan ketika asyik melayan pelanggan dalam bilik-bilik kecil yang terdapat di premis berkenaan.
"Berdasarkan siasatan awal, tujuh warga Thailand dan seorang warga Laos itu bekerja sebagai tukang urut di premis yang turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan itu.
"Turut ditahan dalam operasi pada 2 pagi itu ialah empat lelaki tempatan yang merupakan pelanggan premis itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata semua wanita yang ditahan itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada permit dan dokumen pengenalan diri yang sah.
#Ops Noda #Shafien Mamat
;