KUALA TERENGGANU: Sebanyak lapan syarikat di Terengganu dikenakan kompaun dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini kerana mengabaikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) negeri Ir Noorazman Soud berkata antara kesalahan tersebut ialah bekerja di tempat tinggi tanpa memakai pelindung diri (PPE) dan gagal memastikan tempat kerja pekerja selamat dan sihat ketika bertugas.

Beliau berkata pihaknya menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan semua majikan mematuhi peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967.

"Lapan syarikat telah dikenakan kompaun keseluruhan sebanyak RM20,500 atas pelbagai kesalahan.

"Bagaimanapun, kita dapati tahap kesedaran majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja dari setahun ke setahun semakin baik hasil aktiviti penguatkuasaan dan kempen yang dijalankan secara berterusan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, Noorazman berkata sebanyak 98 kes kemalangan di tempat kerja dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas.

Daripada jumlah itu, beliau berkata lima kes melibatkan kemalangan maut, hilang upaya kekal (tiga), tanpa hilang upaya kekal (80) dan kejadian berbahaya (10).

"Lima kes kemalangan maut direkodkan berlaku di sektor pembinaan, perladangan dan perkapalan yang berisiko berbanding industri lain," katanya.

-- BERNAMA