Lapan suspek kes culik, bunuh Kevin Morais didakwa di mahkamah
Hamzah Hamid, Dania Zainuddin
September 28, 2015 14:35 MYT
September 28, 2015 14:35 MYT
Lapan suspek kes culik dan bunuh Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais didakwa di dua mahkamah berasingan pada Isnin.
Di Mahkamah Majistret Jalan Duta, enam dituduh membunuh manakala seorang lagi yang merupakan doktor tentera pula didakwa kerana bersubahat membunuh.
Enam suspek berkenaan -- Gunasekaran Govindan, 47; Dinishwaran Raman, 23; Thinesh Kumar Ashok Kumar, 22; Vishwanath Sasikaran, 22; dan Ravi Chandran Subramaniam, 44 -- dituduh mencapai niat bersama dan melakukan bunuh ke atas Anthony Kevin Morais pada 4 September 2015 di antara 7 pagi hingga 8 malam.
Mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Sementara itu, Dr Kunasegaran Ragavanaidu, 52, dipercayai suspek utama, didakwa secara berasingan dan dituduh bersubahat di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama.
Tiada sebarang pengakuan yang direkodkan ketika pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.
Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi), Datuk Abdul Razak Musa yang mengetuai Timbalan Pendakwa Raya bersama Muhd Dusuki Mokhtar dan Manoj Kurup, memohon dua bulan bagi mendapatkan laporan kimia, laporan bedah siasatan lengkap dan dokumen berkaitan.
Hakim, Siti Radziah Kamaruddin yang mendengar permohonan tersebut telah menetapkan 30 November 2015 sebagai tarikh untuk menetapkan tarikh baharu sebutan.
Suspek Dr Kunasegaran diwakili peguam Datuk N. Sivanathan manakala Dinishwaran Raman diwakili peguam, M. Manoharan.
Jika sabit kesalahan, semua tertuduh berdepan hukuman mati.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, seorang lagi suspek kes sama didakwa.
Tertuduh, Murugan Arujalan, 44, seorang mekanik dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 4 September 2015 di antara jam 9.30 pagi hingga 8 malam di alamat 20, Desa Mentari, Petaling Jaya.
Suspek dituduh di bawah Seksyen 109 yang dibaca bersama dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Suspek yang tiba di mahkamah pada jam 10 pagi bagaimanapun tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.
Sebutan kes kali pertama tersebut berlangsung pendek kerana Ishak memohon tempoh dua bulan bagi laporan post-mortem dan laporan kimia disiapkan, dan Ahmad Solihin telah menangguhkan kes untuk disebut semula pada 26 November nanti.
Pada 16 September lalu, mayat Kevin Morais ditemui di dalam tong berisi konkrit yang dihumban ke sebuah kawasan paya di Subang Jaya.