Lapan struktur haram atas tanah UTM diroboh
Sinar Harian
Ogos 23, 2024 15:20 MYT
Ogos 23, 2024 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Operasi perobohan binaan atas tanah UTM di Jalan Semarak oleh DBKL. Foto DBKL
Sebuah kandang ternakan antara lapan struktur binaan yang dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi yang dijalankan.
Turut dirobohkan stor, tempat kediaman serta kilang perabot atas kesalahan dibina tanpa kelulusan atas tanah milik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak di sini.
DBKL memaklumkan, kesemua sisa struktur yang dirobohkan itu telah dilupuskan selepas tamat operasi.
"DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
"Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Operasi tersebut dijalankan DBKL bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL). -Sinar Harian