Lapan sekolah di Terengganu berisiko banjir ketika SPM

Bernama
November 26, 2024 14:30 MYT
Lapan sekolah di tiga daerah di Terengganu dikenal pasti berisiko terjejas banjir semasa peperiksaan SPM, termasuk sekolah-sekolah di Kemaman, Hulu Terengganu, dan Kuala Nerus. -Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Sebanyak lapan sekolah di tiga daerah negeri ini dikenal pasti berisiko terjejas banjir ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Jelani Sulong.

Ringkasan AI
  • Lapan sekolah di tiga daerah di Terengganu dikenal pasti berisiko terjejas banjir semasa peperiksaan SPM, termasuk sekolah-sekolah di Kemaman, Hulu Terengganu, dan Kuala Nerus.
  • JPNT telah menyediakan pelan alternatif untuk memindahkan calon SPM ke sekolah berdekatan jika berlaku banjir, memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual.
  • Langkah berjaga-jaga diambil untuk memastikan bangunan sekolah dan laluan ke sekolah tidak dinaiki air semasa peperiksaan, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran peperiksaan.

Beliau berkata empat daripadanya di Kemaman membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Ayer Puteh, SMK Mak Lagam, dan SMK Bukit Mentok.
Selain itu, SMK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Berang dan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah di Hulu Terengganu.
"Di Kuala Nerus, pusat peperiksaan SPM yang berisiko ialah di SMK Padang Kemunting," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelani berkata sebanyak 18,907 calon di Terengganu akan menduduki SPM bermula 2 Dis hingga 6 Feb tahun depan.
Beliau berkata JPNT telah menyediakan pelan alternatif untuk memastikan calon di pusat peperiksaan berisiko itu dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual.
"Kita telah menyediakan pelan untuk pemindahan calon SPM ke sekolah berdekatan sekiranya berlaku banjir.
"Langkah berjaga-jaga juga diambil sekiranya bangunan sekolah atau laluan ke sekolah dinaiki air ketika peperiksaan," katanya.
-- BERNAMA
#banjir #terengganu #SPM #Sijil Pelajaran Malaysia
;