Lapan rumah panjang di Sibu dikenakan sekatan pergerakan, 37 kes positif

Astro Awani
Januari 9, 2021 14:28 MYT
Anggota polis memasang khemah di simpang jalan masuk ke Rumah Langi. - Foto Astro AWANI.
SIBU: Lapan buah rumah panjang di Pasai Siong, Sibu dikenakan sekatan pergerakan selama 14 hari susulan 37 individu di salah sebuah rumah panjang berkenaan disahkan positif COVID-19, semalam.
Rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Jelian Nayor, Ringgit Unchu, Langi Ambau, Pom Maja, Nyanggai Alok, Jeram Empin, Kelly Chundau dan Nyambong Ajon.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sibu, mereka dikesan melalui hasil saringan kes seorang wanita yang balik dari Johor (Kes 1,175) pada 29 Disember 2020.
Tambah kenyataan itu, wanita tersebut pada tarikh berkenaan balik dari Johor Bahru melalui Kuala Lumpur seterusnya mengambil penerbangan transit Kuala Lumpur ke Kuching pada hari sama.
"Bagaimanapun, saringan ujian COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mendapati wanita itu negatif COVID-19.
"Dia kemudian meneruskan perjalanan ke Sibu dan diberikan pelepasan untuk menjalani kuarantin di rumah di Pasai Siong bagi menghadiri upacara pengebumian bapanya.
"Saringan ujian kedua yang diambil pada 5 Januari di Klinik Kesihatan Jalan Lanang menunjukkan wanita itu positif COVID-19 pada 6 Januari 2021," tambah kenyataan itu.
Susulan keputusan tersebut, Kementerian Kesihatan telah membuat saringan ke atas 74 penduduk di Rumah Langi, Pasai Siong pada 7 Januari 2021.
Namun, kata kenyataan itu lagi, hasil saringan tersebut mendapati seramai 37 kes positif telah dikesan.
"Ekoran itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat sekatan pergerakan di simpang jalan masuk ke Rumah Langi, Pasai Siong iaitu kira-kira 15 kilometer daripada Jalan Teku Pasai Siong bermula jam 11.30 malam tadi.
"Kita juga telah menghantar para penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Sibu ke luar Sarawak untuk dikuarantinkan di pusat kuarantin di bahagian iaitu Betong, Sarikei Mukah, dan Kapit," katanya sambil menambah penerbangan dari Johor Bahru dan Kota Kinabalu ke Sibu turut dibatalkan mulai esok.
Sementara itu, JPBN Sibu turut menggesa orang awam yang menghadiri upacara pengebumian di Rumah Langi, Pasai Siong pada 29 hingga 31 Disember 2020 supaya hadir membuat pemeriksaan dan saringan di Klinik Kesihatan Jalan Lanang atau Klinik Kesihatan Sibu Jaya.
#sekatan pergerakan #rumah panjang Sibu #Rumah Langi #positif COVID-19 #Pasai Siong
;