Lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Wireless
Rudi Affendi Khalik
Mac 10, 2023 11:10 MYT
Mac 10, 2023 11:10 MYT
MIRI: Sebanyak lapan buah rumah musnah dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Wireless, di sini, pagi Jumaat.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimanshah, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 7.15 pagi.
"Dua jentera dan dua ambulans EMR dengan kekuatan 17 anggota kemudian segera diatur gerak ke lokasi dari Balai Miri Sentral dan Lopeng dan tiba di lokasi tidak lama kemudian. Ketika ini kerja-kerja penyejukan masih dilakukan.
"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini manakala punca kebakaran masih disiasat," katanya.
Untuk rekod, Kampung Wireless yang terletak di tebing Sungai Miri memiliki sekitar 100 buah rumah, yang kebanyakannya dibina dengan struktur tidak kekal.
Perkampungan nelayan ini wujud sejak tahun 1949, namun sebahagian besar penduduknya telah dipindahkan ke Piasau Utara, Miri pada 1980-an.
Kampung ini mendapat nama 'unik' tersebut kerana sekitar tahun 1950-an, terdapat sebuah
menara telekomunikasi didirikan di tengah-tengah kampung ini oleh Kerajaan British untuk kegunaan Jabatan Pos dan Telegraf.