Lapan rumah di Renggam musnah dijilat api
Muhammad Aiman Hakeem
Januari 6, 2022 10:40 MYT
Januari 6, 2022 10:40 MYT
KLUANG: Lapan buah rumah jenis separuh kekal dua tingkat hangus dalam satu kejadian kebakaran berhampiran SJK (C) Chin Chiang, Jalan Hj Siraj, Renggam, pada 9.21 malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata, seramai 25 orang anggota dari balai berkenaan dikerahkan ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman.
"BBP Rengam menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah sekitar jam 9.21 malam, beralamat di berhampiran SJK(C) Chin Chiang, Jalan Hj Siraj, Renggam.
"Sejurus itu, seramai 25 orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian bersama satu jentera LFRT dari BBP Renggam dan dibantu satu jentera FRT dari BBP Ayer Hitam dan satu jentera FRT dari BBP Kluang.
"Setibanya di lokasi, sebanyak lapan buah rumah jenis separuh kekal dua tingkat yang berkeluasan 20 x 70 kaki, sudahpun dijilat api.
"Hasil tindakan pantas pasukan keluaran operasi berjaya mengawal kebakaran dan sebuah rumah berjaya diselamatkan.
"Operasi pemadaman selesai sekitar jam 1.33 pagi, hari berikutnya manakala kebakaran tidak melibatkan nyawa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.