Lapan rakyat Sarawak jadi mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar
Bernama
September 25, 2023 20:14 MYT
September 25, 2023 20:14 MYT
KUCHING: Polis menerima tiga laporan membabitkan lapan rakyat negeri ini yang menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan serta dipaksa bekerja dengan sindiket penipuan di Myanmar.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata laporan berkenaan telah dirujuk ke Cawangan D3 (Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Interpol dan Aseanpol bagi membantu untuk mengesan dan menyelamatkan kesemua mangsa.
"Pihak PDRM juga telah membuat pemakluman kepada konsulat dan Kementerian Luar bagi membantu mempercepat proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang kesemua mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.
Mohd Azman berkata laporan pertama dibuat di Tanjung Manis pada 21 Sept lepas dengan mangsa dimaklumkan melibatkan dua lelaki.
"Laporan kedua pada 22 Sept di daerah Julau melibatkan seorang lelaki manakala laporan ketiga di Sibu melibatkan lima lelaki. Kesemua mangsa dilaporkan berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun," katanya.
Menerusi maklumat yang diterima, beliau berkata mangsa dipaksa bekerja di pusat panggilan melibatkan sindiket penipuan dalam talian di Myanmar, meskipun pada awalnya dimaklumkan mendapat tawaran pekerjaan di Thailand.
"Mangsa diberi tawaran melalui Facebook untuk bekerja di Thailand dengan gaji sekitar RM3,000 hingga RM6,000 seorang, bagaimanapun, mangsa tidak mengetahui jenis pekerjaan ditawarkan.
"Setibanya mereka di Thailand, kesemua mangsa seterusnya dibawa ke Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai 'scammer' (sindiket penipuan). Sekiranya mereka tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak majikan, mereka akan didenda, didera serta diugut akan dijual kepada ejen lain," katanya.
Mohd Azman memaklumkan kesemua mangsa tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana ahli keluarga serta hanya dapat menghubungi ahli keluarga secara bersembunyi.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Akta 670).
-- BERNAMA