Lapan perjalanan feri Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi batal akibat ombak kuat

Bernama
September 18, 2024 13:30 MYT
Perjalanan feri yang dibatalkan ini tidak dapat dilencongkan ke Terminal Jeti Penumpang Kuala Perlis kerana berlaku kesesakan di sana. - Gambar fail
ALOR SETAR: Lapan perjalanan feri laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi terpaksa dibatalkan berikutan keadaan ombak besar, hari ini.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd Kapten Dr Baharin Baharom berkata lima feri dari Langkawi ke Kuala Kedah yang terlibat membabitkan 2,013 penumpang.
"Feri dari Langkawi ke Kuala Kedah yang terlibat adalah pada pukul 11 pagi, 12.30 tengah hari, 2 petang, 2.05 petang dan 2.10 petang, manakala bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi sebanyak tiga feri terlibat yang membabitkan 937 penumpang.
"Feri yang terlibat adalah pada pukul 12.30 tengah hari, 2 petang dan 3.30 petang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata perjalanan feri yang dibatalkan ini tidak dapat dilencongkan ke Terminal Jeti Penumpang Kuala Perlis kerana berlaku kesesakan di sana.
"Kita telah berhubung dengan pihak di Kuala Perlis, dan mendapati terminal sudah tidak dapat menampung jumlah penumpang dan kenderaan yang banyak. Jadi, penumpang di Langkawi yang hendak ke Kuala Kedah dan sebaliknya terpaksa menunggu esok.
"Sekiranya keadaan cuaca pada esok hari elok, kita akan atur semula perjalanan feri yang dibatalkan ini," katanya.
-- BERNAMA
#feri langkawi #Ferrylines Ventures #perjalanan ditangguh #ombak besar
;