Lapan pendatang tanpa izin dihukum penjara enam bulan di Kelantan

Bernama
Mac 28, 2024 23:40 MYT
Tiga daripada mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan lima lagi mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Lapan individu dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas bagi Pendatang Asing Tanpa Izin di Tanah Merah semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan Mohd Faizal Shamsudin berkata kesemua tertuduh, berusia lingkungan 19 tahun hingga 55 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad yang mendengar kes tersebut.
Tiga daripada mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan lima lagi mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama.
"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 melibatkan seorang perempuan warga Kemboja dan seorang perempuan warga Thailand yang dikenakan hukuman penjara selama enam bulan dari tarikh tangkapan.
"Turut dikenakan hukuman terbabit adalah seorang lelaki warga Thailand dengan hukuman penjara selama enam bulan dan dikenakan denda sebanyak RM6,000," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Faizal berkata bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1), seorang lelaki warga Syria, Hong Kong, Thailand serta seorang perempuan warga Thailand dihukum penjara enam bulan dan denda RM10,000 manakala seorang lelaki warga Bangladesh dihukum penjara enam bulan.
"Orang Kena Tahan (OKT) bagi perempuan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa manakala OKT lelaki pula dibawa ke Penjara Satelit Pasir Mas untuk menjalani hukuman penjara namun seorang OKT lelaki warga Hong Kong dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah bagi proses pengusiran pulang ke negara asal," katanya sambil menambah mereka ditangkap semasa Op Kutip sekitar Kota Bharu pada 11 Mac lepas.
-- BERNAMA
#penjara #warga Thailand #Op Kutip #denda
;