Lapan pembantu bekas MB Selangor mungkin disaman
Astro Awani
Jun 30, 2015 11:20 MYT
Jun 30, 2015 11:20 MYT
Menteri Besar Incorporated (MBI) akan memfailkan saman ke atas lapan pembantu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, seandainya mereka gagal mengembalikan bayaran pampasan RM2.7 juta yang diterima mereka.
Bayaran itu diterima mereka selepas Khalid melepaskan jawatannya tahun lalu.
Peguam yang mewakili MBI, Shahir Razak, memberitahu portal The Malaysian Insider, saman itu telah difailkan bulan lalu atas sebab defenden tidak layak menerima pampasan tersebut.
Anak guamnya turut menuntut defenden terbabit membayar faedah lima peratus ke atas jumlah yang dituntut, pampasan kewangan lain dan kos.
Mereka yang terlibat ialah Rohani Talib, Arfa'eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Dr Sulaiman Masri, Abdul Halim Mohamed Yusof, Tuan Nazuri Tuan Ismail dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin.
Faekah diwakili peguam Edmund Bon.
Laporan The Malaysian Insider turut menyebut MBI bersedia menggugurkan saman berkenaan jika defenden bersetuju memulangkan wang yang diterima itu.
Pada 3 Januari lepas, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, meminta agar wang tersebut dipulangkan kembali kerana beberapa perkara didapati melanggar tatacara peraturan kewangan.