Lapan parah insiden van rempuh bas ekspres
Astro Awani
Disember 13, 2012 20:18 MYT
Disember 13, 2012 20:18 MYT
Gara-gara memandu laju dan gagal membrek, tujuh warga kerja Universiti Utara Malaysia (UUM) termasuk seorang pemandu van parah apabila van yang mereka naiki merempuh sebuah bas ekspres di KM 30 Plaza Tol Jitra awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku jam 7.30 pagi itu, van itu dalam perjalanan dari Alor Star ke universiti tersebut di Sintok.
Ketika menghampiri plaza tol itu, pemandu van, Mohd Esman Osman, 54, gagal membrek dan merempuh belakang bas ekspres dari Kota Baharu yang menunggu giliran untuk membayar tol.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohamed Yusuf berkata akibat dari rempuhan kuat itu, bahagian van tersebut remuk manakala pemandu dan penumpang di dalam van itu pula cedera parah.
“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Jitra sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mendapatkan rawatan,” kata Ibrahim.
Ibrahim berkata kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) 1987 kerana cuai memandu sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
Difahamakan, tiga mangsa kemalangan itu, Mohd Esman, Alina Mohd Mahdzir, 46 dan Wan Merina Wan Saad, 51, masih berada dalam keadaan kritikal dan sedang ditempatkan di unit rawatan rapi manakala empat yang lain pula, mengalami patah kaki serta kecederaan anggota badan dan dirawat di hospital yang sama.
Isteri pemandu terbabit, Hasliza Shafe, 50 dan Noor Azura Othman, 40 hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jitra.
Sementara itu Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Jitra Mohammad Darus berkata pihaknya terpaksa mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan semua mangsa yang cedera melalui pintu belakang van tersebut.
“Bahagian depan van tersebut telah remuk teruk dan menyukarkan anggota saya untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di bahagian hadapan,” kata Mohammad Darus.
Menurut seorang dari adik mangsa Zuhana Yahya, berkata “Saya menghubungi kakak saya (Zurina) semasa saya berada di rumah ibu mertua saya. Ketika saya menghubungi kakak saya, dia memaklumkan yang dia mengalami kemalangan yang menyebabkan dia patah anggota badan,”.
Mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan parah dikenali sebagai Mohd Esman Osman, 54, Alina Mohd Mahdzir, 46, Wan Merina Wan Saad, 51, Zurina Yahya, 41, Norhaneza Nordin, 33, Nelwati Abidin, 35 dan Haslina Mohamed Shah, 39.
Sementara mangsa-mangsa yang cedera ringan pula dikenali sebagai Noor Azura Othman, 40 dan Hasliza Shafe, 50, yang merupakan isteri kepada Mohd Esman dan kini sedang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jitra