Lapan pakej rangsangan manfaatkan lebih 20 juta rakyat, 2.4 juta perniagaan - PM
Firdaus Azil
Julai 26, 2021 12:12 MYT
Julai 26, 2021 12:12 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan pakej rangsangan yang dilaksanakan Kerajaan telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat, serta 2.4 juta premis dan entiti perniagaan sepanjang tempoh pandemik COVID-19, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Sewaktu sesi penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Dewan Rakyat hari ini, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua pakej rangsangan itu bernilai RM530 bilion, dengan satu tujuan iaitu memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
Beliau berkata, biarpun menghadapi kekangan kewangan, Kerajaan sedar semua itu perlu dilakukan kerana rakyat bergantung kepada keprihatinan Kerajaan untuk membantu mereka keluar daripada permasalahan yang dihadapi.
Bermula dengan pakej PRIHATIN, kemudiannya PRIHATIN PKS Tambahan, dan diikuti dengan PENJANA, KITA PRIHATIN, PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan terkini pakej PEMULIH dengan nilai keseluruhan RM530 bilion.
“Semua ini dilaksanakan semata-mata untuk satu tujuan murni iaitu memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Dewan Rakyat, pada hari pertama Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2021), hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata agenda prihatin rakyat merupakan antara tumpuan utama Kerajaan yang bertujuan membantu kumpulan berpendapatan B40 dan M40 melalui beberapa langkah bantuan tunai secara langsung.
Misalnya, tambah beliau lagi, di bawah pakej terbaharu iaitu PEMULIH, Kerajaan akan meneruskan pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan memperkenalkan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).
“Seperti yang semua sedia maklum, setiap bulan mulai Julai hingga Disember nanti akan dipastikan rakyat dalam kategori B40 akan dibantu dan Kerajaan bercadang menyalurkan bantuan bernilai sebanyak RM10 bilion.
“Selain itu, peruntukan bagi program bakul makanan yang kini masih rancak dijalankan turut dipanjangkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tanpa mengira perbezaan parti politik,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata, Kerajaan juga telah membenarkan moratorium pinjaman bank selama 12 bulan, iaitu enam bulan pada tahun lepas dan enam bulan lagi melalui pengumuman pakej PEMULIH baru-baru ini.
Selain itu, tambahnya lagi, Kerajaan juga meneruskan pemberian diskaun bil elektrik dan subsidi minyak masak dan minyak petrol untuk manfaat rakyat.
Di samping itu, beliau berkata, pelaksanaan program latihan dan peningkatan kemahiran turut dilaksanakan sebagai persediaan dalam meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan mengekalkan pekerjaan terutamanya dalam sektor terjejas, perdana menteri berkata Kerajaan telah melaksanakan Program Subsidi Upah bagi menampung sebahagian kos majikan untuk membayar gaji pekerja.
Kerajaan juga, tambahnya lagi, turut membantu menyalurkan bantuan kewangan secara bersasar kepada sektor khusus seperti pusat asuhan anak-anak, gimnasium, kantin sekolah, dan agensi pelancongan.
Khusus bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), perdana menteri berkata bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin atau GKP sebanyak RM1,000 akan dibayar, masing-masing sebanyak RM500 pada September dan November.
Setakat hujung bulan Jun 2021, Muhyiddin berkata masih terdapat baki keseluruhan dana pembiayaan PKS berjumlah RM8.6 bilion untuk dimanfaatkan oleh PKS.
“Semua pengumuman pakej rangsangan ini sebahagiannya telah dan akan dibiayai menggunakan Kumpulan Wang COVID-19 (atau KWC-19).
"Penubuhan KWC-19 adalah berlandaskan perundangan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 [Akta 830] yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan yang mulia ini.
“Penjelasan lanjut berhubung kesemua pakej bantuan dan perbelanjaan di bawah KWC-19 ini akan diperincikan oleh YB Senator Datuk Seri Utama Menteri Kewangan semasa sesi penerangan Pakej-pakej Bantuan Ekonomi pada 29 Julai nanti,” katanya lagi.
#Muhyiddin Yassin
#Mesyuarat Khas Parlimen
#bantuan kewangan
#Dewan Rakyat
#Moratorium
#bantuan prihatin rakyat
#PRIHATIN
#PENJANA
#KITA PRIHATIN
#PERMAI
#PEMERKASA
#PEMULIH