Lapan maut kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo
Astro Awani
November 21, 2024 18:49 MYT
November 21, 2024 18:49 MYT
SARIKEI: Lapan maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda di Lebuhraya Pan Borneo di sini, pada Khamis.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, kesemua mangsa yang maut tersebut merupakan lelaki yang menaiki Perodua Alza.
"Bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.40 petang. Sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota kemudian dihantar ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei.
"Sebaik tiba, dua daripada mangsa didapati tercampak keluar dari kereta, manakala enam yang lain tersepit teruk," katanya di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dan semua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, identiti kesemua mangsa dan punca kemalangan belum dikenal pasti.