Lapan lokasi cerun di Kedah termasuk Gunung Keriang dikenal pasti kritikal dan bahaya
Adie Sufian Zulkefli
Disember 21, 2022 16:07 MYT
Disember 21, 2022 16:07 MYT
ALOR SETAR: Sebanyak lapan lokasi cerun kritikal di negeri Kedah dikenal pasti berbahaya yang perlu diberi perhatian sewajarnya serta perlu ditutup ketika musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, Gunung Keriang di Alor Setar berada di tahap tinggi dan berisiko hasil pemantauan dan penilaian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata, lokasi-lokasi lain yang berada di kategori tahap tinggi ialah Sekolah Kebangsaan Meriam Kuala Muda, Sungai Petani dan Sekolah Kebangsaan Kilim, Langkawi.
Manakala empat kawasan lagi dikategorikan sebagai tahap sederhana ialah Taman Kenari, Kulim, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa, Kuala Muda, Jalan Ulu Melaka, Langkawi dan Taman Helang, Langkawi manakala Kompleks Kraftangan, Langkawi pula dikategorikan sebagai tahap rendah.
“Kawasan-kawasan katagori bahaya ini perlu ditutup ataupun tak perlu ditutup ataupun kita boleh pantau kawasan itu dalam keadaan tengok cuaca kalau kata hujan yang tidak berhenti mungkin kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Mohd Firdaus berkata, hasil pemantauan pihak JMG juga mendapati terdapat beberapa lokasi Taman Eko Rimba (TER) di negeri ini yang berisiko untuk berlakunya kepala air.
Katanya, kawasan-kawasan terbabit adalah Titi Hayun di Yan, Tupah dan Seri Perigi di Kuala Muda, Puncak Janing di Padang Terap, Sungai Sedim, Kulim, Bukit Hijau dan Lata Bayu di Baling, Telaga Tujuh di Langkawi dan Bukit Wang, Kubang Pasu.
Selain itu, jelas beliau, terdapat juga kawasan lain yang berisiko tetapi pada tahap rendah antaranya di sepanjang jalan ke Puncak Jerai, sepanjang jalan Gunung Raya, Langkawi Lebuh Raya Timur Barat, Baling Jalan Tanjung Jaga, Yan.
“Sebelum benda itu berlaku, kita di peringkat kerajaan negeri Kedah kena tengok dari semua aspek yang penting, bukan sahaja tanah runtuh tetapi perlu tengok dari segi kepala air kita ada banyak tempat pelancongan… kita ada sungai kita ada air terjun kita ada kem dan lain-lain lagi, jadi semua itu kita kena tengok,” katanya lagi.
Menurut Mohd Firdaus, semua agensi di dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah (JPBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kedah perlu memantau kawasan-kawasan berisiko bencana dan melaporkan kepada jawatankuasa untuk tindakan susulan.
Selain itu, katanya, JPBN juga mencadangkan kerajaan negeri untuk mengeluarkan arahan kepada semua pengunjung dan pelancong agar tidak melawati dan mengadakan sebarang aktiviti di tempat-tempat berisiko seperti yang dinyatakan mulai 20 Disember sehingga pertengahan Januari 2023.
Dalam masa sama, JPBN, kata beliau, turut mencadangkan semua pemain industri pelancongan dan perniagaan di kawasan cerun dan di TER mengurangkan atau menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga pertengahan Januari 2023 atau sehingga keadaan cuaca bertambah baik.