Lapan lelaki ditahan kes bunuh, cederakan lelaki di Bedong

Bernama
Ogos 16, 2024 19:31 MYT
Wan Azharuddin berkata kesemua mereka berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan di sekitar bandar Sungai Petani. - Gambar fail/Bernama
SUNGAI PETANI: Seramai lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pekerja cuci kereta dan seorang pengawal keselamatan yang cedera parah selepas diserang sekumpulan individu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kesemua mereka berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu ditahan di sekitar bandar Sungai Petani.
Beliau berkata enam lelaki ditahan dan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kematian pekerja cuci kereta berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Manakala bagi kes mendatangkan cedera parah seorang lagi mangsa yang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dua lelaki direman selama empat hari bermula hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2.20 pagi semalam di Bedong dekat sini, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 20-an dilaporkan mengalami kecederaan akibat tetakan pada kepala dan anggota badan selepas diserang sekumpulan individu.
-- BERNAMA
#bunuh pekerja cuci kereta #lapan ditahan #polis Kuala Muda #cedera diserang #Bedong