Lapan lelaki ditahan disyaki terlibat aktiviti keganasan
Astro Awani
Oktober 7, 2017 18:09 MYT
Oktober 7, 2017 18:09 MYT
Seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai cuba merekrut dua rakyat Malaysia supaya menganggotai kumpulan Tandzim Al-Qaeda Malaysia atau TAQM.
Suspek antara lapan lelaki yang ditahan oleh bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia, disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun, tangkapan pada 27 September melibatkan lima suspek di Sandakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Kesemua suspek daripada dua rakyat Malaysia, dua warga Filipina dan seorang Filipina bertaraf pemastatutin tetap berusia antara 30 hingga 53 tahun.
Pada 1 Oktober lalu, seorang suspek warga Albania berusia 35 tahun juga ditahan di bawah akta sama di Selangor.
Suspek merupakan seorang pensyarah, ditangkap kerana mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan pengganas.
Manakala tangkapan ketiga pada 6 Oktober melibatkan dua bekas banduan akta sama di Tapah, Perak.
Kedua-dua mereka sebelum ini pernah ditangkap pada 7 Februari 2013 kerana terlibat dalam aktiviti keganasan dan dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun pada 27 Januari 2016.