Lapan kereta pendaki Gunung Korbu, Gayung dipecah masuk

Sinar Harian
Februari 7, 2023 07:15 MYT
Tangkap layar video tular menunjukkan keadaan kenderaan milik pendaki yang dipecah.
IPOH: Lapan kenderaan milik pendaki Gunung Korbu dan Gunung Gayung (Korga) dipecahkan ketika ditinggalkan di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini pada Isnin.
Kejadian itu disedari sekitar jam 3.10 petang oleh seorang malim gunung selepas selesai menjalankan aktiviti pendakian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa bersama beberapa rakan meletakkan kenderaan di lokasi kejadian sejak Sabtu untuk menjadi pemandu arah mendaki gunung selama tiga hari.
"Selesai mendaki, lelaki berusia 49 tahun itu pergi ke arah kereta dan mendapati cermin hadapan sebelah pemandu pecah dan beg yang diletakkan di bawah kerusi telah hilang.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian hampir RM2,500. Kejadian adalah kali pertama berlaku sepanjang mangsa menjadi pemandu arah gunung kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 53 tahun turut kehilangan beberapa barangan termasuk wang tunai RM1,000 dan telefon bimbit.
"Dalam kes ini, terdapat lebih kurang lapan kenderaan dipecahkan cermin dan disyaki dilakukan oleh suspek yang sama.
"Bagaimanapun, sehingga kini hanya dua mangsa tampil membuat laporan polis," katanya.
Katanya, selain jauh dari pondok pengawal, lokasi itu juga jauh dari penempatan penduduk dan tiada kawalan keselamatan di tempat kereta diletakkan.
"Siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan suspek terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Kejadian itu tular di media sosial selepas satu video dimuat naik di Twitter menunjukkan keadaan kenderaan yang dipecah serta barang-barang dalam kenderaan yang dicuri.
Difahamkan semua kenderaan itu diletakkan oleh pendaki di kawasan lapang tanah rata berdekatan dengan perkampungan Orang Asli sebelum memulakan pendakian. - Sinar Harian
#pendaki #kenderaan #pecah #Yahaya Hassan
;