Lapan kereta musnah, pusat servis kenderaan terbakar
Sinar Harian
Januari 7, 2024 13:44 MYT
Januari 7, 2024 13:44 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan kereta musnah dalam kejadian kebakaran di sebuah pusat servis kenderaan di Taman Segambut dekat sini pada Ahad.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 8.08 pagi.
"Seramai 27 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dan 'water tanker' dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Jinjang dan BBP Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Hafizan berkata, pasukan bomba pertama tiba di lokasi pada jam 8.16 pagi dan kebakaran didapati membabitkan sebuah bangunan kilang yang menempatkan pusat servis kenderaan.
"Premis yang terbakar berkeluasan 2,500 kaki persegi (232 meter persegi) dan kebakaran memusnahkan bilik penyimpanan alat ganti di tingkat satu serta bilik fail yang berada di tingkat dua dengan anggaran kemusnahan 100 peratus.
"Lapan kereta yang terdapat dalam bangunan berkenaan turut terbakar dengan kerosakan kira-kira 70 peratus, namun kejadian itu tidak membabitkan mangsa dan punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,"ujarnya. -Sinar Harian