Lapan jenis barangan disenarai dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

Afiezul Samit
Disember 20, 2021 14:33 MYT
Jelas Alexander Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) berjalan serentak dengan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang melibatkan 12 barangan keperluan. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Krismas akan berkuat kuasa mulai 23 hingga 31 Disember ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, skim kawalan harga berkenaan bermula dua hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan enam hari selepas Krismas.
Jelasnya lagi skim tersebut berjalan serentak dengan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang melibatkan 12 barangan keperluan.
"Sebanyak lapan jenis barangan harga terkawal akan dikuatkuasakan melibatkan kategori ayam, sayur, daging kambing dan daging babi.
"Jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMKM dan SHMMP Krismas 2021 adalah melibatkan 20 jenis barangan daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, daging kambing dan daging babi," katanya ketika sidang media pengumuman harga maksimum Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di sini.
Bagi ayam tua hidup katanya, harga maksimum ditetapkan di Sarawak sahaja manakala harga maksimum kepak ayam, daging babi bahagian perut, daging babi dan lemak ditetapkan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Tambahnya permintaan terhadap barangan keperluan asas tertentu dijangka meningkat ketika musim perayaan Krismas ini, justeru, skim ini diperkenalkan bagi menstabilkan harga barangan di pasaran
KPDNHEP tegasnya, turut mempertingkatkan pemantauan harga melalui pegawai pemantauan harga (PPH) di bandar mahupun luar bandar.
#Skim Harga Maksimum Musim Perayaan SHMMP #KPDNHEP #Datuk Seri Alexander Nanta Linggi #Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia SHMKM
;