Lapan dulang emas bernilai lebih RM720,000 lesap

Astro Awani
Februari 8, 2018 18:35 MYT
Pasukan forensik polis sedang menjalankan siasatan sebelum insiden rompakan itu. - Astro AWANI
Sebanyak lapan dulang barang kemas bernilai lebih RM720,000 lesap selepas dilarikan sekumpulan penjenayah bersenjata api di sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata tiga lelaki bertopeng dan memakai topi tiba-tiba meluru masuk ke premis berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi.
Menurutnya, salah seorang suspek disyaki menggunakan pistol jenis revolver .38 telah mengacukan senjata api itu ke arah pengawal keselamatan kedai emas dan merampas pump gun.
“Dua lagi rakannya bertindak mengambil lapan dulang emas yang diletakkan di ruang pameran luar kedai emas tersebut.
“Suspek kemudian melarikan diri selain mencampakkan pump gun pengawal keselamatan di kawasan parkir kereta di luar bangunan pasar raya tersebut,” katanya kepada Astro AWANI di sini.
Tambah Mohd Zani, hasil soal siasat mendapati kedai emas itu pernah dirompak pada November tahun lalu dan suspek memakai topeng dan topi dipercayai melarkan diri menaiki Myvi putih.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
#kedai emas #Ketua Polis Daerah Petaling Jaya #Kota Damansara #makanan #Mohd Zani Che Din #pasar raya #pump gun #revolver 38
;