Lapan ditahan dalam operasi dadah jutaan ringgit di Perak dan Johor
Astro Awani
Januari 14, 2019 16:12 MYT
Januari 14, 2019 16:12 MYT
Polis menahan lapan individu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah melalui dua operasi di Perak dan Johor, Sabtu lalu.
Serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut menemukan 579.38 kilogram dadah jenis syabu, 16.4 kilogram dadah heroin dan 940 pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM29.28 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, dalam operasi pertama bermula pukul 4 petang hingga 7 petang di Perak, tiga lelaki ditahan di beberapa lokasi berasingan.
Menurut beliau, dalam serbuan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Taiping itu, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan dan dadah syabu seberat 569.5 kilogram ditemukan dalam sebuah kontena.
“Pengambilan dadah-dadah ini boleh menampung hampir tiga juta pelanggan atau penyalahgunaan dadah di seluruh negara. Kalau kita tidak bendung, keadaan (dadah) ini berjaya diedarkan di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Mohamad Fuzi, siasatan awal mendapati lima individu yang ditahan di Johor dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup masuk dadah kepada tahanan di sebuah penjara di negeri itu.
Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula 12 Januari lalu hingga 19 Januari ini.
Jelasnya, beliau percaya kesemua suspek yang ditahan merupakan dari dua sindiket yang berbeza.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
#Bukit Aman
#jenayah
#Ketua Polis Negara
#Mohamad Fuzi Harun
#penjara
#polis
#ringgit
#sindiket
#Syabu
#Taiping