Lapan ditahan dalam operasi cegah jenayah di Bukit Mertajam
Bernama
April 24, 2016 15:54 MYT
April 24, 2016 15:54 MYT
Lapan lelaki termasuk empat warganegara Indonesia ditahan dalam operasi pencegahan jenayah di Seberang Perai Tengah (SPT), di sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah SPT ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam operasi lebih lima jam bermula 11.30 malam itu, pihaknya membuat pemeriksaan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai termasuk pusat hiburan.
"Polis menahan seorang lelaki memiliki sejumlah dadah dan dua lelaki positif dadah di sebuah pusat hiburan, mereka berusia antara 23 dan 35 tahun," katanya di sini hari ini.
Katanya, polis turut menahan seorang lelaki berusia 40-an iaitu pemilik sebuah pusat hiburan kerana menjalankan operasi tanpa lesen perniagaan yang sah.
Beliau berkata dalam pemeriksaan di kawasan Juru di sini pula, pihaknya menahan empat lelaki warga Indonesia berusia antara 30 dan 48 tahun kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.
"Operasi itu dijalankan dalam usaha membendung jenayah seperti kecurian motosikal, ragut, pecah rumah dan samun. Menerusi operasi itu juga kami cuba mengesan suspek kes jenayah serta dadah dan orang dikehendaki polis," katanya.
Sementara itu, Rusli berkata dalam Op Mabuk di Jalan Song Ban Kheng, di sini awal pagi ini, polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Katanya, pemeriksaan dilakukan ke atas 146 kenderaan dan sebanyak 16 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Seorang penunggang motosikal berusia 21 cedera di kaki selepas motosikalnya melanggar tembok di tepi jalan ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis, katanya.
"Seramai 85 pegawai dan anggota polis dibantu penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang terlibat dalam dua operasi itu," katanya.