Lapan bulan hilang, mayat tanpa kepala rupanya milik Cikgu Istiqomah - Polis

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 12, 2024 02:15 MYT
Mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui di dalam tong sampah pada 31 Disember lalu, disahkan milik Istiqomah Ahmad Rozi.
ALOR GAJAH: Seorang guru wanita yang dilaporkan hilang pada penghujung tahun lalu di sebuah pasar raya di Johor Bahru, Johor disahkan maut dipercayai dibunuh oleh bekas teman lelakinya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui di dalam tong sampah pada 31 Disember lalu, disahkan milik Istiqomah Ahmad Rozi, 32.
“Polis telah menjalankan siasatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan pada 2 Ogos oleh Bahagian Data Bank/ DNA (D13), Jabatan Siasatan Jenayah ke atas ibu kepada seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023 di Johor mendapati ia sepadan.
“Risikan yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama daripada Jabatan Siasatan Jenayah Johor telah berjaya menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak,” katanya ketika dihubungi di sini.
Pada 6 Januari lalu, Astro AWANI melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemui disumbatkan ke dalam tong sampah dan dibuang ke dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka, pada 31 Disember lalu.
Lebih tragis apabila bahagian kepala, tangan dan kaki mayat wanita dianggarkan berusia 20 hingga 30-an tidak berada di lokasi dan dipercayai telah dipotong.
Mengulas lanjut, Ashari berkata, siasatan yang dijalankan ke atas dua individu berkenaan kemudian membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayat mangsa dijumpai.
“Mangsa ini mempunyai tiga orang anak dan dipercayai tangkapan lelaki ini memang kenal dengan mangsa manakala isterinya tidak mengenali mangsa.
“Kedua-dua individu yang ditahan telah dibenarkan reman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu dan pihak polis akan mohon sambung reman hari ini terhadap suspek lelaki yang ditahan,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5562222.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat ASP Norehan Omar di talian 010-4064003,” tambahnya.
#mayat #ujian DNA #Ashari Abu Samah #Istiqomah Ahmad Rozi