Lapan beradik yatim piatu akibat COVID-19 terima bantuan
Eton Khir
Julai 22, 2021 21:33 MYT
Julai 22, 2021 21:33 MYT
RAWANG: Kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 merupakan satu detik hitam dalam kehidupan lapan beradik yang kini tiada lagi tempat untuk bergantung.
Meskipun menerima ketentuan takdir, namun setiap kali menceritakan ujian yang dihadapi, air mata mereka bergenang tatkala mengenang perginya insan yang tersayang.
Bagaimanapun sejak kisah lapan beradik ini tular, ramai pihak yang tampil menghulurkan bantuan baik dari sudut kewangan mahupun sokongan moral.
Menurut Nazurah Nabilah Benjayeed, 19, beliau sebagai anak sulung dari lapan beradik kini menggalas tugas sebagai ketua keluarga menjaga adiknya yang masing-masing berusia 18, 16, 14,13,10, lapan dan empat tahun.
"Kehilangan orang yang kita sayangi itu biasa. Jangan terlalu sedih melayan perasaan sehingga kesihatan tak terjaga. Kita kena kuat semangat untuk teruskan hidup.
"Saya juga mahu adik-adik kuat semangat untuk teruskan hidup dan sambung belajar sehingga ke peringatkat tertinggi. Tidak mahu hidup mereka terumbang ambing.
"Malah saya masih ingat pesanan ayah, untuk menjaga adik-adik dan walau apa pun yang terjadi, jangan sesekali berpisah antara satu sama lain,” katanya kepada Astro AWANI.
Kisah mereka ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Datuk Sri Adham Baba yang melawat keluarga ini di kediaman saudara mereka di Rawang, Selangor pada Khamis.
Menurut Ismail Sabri Yaakob, apa yang berlaku hari ini, mungkin sudah banyak berlaku di tempat lain.
Justeru, mengambil iktibar situasi tersebut, beliau berkata langkah akan diambil agar kes kematian keluarga akibat COVID-19 dapat ditangani dengan lebih efektif.
"Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia yang telah viralkan situasi yang dihadapi oleh lapan beradik ini. Jika tidak, ia pasti tidak sampai ke pengetahuan orang ramai, termasuk saya.
"Jadi saya sudah meminta Dr Adham Baba, untuk mendapatkan kes-kes kematian yang sama seperti ini. Dengan senarai nama ini, ia akan memudahkan dan supaya tiada yang terlepas dari bantuan. Jadi kita akan bantu seperti yang kita rancang," katanya.
Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor turut menghulurkan bantuan pembiayaan sewa rumah sebanyak RM650 sebulan kepada keluarga berkenaan, selain menyerahkan bantuan bakul makanan dan kewangan one-off sebanyak RM650.
Manakala, Jabatan Kementerian Masyarakat (JKM) pula memberikan bantuan kewangan sebanyak RM950 sebulan kepada lapan beradik itu.
Selain itu, bantuan one-off RM5,000 dari Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 turut diberikan.
Malah, Kementerian Pertahanan turut bersetuju untuk mengambil lapan beradik itu sebagai anak angkat Boustead Holdings Berhad (BOUSTEAD) susulan anak kedua berusia 18 tahun yang bekerja di kilang tersebut.
#ismail sabri yaakob
#Timbalan Perdana Menteri
#Astro Awani
#jkm
#COVID-19
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#Perdana Menteri
#rakyat Malaysia
#Malaysia