Lapan beradik hilang ibu bapa akibat COVID-19 terima faedah bulanan Perkeso

Ehsan A Marisah
Ogos 25, 2021 11:18 MYT
Mohammed Azman (kanan) menyerahkan bayaran faedah kepada Nazurah, semasa mengunjungi lapan beradik itu di kediaman mereka semalam. - Gambar Perkeso
RAWANG: Lapan beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 baru-baru ini, menerima kunjungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Meskipun kehilangan itu sukar digambarkan dan meninggalkan kesan mendalam kepada permata-permata kecil itu, namun kunjungan Perkeso tersebut mungkin sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mereka.
Semasa sesi kunjungan itu, Perkeso menyampaikan Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) yang layak diterima ibu waris sepanjang arwah menerima rawatan di hospital akibat COVID-19.
Waris juga layak dan telah mula menerima Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan bagi arwah ayah dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Pekerjaan bagi arwah ibu mereka.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Pencen Penakat dan FOT akan dibayar secara bulanan kepada lapan beradik itu sehingga mereka mencecah usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama, temasuk menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM4,000.
“Dalam kes seumpama ini di mana ayah dan ibu meninggal dunia, sekiranya ada (waris) yang telah melepasi umur 18 tahun, ia akan dibayar terus kepada waris yang sulung tetapi kalau anak-anak ini di bawah umur, (bayaran) akan dibayar kepada waris yang menjaga.
“Sejak tahun 2016, Perkeso telah menubuhkan Skuad Perkeso Prihatin. Melalui Skuad ini, kita tidak menunggu untuk waris datang ke pejabat, sebaliknya berdasarkan maklumat yang kami kesan atau terima baik daripada media, ketua masyarakat atau orang ramai mengenai kematian atau musibah yang menimpa mana-mana individu, Skuad Perkeso Prihatin akan membuat semakan dengan segera.
"“Sekiranya mereka layak (terima faedah), kita tidak akan menunggu mereka untuk memohon, kita akan terus proses segala keperluan dan bantuan. Kami proaktif dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan melalui pendekatan ‘mendekati dan membantu’, ‘to search and serve’,” katanya selepas menyerahkan faedah Perkeso di sini, pada Selasa.
Sementara itu, anak sulung kepada lapan beradik itu, Nazurah Nabilah, 19 tahun, berkata, dia terharu dengan inisiatif Perkeso yang mengambil berat mengenai kebajikan mereka yang sudah tiada sesiapa.
“Sebelum ini saya sudah pernah menjaga adik-adik saya dan perkara ini akan saya teruskan kini sambil menyambung pengajian di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang Stesen, Perak, dan setakat ini, semua pembelajaran dilakukan secara dalam talian,” katanya.
Allahyarham Ben Yajeed Bernie, 45 tahun, dan isterinya, Noraini Ibrahim, 43 tahun, meninggalkan lapan orang anak, iaitu tiga lelaki dan lima perempuan yang berusia antara empat tahun dan 19 tahun.
Ben Yajeed meninggal dunia pada 16 Julai lalu di Hospital Selayang dan selang dua hari kemudian Noraini pula meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh selepas jangkitan itu diterimanya sewaktu di tempat kerja.
Sehingga kini, lebih 11,000 pencarum telah menerima bayaran faedah Perkeso untuk kes berkaitan COVID-19, yang membabitkan bayaran kira-kira RM11.11 juta.
*Kandungan dalam artikel ini adalah hasil kerjasama bersama Perkeso.
#COVID-19 #perkeso #faedah Perkseo #Faedah Pencen Penakat #Faedah Orang Tanggungan #FOT #Skim Bencana Pekerjaan #Mohammed Azman #yatim piatu
;