Lapan bayi penerima pertama ADAM50 di Kuala Lumpur

Azyyati Ahmad
Januari 1, 2018 19:12 MYT
nsentif khas tersebut telah disampaikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad di Pusat Latihan Obstetrik Dan Ginekologi, HKL hari ini. - Foto Bernama
Seramai lapan bayi dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari pertama tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, lima adalah bayi lelaki manakala selebihnya perempuan yang mana kesemua bayi comel itu dilahirkan antara pukul 12:00 tengah malam hingga 1 pagi hari ini.
Paling istimewa, mereka adalah antara kumpulan bayi terawal yang menerima Insentif Khas Amanah dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) bermula tahun ini.
Rata-rata ibu yang ditemui teruja kerana anak-anak mereka menjadi bayi pertama penerima ADAM50 seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2018.
Insentif khas tersebut telah disampaikan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad di Pusat Latihan Obstetrik Dan Ginekologi, HKL hari ini.
Menurut beliau, inisiatif ADAM50 layak untuk semua bayi warganegara Malaysia yang lahir pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.
“Saya ingin menggalakkan kesemua ibu bapa agar ke cawangan PNB yang terdekat selepas memperolehi sijil kelahiran anak untuk mendapatkan insentif RM200 secara percuma.
“Ibu bapa juga digalakkan untuk menambah perlaburan di ADAM50 yang mana simpanan boleh dilakukan sehingga RM200,000,” ujarnya.
Turut hadir, Pengarah HKL Datin Dr Nor Akma Yusof.
Penyerahan juga turut diadakan di 30 lokasi lain seprti Kota Bharu, Pulau Pinang dan Shah Alam.
ADAM50 adalah insentif baru yang diperkenalkan dalam Bajet 2018 dan mula dilaksanakan pada 1 Januari ini yang akan memanfaatkan kira-kira 2.8 juta bayi di negara ini.
Kos keseluruhan ADAM50 yang akan dilaksanakan selama lima tahun bermula 2018 sehingga 2022 itu dianggarkan mencecah RM560 juta.
Melalui ADAM50, kesemua bayi warganegara Malaysia yang lahir bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan menerima insentif percuma sebanyak 200 unit yang akan dikreditkan secara automatik selepas proses pendaftaran dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga ke dalam tabung unit amanah kendalian anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
#ADAM50 #HKL #Hospital Kuala Lumpur #Insentif Khas Amanah dana Anak Malaysia 2050 #PNB
;