Lapan anggota polis loya, muntah selepas terhidu bahan kimia
Sinar Harian
Ogos 4, 2019 16:03 MYT
Ogos 4, 2019 16:03 MYT
Lapan anggota polis mengalami simptom loya dan muntah selepas melakukan pemantauan di tapak lokasi penemuan 15 tong dram berisi bahan kimia di Ladang Felcra Sempa dekat Karak, Jumaat lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat mangsa dirawat di wad biasa Hospital Bentong manakala empat lagi sudah dibenarkan pulang.
Difahamkan kesemua mereka berada di dalam keadaan stabil termasuk yang ditahan di wad.
"Buat masa ini kita masih menunggu laporan terperinci mengenai kejadian ini dan sedang menunggu laporan sampel darah kesemua mangsa," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program 'Kampungku Sihat' Parlimen Temerloh di Dewan Terbuka Taman Pulai Idaman di Kampung Padang Lalang, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Tahir.
Sinar Harian semalam melaporkan penemuan 15 tong dram mengandungi bahan kimia dipercayai sodium sianida berdasarkan kepada label di tong terbabit.
Dalam pada itu, Dzulkifley memberitahu tiada penduduk berhampiran yang dilaporkan memiliki simptom sama yang dihadapi anggota terbabit.
Sementara itu Exco Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Peladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin memberitahu, siasatan awal mendapati bahan buangan itu adalah sejenis bahan kimia berbahaya yang akan mengeluarkan gas sianida berbahaya jika bertindak balas dengan air.
Menurutnya,siasatan awal juga mendapati bahan itu masih dalam keadaan pepejal dan tiada kewujudan pengewapan gas sianida di kawasan sekitar.
"Operasi bersepadu ke tapak lombong emas berhampiran sedang dijalankan dan isu ini akan dibawa ke Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Buangan Berbahaya di bawah Jawatankuasa Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya," katanya.
#air
#bahan kimia
#Dr Dzulkefly Ahmad
#Hospital Bentong
#kesihatan
#lombong
#Menteri Kesihatan
#pencemaran
#polis loya
#polis muntah
#temerloh