Lapan anggota bomba sesak nafas terhidu gas metana
Raffi Bachik
Ogos 26, 2016 08:06 MYT
Ogos 26, 2016 08:06 MYT
Lapan anggota bomba sesak nafas akibat terhidu gas metana ketika operasi membawa keluar mayat warga Bangladesh yang terjatuh ke dalam tangki kumbahan.
Kejadian berlaku sekitar tengah malam tadi di tapak pembinaan Bukit China, Melaka.
Kesemua anggota terlibat dipercayai terdedah kepada gas metana selepas turun ke tangki kumbahan sedalam 4.5 meter itu.
Timbalan Penguasa Dan Penyelamat Bomba Melaka, Kamalruzaman Mohamad Din berkata, anggota-anggota itu telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Mereka ini kemungkinan terhidu... dia menggunakan PPE, peralatan perlindungan yang cukup. Kemungkinan tekanan udara kuat dan mereka ini merasa sesak nafas dan mereka keluar.
“Untuk peringkat awal kita menghantar mereka ke hospital untuk siasatan. Mula-mula kita hantar lima, kemudian saya arah lagi tiga untuk buat pemeriksaan,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, pihak bomba terpaksa memohon bantuan beberapa unit jentera lain dan sepasukan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bagi membantu kerja-kerja membawa keluar mangsa dari dalam tangki kumbahan tersebut.
Katanya, kelapan-lapan anggota yang berumur lingkungan 20 tahun ke 45 tahun kemudian dihantar ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulans hospital dan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk pemeriksaan lanjut.