Lanun penyelidik asing terus 'merogol' hasil hutan negara

Ts Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar
Mei 18, 2019 19:30 MYT
Seperti lanun yang bangga mengibarkan bendera, lanun penyelidik asing ini tanpa gentar berulang kali masuk ke Malaysia dan mengulangi jenayah mereka.
NEGARA dikejutkan dengan perkongsian dari Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) awal Mei 2019 mengenai lanun belantara yang menjalankan kegiatan pemburuan haram yang didalangi warga Vietnam.
Diberikan deskripsi dengan tubuh yang kecil, ganas, kekuatan fizikal yang luar biasa dan semangat berani mati yang membuatkan mereka cukup sukar ditumpaskan penguatkuasa Perhilitan. Selayaknya mereka yang berkelakuan keji ini dipanggil sebagai lanun kerana masuk ke negara kita secara haram dan merompak pula khazanah warisan semulajadi yang semakin hilang saban hari.
Namun, ada satu golongan lagi yang sering dibisikkan di mesyuarat, bengkel, perjumpaan, dan persidangan saintifik di antara penyelidik iaitu lanun penyelidik asing!
Mengapakah penyelidik juga dipanggil sebagai lanun? Kerana mereka tidak mendapatkan kebenaran dan permit penyelidikan yang sah dari pihak yang berkaitan seperti Kerajaan Negeri, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan, Perbadanan Taman Negara dan lain-lain.
Tiada deskripsi am yang boleh diberikan melainkan golongan ini amat licik, tidak menghormati undang-undang negara dan mempunyai agenda peribadi di dalam menjalankan kajian mereka.
Hasil carian di dalam satu jurnal atas talian yang sering digunakan oleh lanun penyelidik asing ini untuk menerbitkan kajian mereka dari Malaysia menunjukkan negeri Johor merupakan yang paling tinggi terkesan dengan pencerobohan ini melibatkan Hutan Simpan Gunung Panti, Gunung Arong, Taman Negara, Gunung Pulai dan Mersing.
Secara keseluruhan sebanyak 23 artikel melibatkan hidupan liar dan tumbuhan dari negeri Johor diterbitkan di dalam jurnal ini sepanjang tahun 2016 sahaja! Antara kawasan tumpuan lain ialah Pulau Langkawi dan Sedim (Kedah), Bukit Fraser, Taman Negara dan Pulau Tioman (Pahang), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan lain-lain yang diterbitkan sepanjang 2016-2019 berjumlah puluhan artikel.
Jarang sekali kita mendengar perompak menunjuk-nunjuk hasil rompakan mereka di khalayak ramai, tetapi lanun penyelidik asing ini dengan bangganya menerbitkan hasil kajian mereka di dalam jurnal atas talian yang boleh diakses dengan mudah. Adakah kerana mereka yakin tiada tindakan akan diambil oleh kerajaan Malaysia?
Jurnal ini bukanlah jurnal berkualiti dan berwasit, tetapi sekadar jurnal yang boleh kategorikan sebagai jurnal penyamun juga kerana hanya mengambil masa kurang dari satu minggu untuk menerbitkan hasil kajian lanun-lanun ini. Ini hanya rekod dari satu jurnal sahaja, bagaimana dengan jurnal yang lain?
Penyelidik asing ini masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong yang biasa dan mengambil peluang untuk memasuki hutan-hutan kita dan menjalankan pemerhatian saintifik mereka.
Selalunya golongan ini memfokuskan kajian dokumentasi dan inventori menggunakan rakaman gambar seperti merekodkan burung, reptilia, amfibia, mamalia dan tumbuhan yang ada di negara kita. Ada segelintir juga yang bersifat jangka masa panjang yang mana mereka kerap datang ke negara ini dalam sela masa yang berbeza mengikut kajian mereka.
Mudah bukan? Masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong, rakam gambar, jalankan pemerhatian, terbitkan di jurnal atas talian yang tidak berkualiti.
Penyelidik Malaysia pula tidak boleh berkelakuan sama kerana mereka perlu memohon pelbagai permit penyelidikan (sebahagiannya perlu dibayar) sebelum memulakan penyelidikan. Itu tidak termasuk harus mematuhi panduan etika penyelidikan yang diwajibkan oleh universiti atau kementerian. Dan semua ini mengambil masa yang agak lama selalunya 3-6 bulan. Aneh, prosesnya lebih sukar untuk warganegara berbanding lanun asing.
Adakah kehadiran lanun asing ini tidak diketahui sama sekali? Bohong jika pihak berkepentingan mengatakan tidak tahu. Golongan ini sering dibisikkan di mesyuarat, bengkel, persidangan dan perjumpaan jabatan berkaitan dan penyelidik sendiri.
Dua tona suara biasa digunakan bila menyebut golongan ini, iaitu tona yang keras dan menolak kehadiran haram penyelidik asing ini, dan tona yang lembut dan sanggup berkompromi dengan kehadiran mereka ke negara kita.
Mengapa ada dua persepsi yang berbeza? Mudah sahaja untuk dihadam.
Mereka yang berkeras menolak kehadiran lanun penyelidik asing ini adalah golongan yang menghormati undang-undang negara dan memastikan kepentingan dan kedaulatan negara ini terus terpelihara.
Mereka menekankan dan mementingkan kolaborasi sihat yang bersifat pemindahan ilmu antara penyelidik asing dan penyelidik Malaysia yang mampu membangunkan agenda konservasi alam sekitar yang lestari.
Mereka tidak termakan dedak yang ditabur oleh lanun yang bersifat parasit yang hanya ingin mencapai agenda peribadi mereka semata-mata.
Golongan yang selalunya berlembut dengan lanun-lanun ini selalunya memandang enteng undang-undang negara sendiri dengan agenda peribadi tersendiri seperti ingin meningkatkan bilangan penerbitan secara mudah dan meningkatkan populariti dengan menumpang kajian lanun asing ini, disamping menggunakan lanun asing untuk memenuhi KPI universiti atau jabatan masing-masing.
Mereka umpama dirasuah oleh lanun asing dengan pelbagai ufti termasuk dipanggil untuk berucap di negara luar, diberikan jawatan dan dilantik di dalam NGO antarabangsa yang bersifat politik semata-mata dan bukannya disebabkan kepakaran mereka.
Dari mana datangnya keberanian lanun-lanun ini untuk terus memperkosa kedaulatan undang-undang negara ini? Mereka selalunya menggunakan dua mekanisme untuk menembusi negara ini.
Yang pertama dan yang paling kerap digunakan ialah dengan menggunakan NGO setempat di kawasan tumpuan mereka kononnya mereka peduli dan hendak membantu usaha konservasi. Lebih licik lagi, ada wakil NGO yang mengajar lanun asing ini untuk memohon permit untuk memerhatikan burung (bird watching) atau trekking kerana mudah diperolehi tetapi sebenarnya mereka hendak membuat pemerhatian pada haiwan atau tumbuhan lain.
Masih segar di ingatan penulis sebuah majlis yang dianjurkan oleh NGO yang ternama di negara ini yang mana penulis sebutkan dengan terang dan nyata mengenai pencerobohan ini, dan pengerusi NGO negeri terbabit dengan bangga menidakkan kepentingan undang-undang dan menyebut kenalan-kenalan nya di pengurusan tertinggi kerajaan di hadapan lanun-lanun ini! Memalukan!
Bukan hanya mereka ini dibantu, malah sebahagian lanun-lanun ini juga diberikan jawatan di dalam NGO negara ini hanya kerana sesetengah pihak mahu mendapatkan balasan dari lanun ini. Tetapi, penulis nyatakan dengan tegas di sini, perkara ini bukanlah prinsip NGO terbabit, tetapi politik peribadi mereka yang mempunyai jawatan di dalam NGO tersebut.
Tidak boleh dinafikan sumbangan dan perjuangan sebahagian besar NGO yang memainkan peranan di dalam usaha konservasi biodiversiti di Malaysia.
Mekanisme kedua yang digunakan ialah dengan menjalankan kolaborasi ‘atas kertas’ bersama penyelidik Malaysia.
Dalam erti kata lain, penyelidik Malaysia membantu mendapatkan permit penyelidikan di atas nama mereka bersama penyelidik asing ini, dan lanun ini bebas menjalankan penyelidikan tanpa dipantau oleh penyelidik Malaysia, kerana yang penting bagi mereka, nama mereka dimasukkan di dalam penulisan dan penerbitan untuk memenuhi KPI masing-masing.
“Mengapa perlu kita runsing akan golongan ini?”
“Biar sahajalah mereka jalankan kajian mereka”
“Mereka bukan mencuri apa-apa”
“Baguslah mereka buat kajian di negara kita, kita jimat duit”
Ini merupakan dialog-dialog meloyakan yang biasa penulis dengari bila menyuarakan masalah ini. Pertanyaan “apa salahnya” ini menyebabkan lanun asing ini tidak menghormati langsung undang-undang negara ini.
Beberapa bulan yang lalu, negara digemparkan dengan berita penemuan spesies tarantula berkaki biru yang dijumpai oleh penyelidik dari United Kingdom di hutan Sarawak dan menamakannya sebagai Birupes simoroxigorum (Blue Tarantula). Kajian ini disahkan tidak memperolehi permit dan kebenaran dari kerajaan Sarawak, dan spesimen Tarantula Biru ini dikatakan di seludup keluar dari negara ini dan diklasifikasikan sebagai spesies yang baru.
Adakah ini satu-satunya kes yang berlaku? Semestinya tidak. Berpuluh malah ratusan kes seperti ini pastinya berlaku di hutan kita.
Awal bulan ini, satu majlis pelancaran brosur kesedaran hidupan liar dijalankan di selatan tanah air yang secara terang-terangan menggunakan nama spesies yang salah dan cubaan penyelidik asing untuk mengaitkan spesies tersebut dengan negara asalnya dan bukannya Malaysia.
Lebih memalukan, majlis itu dihadiri pengerusi-pengerusi NGO dari Malaysia yang tampak yakin tersenyum merakam gambar kenang-kenangan. Penulis percaya, mereka ini tidak diberikan maklumat lengkap oleh penganjur untuk menggunakan wajah dan nama mereka sebagai sokongan terhadap lanun asing ini.
Ya, penyelidik kita mempunyai kekangan geran penyelidikan dan pelajar yang berminat menyambung pengajian kerana tekanan ekonomi semasa. Penyelidik asing selalunya mempunyai banyak dana penyelidikan tetapi negara asal mereka tiada kepelbagaian biologi yang menarik.
Bukankah bagus jika penyelidikan itu dijalankan dengan kolaborasi yang sihat tanpa kepentingan peribadi dan agenda jahat? Bukan kah kita perlukan lebih banyak kaki dan tangan untuk menangani masalah kepupusan dan kehilangan biodiversiti yang semakin runcing setiap hari?
Sayang seribu kali sayang, di dalam episod kepupusan yang melampau masih ada penyelidik yang mengambil kesempatan untuk menjadi hero dan mengejar populariti. Namun, walau apa pun yang berlaku, tindakan tegas perlu di ambil kepada lanun-lanun ini, termasuk menghalang masuk ke negara ini jika terbukti berulang-ulang kali melanggar undang-undang dan tidak menghormati negara berdaulat ini.

*Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar ialah Penyelidik di Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI
#Abdul Kadir Abu Hashim #Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar #hasil hutan #khazanah negara #lanun #lanun asing #NGO #pelancong #pemburuan haram #penyelidik #penyelidikan #Perhilitan #permit #undang-undang #United Kingdom #warisan semulajadi
;