Lantikan TPM: Tak perlu ulas panjang, semua terpulang kepada Perdana Menteri - Muhyiddin
Madiha Abdullah
Julai 16, 2022 17:21 MYT
Julai 16, 2022 17:21 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan berhubung isu lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Katanya, perkara itu tidak memerlukan penjelasan panjang lebar kerana semua keputusan adalah mengikut pertimbangan Perdana Menteri.
“Saya hendak jawab ringkas dan tak panjang, saya serah pada Perdana Menteri dan ikut pertimbangan yang bijaksana," katanya ketika ditemui pemberita pada program Blood Donation Drive di pusat beli belah Mid Valley, pada Sabtu.
Ketika ditanya tentang tindakan kerajaan mengambil langkah berjimat membabitkan semua kementerian dan agensi, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu melihat tindakan itu sebagai wajar, namun ia mesti mengambil kira bebanan semasa rakyat.
"Itu wajar, tetapi apa pun langkah kerajaan nak ambil, mesti ambil kira supaya ia tidak (menyebabkan) beban meningkat dan bertambah kepada rakyat.
"(Bagaimana) cara nak dilaksanakan, adakah buat mengejut atau beberapa fasa.
"Saya tak nak nasihat, saya fikir Menteri Kewangan mesti fahamlah. Kalau kerajaan berterusan seperti ini, ekonomi dan mungkin kewangan negara akan bertambah lebih teruk," katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.