Lantikan semula sebagai Duta Khas: Hadi Awang ikrar teruskan tugas yang tertangguh
Astro Awani
September 3, 2021 16:32 MYT
September 3, 2021 16:32 MYT
MARANG: Pelantikan semula sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah membuka ruang bagi meneruskan tugasan yang tertangguh serta menggerakkan perancangan baharu, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurut Presiden Pas itu, antara bidang yang akan diberi tumpuan utama ialah mengenai kerjasama dua hala dalam bidang politik, ekonomi dan pendidikan.
Abdul Hadi berkata, sepanjang memegang amanah itu, beliau sudah mengadakan pertemuan diplomatik dengan 10 duta dari negara Timur Tengah .
Susulan daripada pertemuan-pertemuan itu, Abdul Hadi berkata, menteri-menteri bertanggungjawab telah mengambil tindakan termasuk mengadakan lawatan ke negara-negara
“Susulan (pertemuan) juga sudah dilakukan menteri- menteri yang sebahagiannya sudah dilaksanakan antara ialah dagangan kelapa sawit.
“Hasil susulan juga mengadakan perbincangan pendidikan di Mesir, Jordan dan lain-lain termasuk kerjasama membantu rakyat Palestin,” kata beliau selepas menyampaikan kuliah Duha secara dalam talian di Rusila di sini, pada Jumaat.
Semalam, kerajaan mengumumkan menyambung pelantikan Abdul Hadi sebagai Duta Khas di Timur Tengah.
Tidak ketinggalan khidmat Datuk Seri Tiong King Seng sebagai Duta Khas ke China dan Datuk Seri Richard Riot yang juga Duta Khas ke Asia Timur turut disambung.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilantik memegang jawatan berkenaan semasa pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 April tahun lalu.