Lantikan politik PN tanpa merit di IPTA cemar imej institusi - J/Kuasa Pendidikan PH
Firdaus Azil
Jun 22, 2021 17:25 MYT
Jun 22, 2021 17:25 MYT
KUALA LUMPUR: Pengagihan jawatan di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kepada wakil-wakil politik Perikatan Nasional (PN) tanpa merit, akan menyebabkan imej dan wibawa IPTA semakin buruk sama ada di peringkat lokal mahupun antarabangsa.
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKKPH) dalam satu kenyataan hari ini mendakwa, terdapat lebih daripada 13 lantikan politik di IPT dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dari kalangan ahli politik PN.
Di sesetengah IPTA, dakwa jawatankuasa itu lagi, kebanyakan jawatan di dalam Lembaga Pengarah Universiti (LPU) diisi oleh wakil-wakil UMNO tanpa kelayakan yang sepatutnya.
Pelantikan yang sama, kata mereka, juga berlaku di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
“JKPPH berasa hairan mengapakah pelantikan di LPU IPT dari kalangan tokoh-tokoh akademik, korporat, profesional dan mereka yang telah berjaya di persada antarabangsa seperti di zaman PH dahulu tidak diteruskan.
“Malah ramai tokoh akademik dan korporat yang tidak berparti dan apolitikal yang dilantik di zaman PH telah digantikan dengan wakil-wakil dari ahli politik PN terutamanya dari UMNO yang terlalu jauh rendah kelayakan mereka berbanding tokoh-tokoh yang telah dibuang oleh YB Menteri,” menurut jawatankuasa itu lagi.
KPT, menurut JKKPH lagi, sewajarnya merujuk kepada buku Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menggariskan keperluan melantik ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mengikut kebolehan dan ‘skill-sets’ yang telah ditetapkan supaya mereka boleh memacu IPTA lebih berdaya maju.
Pelantikan berdasarkan keahlian politik semata-mata, kata mereka, boleh mengganggu kemajuan universiti seperti yang berlaku sepanjang pemerintahan PN.
“JKPPH mendesak agar KPT menyemak semula pelantikan wakil-wakil parti politik UMNO, Pas dan Bersatu di IPTA dan agensi serta bahagian di KPT demi menjaga kredibiliti dan nama baik pendidikan negara.
“Sepatutnya di kala wabak melanda, KPT menyikapi isu pendidikan tinggi dengan serius seperti di negara-negara maju dan bukannya bermain politik dan mengagihkan habuan sesama ahli politik,” tegas jawatankuasa itu lagi.
#Jawatankuasa Pendidikan PH
#Pakatan Harapan
#Maszlee Malik
#ipta
#lantikan politik
#UMNO
#Perikatan Nasional
#PN