Lantikan Naib Canselor perlu telus, elak ada 'tangan ghaib' - MPN
Hasimi Muhamad
Mac 28, 2022 16:48 MYT
Mac 28, 2022 16:48 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Profesor Negara (MPN) memaklumkan seolah-olah wujud ‘tangan ghaib’ yang mencampuri urusan dalam pelantikan Naib Canselor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Presidennya, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata situasi itu menimbulkan sedikit rasa kurang senang dalam kalangan ahli akademik dan orang awam, yang mana ia dibimbangi menjejaskan perjalanan pengurusan pendidikan tinggi negara.
Untuk menjawat jawatan tersebut, jelas beliau lagi, terdapat kriteria dan struktur yang ditetapkan termasuk mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun sebagai Dekan Fakulti atau Timbalan Naib Canselor.
"Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini walaupun kita sedar ianya mengikut AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) (yang mana) Perkara 24A menetapkan bahawa adalah kuasa menteri untuk melakukan pelantikan itu.
"Walau bagaimanapun, menteri adalah dinasihati oleh sebuah Jawatankuasa Carian, yang terdiri daripada orang industri dan pegawai akademik yang senior. Sudah tentu kalau kita lihat kepada aturan (pelantikan Naib Canselor) itu, akhirnya kita akan dapat seorang calon yang benar-benar layak dan tidak menjadi perbualan sama ada dalam kalangan warga atau komuniti akademik.
"Apa yang berlaku (pelantikan Naib Canselor) sedikit luar biasa, orang yang tidak mengikut hierarki itu, yang luar daripada struktur, dan saya rasa ini telah memberi satu tanggapan daripada warga dan juga ahli akademik itu sendiri seolah-olah ada 'tangan ghaib' yang campur tangan urusan itu," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Raduan berkata hakikat yang perlu diterima adalah campur tangan politik sememangnya wujud dalam pelantikan sesuatu jawatan termasuk melibatkan lantikan Naib Canselor.
Bagaimanapun, sebagai menteri yang diberi peranan menerajui sebuah kementerian, beliau berkata budaya dan susila akademik seharusnya dipatuhi bagi memastikan tidak timbul kegusaran dalam kalangan para akademik.
Pun begitu, Riduan percaya situasi berkenaan setakat ini tidak menimbulkan konflik yang besar memandangkan warga akademik disifatkan sebagai berbudaya.
"Baru ini pun saya ada terima (aduan) pelantikan, dua tiga yang saya terima aduan. Ada yang memuji (dan) ada juga yang berasakan kegusaran dan rasa ralat sebab ada pelantikan yang seolah-olah membelakangkan kepada hierarki dan juga stuktur.
"Sebab dalam pelantikan Naib Canselor ini, kriterianya sangat jelas. Biasanya dalam komuniti akademik kalau seseorang itu tidak ada pengiktirafan akademik atau sekurang-kurangnya mempunyai kepimpinan yang diterima (tidak dilantik).
"Akademik ini ada meritnya tersendiri, akademik ini tidak boleh semberono dan kalau banding dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seseorang itu dengan sedikit pengalaman, (yang) sepatutnya ada pengalaman dalam bidang tertentu tetapi dilantik juga.
"Dalam bidang akademik ini kita ada pengiktirafan sama ada daripada dalam universiti, luar universiti dan luar negara. Jadi, ini suatu perkara yang sangat-sangat penting dan begitu juga struktur yang kita sudah ada seseorang itu akan mendaki sesuatu tingkat ke satu tingkat (jawatan)," tambah beliau lagi.
Jelas Riduan, ciri-ciri kepimpinan yang tinggi penting sebelum seseorang itu dilantik sebagai Naib Canselor kerana individu berkenaan perlu menguruskan peruntukan yang besar, dan kakitangan serta pelajar yang ramai.
Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya pelantikan jawatan tersebut dilakukan secara telus bagi menjamin individu yang dilantik adalah berkelayakan dan dihormati semua pihak.
Riduan berkata ia termasuk mempertimbangkan pelantikan Naib Canselor dibuat melalui pencalonan daripada ahli akademik dan undian tertinggi.
"Harus diingat satu perkara lagi seseorang Naib Canselor akan mengetuai Senat, (iaitu) badan tertinggi akademik sesebuah univerisiti.
"Biasanya ahli-ahli Senat hanya terdiri daripada dekan-dekan, ketua jabatan atau profesor-profesor yang dipilih dalam kerangka pemilihan sekarang ini. Pemilihan ahli-ahli Senat adalah dibuat secara demokratik dan dicalonkan oleh para profesor dan dipilih dalam kalangan mereka yang mempunyai undi yang paling tinggi.
"Saya cuba bayangkan, Naib Canselor juga dipertimbangkan sistem itu (undian tertinggi). Umpamanya kalau di banyak negara terutama sekali saya pasti di Indonesia. Sebanyak 70 peratus adalah daripada pencalonan akademik atau warga akademik itu daripada profesor dan sebagainya, manakala 30 peratus sahaja ditentukan oleh pihak kerajaan atau menteri.
"Ini saya percaya akan mengurangkan sedikit sebanyak campur tangan politik yang selama ini kita perkatakan," ujarnya.
#Institusi Pengajian Tinggi
#Campur tangan pelantikan Naib Canselor
#Majlis Profesor Negara
#sektor pendidikan
#tangan ghaib