Lantik jawatan tertinggi secara telus, tanpa campur tangan politik - Berjasa

Eton Khir
September 7, 2021 15:35 MYT
Menurut Zamani (gambar) memorandum Berjasa itu menekankan kepada tiga aspek demi pemerkasaan urus tadbir kerajaan Malaysia tanpa melibatkan campur tangan politik. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mencadangkan beberapa perkara untuk membentuk pentadbiran negara yang lebih telus, bersih, amanah, serta bebas daripada semua bentuk penyalahgunaan kuasa.
Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, memorandum itu menekankan kepada tiga aspek penting demi pemerkasaan urus tadbir kerajaan Malaysia tanpa melibatkan campur tangan politik.
Yang pertama katanya, adalah dalam melantik jawatan tertinggi negara seperti jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Ketua Polis Negara (KPN) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
"Kita bimbang pimpinan tertinggi ini akan berkerja di atas gangguan politik, sedangkan mereka seorang yang profesional, yang diangkat melalui satu proses pelantikan dalam kerajaan melalui peningkatan dan pengalaman dan mereka ini adalah orang yang sangat baik dan terbaik untuk menerajui negara dalam jawatan mereka sendiri.
"Mengapa perlu campur tangan politik? Seolah-olah mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada sedangkan mereka mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang mereka sendiri," katanya ketika ditemui di Pintu 2, Istana Negara, di ibu negara selepas menyerahkan memorandum, pada Selasa.
Sementara itu, bagi aspek kedua pula, Berjasa menekankan lantikan pegawai tertinggi negara seharusnya dalam kalangan orang yang kuat pegangan agama, taat setia kepada Raja dan Negara, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi, tiada kes mahkamah, tiada kes rasuah serta mempunyai keupayaan menjalankan tugas secara adil dan saksama.
"Dan yang ketiga, kita juga membawa kepada pengetahuan dan harapan yang tinggi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memisahkan bidang kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya bagi menjamin ketelusan yang sebenarnya dan juga mengangkat keadilan, menjaga keadilan negara kita ini dalam institusi perundangan negara," katanya.
Dalam masa sama, Zamani meletakkan harapan kepada kerajaan dan pihak pembangkang untuk bersama-sama menyokong cadangan ini bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih unggul.
#Yang di-Pertuan Agong #Malaysia #integriti
;