Lans koperal terima 13 jahitan dirempuh ketika sekatan jalan raya
Muhafandi Muhamad
Februari 11, 2023 10:15 MYT
Februari 11, 2023 10:15 MYT
KOTA BHARU: Seorang anggota Polis berpangkat lans koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas mengalami kecederaan semasa menjalankan tugas Ops Bersepadu di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di Taman Tengku Anis pada pagi Jumaat.
Anggota berkenaan mengalamk kecederaan di bahagian betis selepas dirempuh oleh sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki warganegara Thailand dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10 pagi pada Jumaat.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, pihak polis berjaya menahan individu berusia 19 tahun itu selepas dia cuba melarikan diri.
Hasil pemeriksaan polis menemukan satu tiub straw lutsinar berisi 10 biji pil disyaki pil kuda.
Hasil ujian saringan juga mendapati lelaki berkenaan positif methamphetamine selain tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Nik Aminuddin berkata suspek direman empat hari hingga 14 Feb dan disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Anggota berkenaan juga terpaksa menerima 13 jahitan akibat kecederaan tersebut.
Semalam tular satu rakaman memaparkan insiden berkenaan di media sosial.